Penaja

1.4.04

Kreatif :Tali Pinggang Rantai

Oleh Mohamed Ayob Yasin




1 - Panik

SURI melihat jam di dinding rumahnya. Pukul sepuluh tepat. Hatinya mula berdebar. Gadis suntinya belum muncul walaupun pasar malam berada di depan rumah sudah hampir lengang.

"Abang, Kak Ngah tak balik lagi. Cepat pergi cari." Teriakan Suri memecah hening malam. Suami yang tenang di bilik bacaan tergesa-gesa keluar.

"Kak Ngah belum balik?"

"Betul bang, cepat pergi cari." Suri, seolah-olah mengarahkan suaminya.

Suaminya bergegas masuk dan keluar semula dengan sebatang rotan sebesar ibu jari dan lampu suluh berbateri empat berwarna kuning.



"Nanti saya bang!" Suri melaung, sambil melompat keluar, mengejar suaminya di pintu pagar rumah.

"Kak Long jangan keluar, jaga adik-adik," perintah Suri sambil mengunci pintu.

Dalam perjalanan, Suri terus membebel. Memarahi suami dan menyesali diri. Kenalan ditemui ditanya. "Ada nampak Kak Ngah?" Semuanya menggeleng. Suri dan suami terus merayau, mengesan jejak Kak Ngah. Pasar Malam semakin lengang. Peniaga semakin ramai yang pulang.

"Bang, anak kita dah kena colek, bangggg!" Jerit Suri, sambil membongkok mencapai plastik berisi goreng keledek dan popia kegemaran Kak Ngah.

Mohamed Ayob Yasin

"Apa yang kau merepek ni." Suri dimarahi. Dia fobia. Berita kerapnya kanak-kanak hilang tergambar di benak.

"Ini tentu kuih yang anak kita beli, bang." Mendengar kata-kata itu, suaminya terus menyergap kepadanya. Ingin kepastian.

"Banggg, mari kita tanya Pak Abu yang menjual popia ni." Suri menarik tangan suami. Suaminya tanpa suara, terus mengikut.

"Pak Abu, nampak anak saya tak?" Suri melontar pertanyaan.

"Ada ... ada. Tadi ada." Pak Abu menjawab dalam kehairanan.

"Ini kuih, dia beli di sinikan?" Suri terus menunjukkan bungkusan plastik berisi goreng keledek dan popia. Di pasar malam itu, Pak Abu satu-satunya peniaga menjual makanan tersebut, sementara suaminya melilau memandang ke serata tempat mencari sosok Kak Ngah jika kelihatan di mana-mana.

"Ya ... ya ... ini kuih dibelinya tadi." Pak Abu mengangguk, tapi masih kehairanan. Kekalutan Suri masih samar-samar di mata Pak Abu.

"Bangggg ... sah dah anak kita kena colekkkk!" Jerit Suri memanjang, sambil memeluk suami dengan tangisan. Beberapa pengunjung pasar malam yang masih mencari barang keperluan yang berada di kelilingnya menyerbu pasangan berpelukan itu, ingin tahu apa sebenarnya berlaku.

Lelah dan kesal

Suri menyandar di kerusi rotan di ruang tamu rumah. Anak-anak lain dipeluk dengan tangisan yang belum reda. Suaminya membuat laporan di Balai Polis, tidak jauh dari rumah mereka.

Sehari ... dua ... tiga ... Kini dua minggu Kak Ngah belum ditemui. Gambarnya terpampang di muka depan akhbar utama. Di merata-rata tempat � di persimpangan jalan, termasuk di dinding rumah dan pokok kayu ditampal poster wajah Kak Ngah.. Mohon simpati agar Kak Ngah dipulangkan. Televisyen tidak sunyi menyelitkan berita itu setiap kali bersiaran

Agensi kerajaan dan NGO turut membantu. Semua rakyat tanpa mengira bangsa, memberikan kerjasama. Kecaknaan terhadap kehilangan kanak-kanak yang belum terpalit dosa itu diperlakukan.

"Apa jenis manusia ini?" Rungut seorang yang bersimpati.

Suri terimbau kata-kata kesal, di warung Pak Abu sebelum ini. "Kalau binatang, boleh juga diterima. Kerana ia tidak berakal." Gerutu seorang yang lain.

"Aku sungguh hairan. Apa motif mereka mencolek anak kecil yang baru berusia 8 tahun itu?"

"Apa lagi jika tidak kerana gila seks." Tingkah yang lain pula.

"Apa, kau gila?" Binatang pun tahu, mana yang kecil, mana yang besar. Ia tidak akan buat begitu." Terdengar satu suara membentak seolah-olah tidak setuju perbandingan itu. Membezakan perangai manusia berakal, tapi tidak berperi kemanusiaan dengan binatang tidak berakal yang lebih kenal mana boleh mana tidak boleh dilakukan.

