Oleh Jasni Matlani
SAYA tiba di kota Bandung ketika hujan lebat turun merembas jalan dan kabus mula turun dari lereng pergunungan. Air bertikung di selokan mengingatkan saya puisi Sapardi Djoko Damono. “Hujan mengenal baik pohonan dan air yang bertikung di selokan”. Saya merasa letih. Walaupun perjalanan dari kota Jakarta ke Kota Bandung hanya beberapa jam saja, tetapi keletihan seperti merasuk ke dalam tubuh dari celah-celah jendela kereta yang terdedah di sepanjang perjalanan yang muram dan kelabu.
“Kita akan ke bahagian Timur kota Bandung dahulu, sebelum turun kembali dan makan tengahari di restoran sangkuriang” kata pemandu kereta tumpangan saya menjelaskan jadual perjalanan.
Saya hanya mengangguk kerana tentulah dia lebih mengetahui selok-belok kota Bandung jauh lebih baik daripada saya.
“Bapak pandu kereta ke mana sahaja di Kota Bandung, tetapi saya hanya mempunyai satu hajat, ingin bertemu Manora. Tentu Bapak tidak keberatan membawaku menemuinya bukan?” soal saya.
“Tidak keberatan Pak. Tidak kebaratan,” jawab pemandu itu pantas, sambil ketawa dan berpaling sekilas ke arah saya. Dahulu pemandu itu juga yang membawa saya bertemu Manora.
Tetapi menyebut nama Manora, hati saya berkaca-kaca dan berbunga. Bunga yang harum dan mekar sepanjang masa. Sudah tentu dia berubah selepas beberapa tahun tidak menemuinya. Pada kali terakhir saya bersama Manora ialah ketika dia bercerita panjang tentang legenda rakyat Sangkuriang yang menjadi cerita kesukaannya dan juga kebanggaan masyarakat Sunda.
“Dataran tinggi Bandung dahulunya adalah kawasan danau yang luas,” jelas Manora dengan senyuman manis gadis Sunda yang boleh memukau seorang putera raja, “danau itu membentang sejauh lima puluh kilometer dari arah Barat ke Timur. Dari daerah Padalarang, sampai Cicalengka ... 30 kilometer dari Utara ke Selatan, bermula dari daerah Dago Pakar hingga ke Soreang, Kota Kecamatan yang kini dijadikan ibu kota Kabupaten Bandung. Kerana luasnya danau itu, penduduk menamakannya Situ Hyang” Manora berhenti seketika dan saya mengambil kesempatan untuk bertanya
“Apa ertinya Situ Hyang?” soal saya.
Manora melirik. Tetapi tentulah tidak ada kata-kata yang menggambarkan lirikannya dan saya bersetuju dengan seorang penyair yang mengatakan, bahawa kata-kata yang terbaik itu adalah kata-kata yang tidak diucapkan. Lalu saya membalas lirikannya dengan satu pandangan yang redup untuk kesekian kalinya, sebelum tenggelam dalam temaram kabus dan deruan angin.
“Situ Hyang,” kata Manora kemudian, “Ertinya ‘Danau tempat bersemayamnya para dewa,” sambung Manora. Tetapi saya hanya memerhatikan wajah dan bibirnya yang lembut, selembut angin petang yang bertiup di sekeliling Kota Bandung dan kabus mulai turun dan sungguh tenang seperti asap putih kelabu yang beralun di permukaan pagi yang indah. Tidak ada sebarang tanda yang menggusarkan atau sesuatu yang buruk akan berlaku dengan imbangan alam yang temaram seperti ini.
“Kalau kamu letih,” kata Manora kemudian,
“Tidak” celahku pantas, “malah senang” sambung saya sambil ketawa.
Manora tersenyum.
“Orang yang letih, mesti dihidangkan cerita yang santai,” katanya dengan pandangan mata jernih yang mesra.
“Contohnya?” soal saya.
Manora mengangkat kedua-dua belah bahu, sambil kedua-dua belah tangan kanannya di angkat separas dada, “Ya, cerita Sangkuriang misalnya.”
“Cerita Restoran Sangkuriang?” soal saya bergurau. Saya teringat Restoran sangkuriang yang menyediakan makanan Sunda yang enak, tempat kami makan bersama sebelum berkunjung ke Muzium Kota Bandung dalam pertemuan itu dan tempat itu juga yang bakal menjadi destinasi kami dalam pertemuan kali ini.
“Bukan.”
