Penaja

17.2.12

"IMMORTAL"


/i/

karya hidup bernyawa
aksara berkata-kata
kredo. individualiti.
nyala semangat,
nuansa zaman,
tinggal legasi
pabila pergi,
kekal hijau
dan puitis.

/ii/
melihat
karya (penyair)
aku menjadi yakin
puisi tersurat di batu sastera masyarakat!

Ibnu Din Assingkiri
©Sanusi Din 2011, All Rights Reserved
e-sastera.com/sajak/2012

Ahad, 08hb Jan 2012, 08:33 AM Ditulis oleh ibnu din assingkiri

15.2.12

LANGKAH LESTARI



Sejak subuh ini resah mendera qalbuku
mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara,
mewarasi setiap suara derita atau rianya.
Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu
kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi
taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni,
setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?
Di sini—dedaun bersyair kepada leluhurnya,
bunga rimba cuba menari depan keluarganya.

Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir,
kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.
Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu,
menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.
Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba
memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.

Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.

A. Samad Said

4.2.12

Pemergian S Othman Kelantan satu kehilangan besar

31/07/2008

Intan Abdullah

Difahamkan arwah mengalami sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika dihubungi Harakahdaily merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai arwah.

"Ia merupakan suatu kehilangan besar kepada dunia penulisan dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu," ujarnya.

Walau bagaimanapun tambahnya, usaha tersebut perlu diteruskan oleh generasi muda yang menjadi pelapis.

Beliau turut mengkagumi semangat dan sikap arwah yang tidak gentar dalam menyuarakan pandangan dan kritikan kepada kerajaan mengenai pendirian terhadap pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

sementara itu, Pengerusi Badan seniman Paksi Rakyat (Paksi) Che Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman turut melahirkan dukacita atas kehilangan Arwah S Othman Kelantan.

Beliau menyatakan bahawa kali terakhir menemui arwah ialah ketika seminar badan tersebut pada 19 Julai lalu, yang pada peringkat awalnya arwah telah bersetuju memberikan komitmen sebagai pembentang kertas kerja pertama.

"Namun, sehari sebelum program dijalankan, kami dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital dan kertas kerja beliau dibacakan oleh pembentang lain.

"Mungkin itu merupakan karya beliau yang terakhir," katanya.

Dinsman menyifatkan pemergian S Othman Kelantan sebagai suatu kehilangan yang besar kepada sastera.

Arwah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam pada itu penulis muda yang aktif dengan dunia penulisan dan sastera, Faisal Tehrani pula tidak dapat melupakan karektor arwah yang sangat mesra dengan penulis muda.

"Arwah seorang yang sangat lucu, bahkan ucapan beliau sering menyebabkan kita tidak kering gusi. Beliau juga gemar melayan penulis-penulis muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan," ujarnya.

Menurutnya, ketika menerima anugerah sasterawan negara dari Yang di-Pertuan Agong, Arwah S Othman Kelantan juga telah mengkritik keras pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada ketika itu.

"Beliau seorang yang tidak pernah merahsiakan pandangan beliau mengenai sikap kerajaan terhadapa bahasa Melayu dan sastera," katanya.

Tambahnya, selain Shahnon Ahmad, arwah adalah penulis yang terawal terlibat dengan penulisan novel yang menonjolkan imej keislaman menerusi novel beliau berjudul 'ustaz'.

Menurut anak arwah, S M Zakir, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pagi ini.

"Jenazah berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor," katanya.

Berikut adalah serba ringkas biodata Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan.

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). - mns

Sasterawan Negara S. Othman Kelantan meninggal dunia
31/07/2008 10:09am

KUALA LUMPUR 31 Julai - Sasterawan Negara Dr. S. Othman Kelantan meninggal dunia tengah malam tadi akibat daripada sakit jantung.

Menurut anaknya, S. M. Zahid berkata, jenazah ayahnya akan dikebumikan pada pukul 11.30 pagi ini.

``Jenazah berkenaan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor,'' katanya. - Utusan

S Othman Kelantan selamat disemadi

SEDIH: Ranolfla Dianti dan anak menyiram air mawar ke atas pusara suami, Othman (gambar kecil) di Sungai Tangkas, semalam.

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN), Dr Syed Othman Kelantan atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan, 60, meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 11.45 tengah malam kelmarin kerana komplikasi serangan jantung selepas menjalani rawatan lebih dua minggu di Hospital Serdang.

Beliau yang disemadikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi tengah hari semalam, meninggalkan seorang isteri, Ranolfla Dianti Irwan, 30, dan anak berusia 6 tahun serta enam orang anaknya dengan bekas isteri pertamanya, Sharifah Rodziah Al Idrus.

Anak lelakinya, Syed Mohd Zakir yang ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, berkata bapanya mengadu sakit dada dan beliau menghantarnya ke Hospital al-Zahra, Bangi, sebelum menjalani rawatan penyakit itu di Hospital Serdang dua minggu lalu.

“Kami begitu tersentuh apabila Allahyarham masih mahu berkarya dan menyiapkan beberapa tugasan yang belum disiapkan, meskipun tahu dirinya berjuang dengan maut,” katanya.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang menziarahi jenazah Allahyarham berkata, kehilangan beliau dalam arena sastera negara memberi kesan mendalam khususnya pencinta karya sastera Melayu kerana tidak banyak sasterawan yang berani dan selantang beliau dalam mengkritik.