Terbayang di ingatan, wajah guru mengajar tafsir di masjid. Manusia dengan binatang dijadikan perbandingan.

'Allah akan penuhkan neraka dengan jin dan manusia. Mereka ada akal, tidak berfikir. Ada mata, tidak melihat. Ada telinga, tidak mendengar. Mereka lebih dahsyat daripada binatang.'

"Ini kesan daripada mereka yang tidak pernah membaca dan cuba memahami al- Quran sebagai petunjuk." Simpul guru tersebut.

Kesimpulan itu membingungkan Suri. Lebih-lebih lagi apabila dia cuba mengaitkan dengan kehilangan anaknya, Kak Ngah.

Apakah ratusan pengunjung Pasar Malam ketika itu, tidak seorang pun yang curiga dengan keadaan sekeliling?

"Tentu ada suara atau tindakan sumbang berlaku ketika penculikan itu. Tetapi, semuanya tidak perasan. Semua hanya seronok berpasar malam. Jika ada sedikit ruang kesedaran, tentu Kak Ngah dapat diselamatkan." Suri mula mengerti kesimpulan guru tafsir di masjid itu.

Suri bersyukur dia mampu membaca al-Quran. Setiap malam dia bangun bersama-sama suami, solat tahajud, solat hajat dan membaca Yasin. Memohon anaknya dipulangkan.

Setiap hari rumah dikunjungi keluarga, sahabat dan kenalan. Mereka yang pernah menerima nasib sama tidak ketinggalan memberikan kata semangat, berkongsi pengalaman. Mereka mahu Suri tabahkan hati.

"Mungkin ada hikmah sebaliknya," seorang panel dalam rancangan televisyen bertajuk: "Menghadapi Dugaan", membentang hujah. Suri cuba meraih semangat daripadanya. Walaupun hati kecilnya tetap mengutuk penculik berhati binatang itu.

Hibanya Hati

"Kak Ngahhh! tunggu makkk!" Jerit Suri. Wad 3 menjadi gempar. Semua mata pengunjung dan pesakit di wad 3 bertumpu ke arah datangnya jeritan. Tak sampai seminit, katil Suri dipenuhi orang ramai.

"Itulah emak kanak-kanak yang dicolek dan dibunuh tu ..." Bisik perlahan suara dari katil sebelah, kepada keluarga yang datang melawatnya.

Suri dipeluk suami bagi mengurangkan tekanan perasaan.

"Mana anak-anak kita banggg?" Suri membalas dakapan.

"Ada." Pelukan suami makin dikejapkan. Tangan kanannya melambai anak-anak yang berkumpul tidak jauh dari situ.

"Manaaaa?" Jeritnya selari dengan tekanan jiwa yang belum reda.

Sekelip mata, anak-anak lain muncul di pinggir katil.

"Mari naik atas ... naik ... naik." Seorang demi seorang dirangkul Suri sambil diberi ciuman. Seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

"Anak kita empat bang. Bukan tiga. Mana seorang lagi? Manaaa?" Bahu suaminya digegar ganas. "Mana Kak Ngah? Manaaa?" Suaminya hanya menjawab dengan pelukan dan lelehan air mata.

"Di mana saya sekarang. Apa mereka buat ramai-ramai ni?" Suri terus melalut.

"Mengucap Ri, mengucap. Ingatkan Tuhan." Suaminya meredakan tekanan perasaan Suri.

"Ri di hospital. Ri pengsan semasa pengebumian anak kita, Kak Ngah." Jawab suaminya lurus.

"Apa? Kak Ngah tak ada lagiii?" Jerit Suri, terus rebah.

"Makkk!." Anak-anaknya menjerit serentak, sambil memeluk ibu yang tidak sedarkan diri. Wad 3 gempar sekali lagi.

Perasaan sedih dan sayu berbaur. Ada berpelukan dengan lelehan air mata melihat peristiwa di wad 3 pagi itu.

Doktor datang memberi rawatan. Satu suntikan diberikan bagi menenangkan Suri.

Bayangan Menjelma

Suri membuka mata. Dipandang keliling dengan takjub. Buminya rata. Tiada daratan, tiada lautan. Hanya diselimuti kabus tebal. Udaranya pula begitu nyaman.

Sedang mata terus mengamati keadaan sekeliling, dia masih tertanya-tanya di mana berada.

Dalam keadaan termanggu itu, muncul perempuan berpakaian serba putih. Suri dihampiri. Memberi salam. Suri dipeluk.

Seperti ditarik-tarik Suri membalas dan mencium perempuan serba putih itu. Pipinya halus. Baunya harum. Suri diserapi perasaan menyegarkan. Hatinya kembali tenang.