Manora ketawa, merasa sangat lucu. Lalu saya mengingati bahawa tidak ada pengalaman terindah dalam hidup saya, sehinggalah saya melihat Manora ketawa dengan begitu polos, ramah, riang, tanpa tercalit sedikit pun kekeruhan, apatah lagi prasangka yang buruk pada wajahnya yang sebersih dan seputih kabus itu. Kalaulah semua manusia memiliki kepolosan ini, sudah pasti kebencian, persengketaan dan pertumpahan darah tidak akan berlaku. Saya bergumam.
Manora mendekatkan wajahnya.
“Sangkuriang,” kata Manora kemudian setelah ketawanya reda, “adalah bahagian paling menarik dalam cerita kami sebagai warga Bandung.”
“Apa yang lebih menarik daripada melihat wajah kamu?”
“Ah, kamu,” Manora tersipu-sipu, “sering membuat saya merasa malu sendiri.”
“Saya mengatakan yang benar.”
“Ah, tipu kamu,” katanya kemudian cuba mengelak, “nah, lupakan itu. Sangkuriang tidak sabar menunggu ceritanya diselesaikan.”
Saya ketawa.
“Baiklah, teruskan Tuan Puteri,” kata saya mengalah. Mengalah untuk kemenangan yang lain.
“Pada zaman dahulu,” kata Manora tenang. Barangkali setenang air di tasik Situ Hyang yang menjadi persemayam para dewa, “Sangkuriang sangat mencintai Dayang Sumbi, ibu kandungnya sendiri dan kerana tidak dapat menerima cinta anak kandungnya itu, lalu Dayang Sumbi pergi ke sebuah tempat yang tinggi dan terjun sehingga meninggalkan bekas lubang yang sangat besar. Sangkuriang yang ketika itu sedang membuat perahunya, merasa sangat marah dan menendang perahu itu hingga jatuh tertelungkup di suatu tempat. Tempat itu sekarang dipanggil Gunung Tangkuban Perahu. Sementara tempat ibu kandungnya terjun itu, dinamakan Kawah Ratu. Nah, menarik bukan?” soal Manora.
“Ya, menarik kerana kita makan di restoran Sangkuring.”
“Ah! kamu,” kata Manora manja. Kembali tersipu-sipu.
Tetapi itu bahagian daripada cebisan kenangan lama. Soalnya sekarang, bagaimana rupa Manora selepas beberapa tahun tidak menemuinya. Tentulah, dalam imaginasi nakal saya, dia semakin dewasa dan lebih cantik daripada dahulu. Tentulah dia semakin memikat dan memiliki daya tarikan yang aneh. Bukankah orang Sunda selalu begitu. Semakin dewasa, semakin memukau lelaki. “Sangkuriang juga begitu. Jatuh cinta kepada wanita lebih dewasa, meskipun itu adalah ibu kandungnya sendiri. Sebabnya ialah kerana wanita dewasa lebih mengagumkan daripada apa yang digambarkan penyair tentang seorang gadis,” saya bergumam di dalam hati. Tidak ada sebarang reaksi di sekeliling.
Sebaliknya suasana menjadi sepi seketika sebelum pemandu kereta di sebelah saya mengejutkan dengan suara garau yang memenuhi ruang, “Bapak terus ke rumah Manora atau singgah di mana-mana dahulu?” soalnya.
Saya tidak segera menjawab. Tetapi, jika menurut kata hati, saya memang hendak segera ke rumah Manora. Melencongkan hala tuju ke destinasi lain adalah pemalsuan kata hati belaka. Seorang lelaki yang pergi terburu-buru hendak menemui seorang gadis selepas beberapa tahun tidak bertemu adalah ketulusan yang wajar. “Mengapa harus berpura-pura, jika rindu melonjak-lonjak seperti api?” satu suara yang aneh bergema dalam diri saya.
Tetapi sebelum soalan itu berjawab, tiba-tiba telefon bimbit pemandu kereta tumpangan saya itu berbunyi, nyaring sekali. Saya terdiam ketika bila melihat wajahnya berubah dalam sekelip mata, sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan dan memberitahu kedudukan kami kepada pemanggil di hujung talian. Saya mendengar dia menyebut kami sedang melalui jalan ke Barat tidak jauh dari Masjid Raya Agung Bandung Provinsi Jawa Barat. Lalu dia mengangguk-anggukkan kepala dan berkata “Baik, Pak” beberapa kali sebelum memutuskan perbualan. Lalu dia termeunung seketika, merenung jauh ke hadapan seolah-olah terkhayal ketika saya bertanya,
“Ada apa pak, Tiba-tiba berhenti di tepi jalan?” saya memandangnya dengan penuh tanda tanya. Dia berkalih perlahan, tetapi tidak segera menjawab.
