Penaja

1.1.05

Kreatif Hipokrasi

MAJORITI sudah menyebelahinya.

"Kerja menegakkan institusi Islam ini kerja fisabilillah. Tuan-tuan bakal mendapat pahala yang besar. Nama tuan-tuan akan disebut-sebut, dikenang-kenang oleh generasi akan datang. Mereka akan berterima kasih atas sumbangan tuan-tuan."

Dia tahu, sebut saja pahala, sebut saja fisabilillah, semuanya tunduk akur. Hampir dua dekad di gelanggang politik, dia semakin pintar mengatur melangkah. Pergaulan meluaskan pengalaman. Pengalaman memperhaluskan kata, mempertajam tindakan.Psikologi Melayu Islam sudah diselami sedalam-dalamnya. Pantang kalau dengar masjid dan madrasah mahu diroboh. Menyingsing lengan belaka. Tapi, kalau disebut mahu diganti baru, bersarung kembalilah keris, melurut kembali lengan baju yang tersingsing.

“Lebih besar tapak, tentu lebih besarlah bangunannya. Lebih banyaklah kelengkapan yang bakal dibawa. Lebih ramailah pelajar akan berpeluang belajar di situ. Akan membiaklah ilmuwan-ilmuwan kita,” bicaranya menawan hati.

Orang Islam Melayu tak sama dengan bangsa lain. Mudah bertolak ansur kalau pandai menghulur salam, kalau berhemah menyusun janji. Cuma, yang memeningkan kepalanya ialah tentang dua orang lelaki yang tak sedar diri. Dua pemuda yang dianggapnya sebagai kudis pembangunan. Dua pemuda yang cuba jadi juara.

“Mengapa pula tapak madrasah di Bukit Raya itu yang dijadikan mangsa?” ujar Mudir Madrasah. Masih muda, tapi berwibawa.

“Madrasah itu perlu diperbesar. Saya dapat banyak sungutan, ramai pelajar gagal belajar di Madrasah itu. Bangunan yang sedia ada tak mampu menampung lebih ramai pelajar. Kita tak boleh biarkan harapan ibu bapa hampa. Ini soal didikan agama.” Umpan bahasa yang sama sudah cukup menekurkan suara keras sebelum-sebelum ini.

“Tak kisahlah kalau nak bina sebuah madrasah baru di Batang Kulim. Kami setuju sangat-sangat. Itu satu perkembangan yang sangat baik,” lelaki tegap tinggi bersongkok hitam mengukir senyum. Lelaki yang memiliki firma guaman sendiri itu adalah Yang Dipertua Alumni Madrasatul Ehsaniyah. “Tapi kalau sampai mengorbankan madrasah yang sedia ada di Bukit Raya tu, kami tidak setuju.” Datuk YB tersandar. Otaknya berputar pantas memerah akal.

“Khabarnya di Bukit Raya itu akan dibina pangsapuri mewah. Tak begitu Datuk?”

Datuk YB tersentak. Terasa kembang mukanya. Terkaan peguam muda itu menyergah jantungnya. Macam mana rancangan sulit ini boleh terlepas ke pengetahuan orang lain?

“Se ... se ... sebenarnya itu hanya projek bayangan sahaja. Belum ada kata putus dibuat. Kita masih memikirkan satu projek sesuai yang boleh memberi manfaat penduduk setempat.”

“Kalau sudah begitu, biar sajalah madrasah di situ,” pintas mudir muda itu, cicit sulung pengasas Madrasatul Ehsaniyah. “Kalau ada nampak cacat celanya, kita baik pulih apa yang patut. Bukankah banyak lagi kawasan lapang untuk dibangunkan projek pangsapuri?”

“Eh ... tak boleh. Kita dah janji nak bagi kepada pemajunya.”

“Kalau dah ada pemajunya, maknanya bukan projek bayangan lagilah, ya?” YDP Alumni menindih.

Datuk YB terkesima. Datuk YB terlupa rentak, terlajak langkah. Hatinya memaki hamun mulut sendiri yang celupar.


II

PROJEK mendirikan madrasah di tanah bekas lombong Batang Kulim rancak berjalan. Projek yang terletak enam kilometer dari pekan Semambu itu perlu disiapkan dengan segera. Tauke Boon Teik telah diperingatkan supaya menyiapkan seberapa segera projek yang bertabirkan syarikat kontraktor Bumiputera. Projek Ali Baba!

“Kalau lambat siap, proses ambil alih Bukit Raya jadi lambat juga,” wajah harapnya legat ke muka tauke yang gemuk pendek itu.

“Datuk usah takut. Saya sudah suruh orang-orang saya siapkan cepat-cepat. Tauke dari Singapura tu selalu telefon, bertanyakan pasal projek Bukit Raya,” pekat sekali telor bahasa ibunda mulut lelaki yang dihadiahkan kerakyatannya secara jus soli ini.