Ciuman mesra hinggap di pipi Suri. Tangan Suri diramas mesra. Kemudian dipeluk kembali. Erat dan kemas.

"Puan mencari Kak Ngah?" Perempuan itu bertanya. Suri terpegun. Dia malu hendak mengiakan. Tapi hatinya terlonjak-lonjak riang.

"Dia baru tiba di sini." Perempuan itu menepuk-tepuk bahu Suri

"Mana puan tahu." Suri bersuara pantas.

"Di sini kami tahu apa yang berlaku di dunia. Kecuali jika roh tidak sempat mengucap kalimah syahadah." Wajah perempuan itu berseri-seri merenung Suri.

"Di mana saya?"

Senyap.

"Apakah saya boleh melihat apa yang berlaku di dunia?" Suri bertanya.

"Boleh."

"Kalau begitu, saya mahu melihat anak saya." Suri meminta.

"Pandang ke sana." Perempuan itu mengarahkan.

Tiba-tiba kabus tebal beralih arah. Dia ternampak kumpulan manusia sedang bersantai di Taman Rekreasi.

Dia tersenyum. Suaminya sedang bermain dengan anak-anak. Tapi, kenapa anak-anakku diikat dengan rantai di pinggang dan hujungnya disambung ke pergelangan tangan suami? Bisik hati suri.

Pemandangan berubah. Suri melihat suaminya digari, dibawa polis ke mahkamah. Dia dituduh cuai memelihara anak menyebabkan Kak Ngah diculik dan dibunuh.

Suri merenung muka perempuan itu. Suatu pengalaman berhiaskan hikmah dapat dirasakan. Suri tidak dapat menahan perasaan gembiranya. Terus menerkam perempuan itu dan memeluknya. Erat, rasa tidak mahu dilepaskan.

Perempuan itu menepuk bahunya. Seolah-olah memberitahu, jangan ikutkan perasaan. Bersyukur sambil bertasbih. Itu amalan yang sesuai dan perlu diamalkan. Suri melonggarkan dakapannya.

Sebaik mata bertentangan, perempuan itu menunjukkan isyarat dengan jari telunjuknya.

"Puan, bernasib baik."

Suri teruja dengan ungkapan tersebut. Dia tidak mampu mengandaikan tafsirannya.

Suri hanya dapat mencapai kedua tangannya sambil meramas mesra. Harapan, ungkapan itu segera ditafsirkannya.

Perempuan itu tidak mudah dipengaruhi oleh ramasan tersebut. Dia tidak seharusnya membuka rahsia selagi Suri tidak memintanya.

"Apakah saya boleh mengetahui maksud "bernasib baik" itu?" Suri menyusun ungkapan berlapik. Suri berjaya. Perempuan itu mengukir senyuman.

"Allah mengembalikan anak puan dalam masa singkat."

Suri membayangkan bagaimana anaknya ditemui di dalam beg di pintu sebuah masjid di bandar Raya.

"Dengan itu, trauma puan segera pulih. Puan boleh solat dengan khusyuk. Boleh mengiringi roh Kak Ngah yang sudah berada di alam barzakh dengan doa."

"Di mana dia sekarang?" Suri menagih lagi, sebaik saja dia berpaling kepada perempuan itu.

"Lihat di sana." Perempuan itu memberi isyarat.

Sebaik menoleh, Suri ternampak Kak Ngah. Dia bersuka ria dengan beberapa kanak-kanak. Dia Cukup ceria, cukup girang.

"Apakah dia nampak kita?" Suri ingin tahu kerana Kak Ngah tidak menoleh kepadanya.

"Keseronokan hidup di sini membuat dia asyik."

"Kenapa?" Suri ingin tahu.

"Kerana sekarang Kak Ngah ahli syurga."

Perempuan itu, dilihat menjauhkan diri, terus hilang daripada pandangan Suri.

"Abang, Kak Ngah ahli syurga sekarang." Suri memberitahu suami yang masih duduk di sisi. Matanya tercari-cari sesuatu.

"Mana tali pinggang rantai yang abang gunakan untuk mengikat anak-anak kita tadi?"

Suami terkedu. Dia sedang mentafsir pertanyaan Suri.

Biodata penulis:

MOHAMED Ayob Yasin yang dilahirkan pada 1 Jun 1941 terbabit dalam penulisan genre sajak, cerpen dan rencana. Karya ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) ini mendapat tempat dalam media cetak arus perdana dan pernah memenangi Hadiah Sagu Hati Cerpen Berunsur Islam BAHEIS dan Hadiah Sagu Hati Sayembara 50 Tahun Merdeka DBP.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru di sekolah menengah negeri sembilan dan kini Pensyarah Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Segamat.

Berita Harian