Saya merasa resah dan jika ada suatu pengalaman yang meresahkan bila melihat seseorang yang berubah dalam sekelip mata. Pengalaman ini adalah contohnya yang terbaik. Saya seperti merasakan bahawa perubahan itu menakutkan, walaupun ia belum disuarakan kepada saya.
“Ada apa pak?” saya menyoal lagi dengan wajah berkerut, apabila pemandu itu masih mendiamkan diri. Ada masalah keluarga atau jalannya macet di hadapan?” sambung saya dengan perasaan hati yang terus berteka-teki.
Pemandu itu cuba mengukir senyum, tetapi tawar.
“Ya, macet” katanya selamba, seolah-olah penglipur lara yang arif menghibur perasaan gundah gulana saya.
Tetapi saya tahu itu bukan jawapan yang jujur.
“Maafkan saya, Pak. Kita tidak bisa meneruskan perjalanan. Kita putar di hadapan sana dan saya diberitahu supaya membawa Bapak kembali segera ke Jakarta” katanya serba salah.
“Kenapa?” soal saya lebih serba salah lagi. “Jika kembali ke Jakarta sebelum bertemu Manora, perjalanan ke Kota Bandung hanyalah sebuah perjalanan yang sia-sia,” saya terganggu seketika.
“Maafkan saya, Pak,” dia memohon maaf ikhlas.
“Tapi bagaimana dengan hajat saya hendak bertemu Manora? Bagaimana dengan hasrat besar saya hendak membawa Manora makan di restoran Sangkuriang di tengah-tengah Kota Bandung itu?”
Pertanyaan itu datang bertubi-tubi seperti penumbuk tinju.
“Saya tahu hajat Bapak sangat besar hendak bertemu Manora,” katanya kemudian seperti mengetahui apa yang bermain di kepala saya. Pandangan mata kami bersetentang dan hampir tidak berkelip.
“Jadi, kenapa tidak meneruskan perjalanan?”
Dia tidak segera menjawab. Lama kemudian baru dia bersuara,
“Sebaiknya kita berpatah balik ke Jakarta, Pak.”
“Kenapa harus tiba-tiba berpatah balik ke Jakarta.”
“Saya diberitahu, jalan berhadapan Masjid Raya Agung Bandung Provinsi Jawa Barat, jalan yang kita hendak lalui untuk sampai ke rumah Manora sudah ditutup.”
“Kenapa?” soal saya terus mencari kepastian
“Sedang dalam pembinaan, diruntuhkan gempa bumi atau apa?” saya seperti tidak sabar.
“Tidak,” jawabnya lemah, “bukan sedang dalam pembinaan atau gempa bumi.”
“Jadi apa?” saya mendesak.
“Puluhan ribu warga Bandung sedang mengadakan demonstrasi, membantah tindakan Malaysia menggunakan beberapa pemandangan di Kota Bandung sebagai iklan pelancongannya dalam saluran TV Discovery Channel. Justeru, mereka mahu menangkap sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang datang di kota Bandung dan membunuhnya dengan buluh runcing, Pak.”
Saya terdiam.
“Hanya kerana itu?”
“Ya.”
“Hanya kerana bumi Tuhan ini?”
“Ya.”
Waktu itu pemandu kereta tumpangan saya sudah menyelekoh ke sebatang jalan dan barangkali jalan itu hendak membawa kami berpatah balik ke Jakarta. Saya sangat yakin jalan itu tidak mungkin akan membawa saya bertemu Manora. Bukan jalan itu yang pernah kami lalui sebelumnya untuk bertemu Manora. Saya mengingatinya dan jika dia melalui jalan ini, itu bermakna perasaan rindu yang sudah hampir terlerai, akan kembali mengental di dalam dada dan bersarang di sana untuk satu tempoh yang tidak diketahui. Tetapi ada persoalan lain yang lebih jahanam sedang mengasak di kepala saya ketika itu. Dan ia tidak lain adalah tentang bangsa serumpun yang sudah tidak lagi mengenal sejarah leluhurnya dan mereka melupakan Tuhan dalam banyak perkara.
INFO:
JASNI Matlani lahir di Beaufort Sabah. Menulis dalam pelbagai genre puisi, cerpen, novel, drama dan esei/kritikan sastera. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan sering kali Memenangi Hadiah Sastera Sabah. Antara kumpulan cerpennya ialah Dunia Iris (2002), Hujan Putih
(DBP:2006) dan Negeri Malam (2008). Kini penulis sepenuh masa.