Datuk YB menarik nafas panjang. Di matanya tertegak pangsapuri tiga blok, lima belas tingkat setiap satu. Berselang ganti dengan rupa empat blok lesu bangunan dua tingkat madrasah.

Hatinya akur akan hujah mudir muda dalam pertemuan dengannya dua bulan lepas. Sebelum perang Dunia Pertama, madrasah itulah mercu tanda pekan kecil Semambu yang waktu itu cuma ada sebaris kedai papan lima pintu. Pelajar madrasah datang daripada pelbagai daerah malah dari negeri-negeri berjiran.

Menurut arwah datuknya, waktu itu kalau disebut pekan Semambu, tak ramai tahu. Tapi kalau disebut saja Madrasah Bukit Raya, seluruh negara tahu. Di situ pernah lahirnya pejuang-pejuang kemerdekaan yang beraliran Islam, yang nama-namanya tercicir dari catatan sejarah.

Ahhhh ... segera dia memutuskan nostalgia manis tentang madrasah itu. Dia perlu mengukir masa depan pekan Semambu dengan cara sendiri. Dia yakin, tindakannya mengambil alih tapak madrasah bukan menjadi suatu kesalahan. Dia telah menyediakan tapak yang baru dan lebih luas, yang struktur bangunan baru setaraf dengan bangunan sekolah menengah biasa serta dilengkapi pula dengan prasarana serba moden.

Suara bantahan Mudir dan YDB Alumni madrasah, segera dimasukkannya ke dalam senarai pelupusan yang tak perlu dikitar semula kerasionalannya.

III

PEGUAM muda YDP Alumni Madrastul Ehsaniyah termenung panjang. Usaha mempertahankan madrasah itu nampaknya buntu. Tegar sungguh hati Datuk YB.

Dia mula mengumpul fakta daripada sejarah yang terdekat. Lima tahun lalu, sewaktu projek pembesaran jalan utama, masjid Pekan Semambu menjadi mangsa. Masjid yang dibina atas titik peluh dan kudrat gotong-royong tenaga penduduk silam, terpaksa dipindahkan, apabila dikatakan sebahagian bangunannya menghalang laluan baru tersebut. Begitu juga dengan dua buah surau di Kampung Pisang dan Kampung Redang Sawa yang dipindahkan tapaknya.

Dia dapat merasakan, bangsanya semakin terhimpit di bumi sendiri. Sikap tolak ansur bangsanya telah dieksploitasi semahu-mahunya. Lebih mengecewakan, ialah apabila yang menjadi dalang itu ialah bangsanya sendiri.

Ya, lihat sajalah semasa projek pembinaan pasar dan stesen bas baru dua tahun dulu. Lebih 50 keluarga anak cucu peneroka asal yang tinggal di hujung Pekan Semambu, tersingkir secara terhormat dengan diberi pampasan rumah kos rendah di sebuah taman perumahan yang serba bermasalah.

Bertolak ansurlah demi pembangunan, kononnya!

Yang peliknya, setinggan lain yang tinggal tidak jauh dari pekan tidak pernah diganggu usik dan khabarnya sudah ada ura-ura tapak kediaman mereka itu diberi geran tetap.

Sekarang Madrasah Bukit Raya pula hendak dilenyapkan secara terhormat. Dia cuba mencadangkan supaya projek itu didirikan di ‘padang burung’ milik sebuah persatuan perniagaan yang terletak satu kilometer di sebelah utara pekan. Padang burung ialah sebuah gelanggang yang memartabatkan kejahilan manusia dalam melagakan suara rintihan merbuk dan tekukur. Bukan main naik angin lagi Datuk YB mendengar cadangannya.

“Awak berdua jangan cuba menimbulkan sentimen agama dan bangsa. Saya tau apa yang saya buat. Walaupun awak berdua tak setuju, projek itu tetap berjalan!”

Sergahan terakhir Datuk YB membunuh rundingan.

Mudir muda menyelami kekecewaan temannya itu. Seolah-olah sudah putus asa. Sejak khabar pengambilalihan Bukit Raya tiba ke telinga pengetahuan, kedua-duanya jadi semakin akrab. Mereka punya satu citra, satu hasrat dan satu harapan.

“Jangan bimbang saudara. Kita masih punya Allah SWT.”

Peguam muda itu mengangkat muka menatap wajah mudir madrasah. Ada nur pengertian.


IV

KALA khabar itu menjengah telinga capangnya, dia tersenyum lebar. Hatinya tidak sedikitpun berasa cuak.

“Tauke jangan takutlah. Tak ada apa-apa pun yang akan berlaku. Itu sikit punya hal. Buat kerja macam biasa.” Tauke Boon Teik yang terkocoh-kacah datang menyuarakan bimbangnya itu kembali mengangguk-angguk lega. Mudah dia meyakinkan lelaki Cina yang banyak menyumbang dana peribadi dalam kerja-kerja politiknya.

Majlis menandatangani projek pangsapuri mewah lima belas tingkat di Bukit Raya akan diadakan dua hari lagi. Segala persiapan sudah dibuat serapinya. Pengerusi syarikat dari negara jiran bersetuju untuk hadir menandatangani. Tauke Boon Teik akan menjemputnya dari lapangan terbang. Malah, wakil pimpinan negeri dijangka turut serta menyaksikan pemeteraian itu.

Ya, setahun lagi, Pekan Semambu akan mempunyai sebuah mercu tanda yang baru dan gah. Pangsapuri Bukit Raya! Petang itu mereka gelak ketawa di kelab golf.

Dua lelaki suruhannya yang menjadi mata telinganya tiba-tiba muncul dengan wajah resah.

Beberapa minit laporan lengkap dibentang wakil setianya. Datuk YB menarik nafas panjang. Dia minta diri dengan segera. Tauke Boon Teik ditinggal terkulat-kulat.

Datuk YB mengarahkan pemandunya menyusur perlahan melalui jalan di kaki Bukit Raya. Terjegil matanya merenung deretan panjang kereta aneka model tersusun rapi di pinggir-pinggir jalan menuju ke arah Bukit Raya. Beberapa pegawai polis trafik kelihatan mengawal lalu lintas.

Resah juga hatinya apabila mendapat khabar tiga menteri pusat turut serta dalam majlis di Madrasah Bukit Raya itu. Ketiga-tiganya merupakan bekas pelajar yang pernah mencipta kecemerlangan akademik semasa menuntut di madrasah itu.

Dengung bacaan Yassin yang melepas corong pembesar suara mencecah telinganya. Menyusuk ngilu ke hulu hatinya.



V

PAGI-PAGI dia bersiap-siap. Datin Maria, isterinya entah berapa kali disergahnya. Kala kakinya melangkah keluar, telefon bimbitnya berdecit-decit.

“Aiya, Datuk ... kita ada problem,” suara Tauke Boon Teik dengan cemas.

“Apa hal, tauke?” suaranya menjadi tegang.

“Itu ... itu ... kawan dari Singapore tu sudah accident ooo ....”

“Bila?”

“Tadi malam. Dalam perjalanan dari airport ke hotel. Lori yang langgar wooo!”

“Kawan awak tu, macam mana?”

“Diaaaa ... dia ... dia ... sudah mati!” Datuk YB panik. Sakit telinga mendengar telor kantonis Tauke Boon Teik itu, lebih terseksa lagi hati menelan berita yang diterima.

Langkah Datuk YB mati di muka pintu. Dadanya berdegup kencang. Matanya terkebil-kebil. Mukanya terasa kembang. Bibir bawahnya digetap ketat.

Telefon bimbit yang digenggam kemas-sekemas, tiba-tiba berdecit-decit lagi.

Dari pejabat Ketua Pimpinan Negeri - KPN.

“Datuk YB, saya diarah KPN untuk memberitahu Datuk,” suara halus setiausaha KPN.

“Tentang apa tu?”

“KPN arahkan supaya rancangan projek Pangsapuri Bukit Raya dibatalkan terus. KPN mahu Madrasah Bukit Raya dikekalkan. Surat rasmi akan menyusul.”

Datuk YB kehilangan kata. Badannya terasa seram-seram sejuk. Matanya mula berpinar-pinar. Dalam kelam kelihatan warna-warna pelangi indah yang melingkunginya impiannya makin gerhana. Di celah-celah kegerhanaan warna-warna pelangi itu Datuk YB melihat arca wajah gagahnya yang beransur-ansur padam.

Profil

MOHD HASHIM OSMAN


DILAHIRKAN di Batu Gajah, Perak, pada 6 Februari 1964, mula menulis sejak 1999 dan terbabit dalam genre cerpen, puisi moden dan tradisional, drama radio serta makalah bahasa yang mendapat tempat di majalah mahupun akhbar arus perdana. Lulusan Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan

Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) ini pernah memenangi hadiah utama dan sagu hati kategori puisi dan cerpen sejumlah sayembara sastera dari 2000 hingga 2006. Turut memenangi Hadiah Sagu Hati Pertandingan Skrip Drama Radio Berunsur Islam 2005 anjuran Institut


Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Guru SMK (F) Besout, Sungkai, Perak ini juga muncul johan dan naib johan Peraduan Menulis Cerita Legenda Negeri Perak anjuran DBP Utara dan Lembaga Pembangunan Sastera Perak.

Berita Harian