“Walaupun Allahyarham seorang yang lantang mengkritik, tetapi beliau sebenarnya mudah didekati dan gemar berjenaka dengan rakan seperjuangan,” katanya.

al-Fatihah...

iDAN;

Aku jua dirawat di Klinik Kardio pakar jantung Hospital Serdang selama lebih setahun setengah lantaran komplikasi serangan jantung yang amat menakutkan. Payah bernafas di waktu dinihari. Doktor mengatakan aku sekadar punyai masalah angin atau gastrik dalam badan...

Empat Puluh Tahun Bersama Ayah


oleh Dato' Profesor Dr. Hashim Yaacob

Empat puluh tahun bersama dulu
aku terlahir
ke dalam keluarga daif
yang terwaris turun temurun.
Ayah sering memikir
apakah anaknya itu
akan terus mewarisi
kejerihan hidup sepertinya juga?

Tiga puluh tahun dulu
usiaku baru sepuluh
dan ayah masih muda belia,
berkata ayah
di kebun getah Bukit Kepat:
jika ingin hidup sempurna
dan menjadi manusia berguna,
tidak menoreh getah sepertinya
dan seluruh keluarganya sepanjang masa,
kau harus tekun belajar
hingga sampau ke Universiti.

Budak kampung di usia itu seperti aku
mengerti apa hal universiti?
Ayah hanya tahu
Universiti itu adalah tempat berkumpul
cerdik pandai dan manusia berguna

Dua puluh tahun dulu
aku pun menjejak kaki di kampus Universiti
sebagai pelajar
yang kononnya cerdik lagi pandai.
Ayah yang masih menoreh getah
lapang hatinya tiada terkira.
Tertepa di kepalanya satu harapan.
Katanya ia selalu mengirim doa
agar kulekas jadi orang berguna.

Lima belas tahun dulu
sampailah berita pada ayah
yang aku sudah lulus jadi doktor.
Ayah yang masih lagi menoreh getah
sujud syukur pada Ilahi.
Tahulah ayah
yang anaknya tidak perlu lagi
ikut jejaknya menorah getah.
Nampaknya ayahnya sungguh bangga
kerana pandai mendidik anak.

Lima tahun dulu
ketika aku diangkat menjadi profesor
ayahpun membungkus mata pisau torehnya
dengan secebis kain semutar.
Lalu disangkutnya pisau
pada paku di dinding dapur.

Ayah mengucap selamat tinggal
pada kebun getah
mungkin untuk selamanya.

Kelmarin
aku ziarahi ayah yang sudah tua.
Di dapur
kami menatap bersama
pisau toreh di dinding yang kaya jasa
yang masih berkelubung mata
dengan kain semutar ayah.

Kucium tangan ayah
dengan hujan
yang turun dari kelopak mataku.

Air Penawar Sekacang Kelat Furada Publishing House 1993.

Aku cemburu pada Mujahidin Palestin


Bau syurga dapat kau rasai
Kamu mati tapi sebenarnya kamu masih hidup
Mati syahid cita-cita tertinggi kamu

Apakan daya aku hanya mampu berdoa
Aku hanya mampu menghulurkan derma
Aku sekadar mampu memboikot

Jika kamu di ambang syurga
Doakan kami dapat bersamamu

Islam akan tetap terpelihara
ALLAH akan memelihara Islam dan al-Quran
Tapi diri kita, kita sendiri yang menentukan
Baik atau buruk, syurga atau neraka.

Rozmal Malakan
Harakah

27.1.12

TW & Rakan


1 TW
Tercalar luka terguris
hancur punah tergilis
terbelit lidah terjelir
terkunci rapat di bibir

2 TW
hidup menumpang dikata-kata
orang melarat selalu dihina
si kaya berharta dipandang mulia
yang miskin papa sering dicerca

3 TW
menongkah hulu tak sampai
ke hilir mudik tak singgah
yang tinggi tidak tercapai
tak tersentuh yang rendah

yang dikejar tak dapat
yang dikendong berciciran
hendak di kutip tak sempat
dibiarkan saja bertaburan

4. TW
berbau mulut, yg busuk hati
mata celik, fikiran mati...
lidah berkata, telinga tuli
tangan bengkak, bernanah kaki ...

5. TW
kukur kelapa buat kerisik
untuk dicampur kerabu maman
hajat di hati hendak merisik
bunga harum mekar di taman

masak rempah berdaun kari
berlaukkan anak si ikan tuna
bunga kembang di taman seri
idaman hati kumbang teruna

6. TW
Setelah ku buka jendela kamar lalu mata ku tertumpu dan melihat mentari mula terjaga lalu senyum melimpahi sinar cahayanya dari celahan banjaran gunung membiru , tika embun masih lagi beku membasahi dedaunan pohon dan rumput menyegarkan hidupnya membias sedikit dahaga sebelum berlalu pergi dibaham sinar terik mentari. Moga tiada hujankan turun memalapkan keindahan pagi.

7. TW
pergi mengail di Tanjong Jati
umpan terjerat anak ketuka
biar pun parah merobek hati
pasti kucari penawar duka

8. TW
lemak rasa santan berpulut
makan bercicah si madu tebu
cinta hanya manis di mulut
tapi di hati bercabang seribu

menyalai ikan di atas bara
air pencicah si asam jawa
hanya di bibir manis bicara
dendam di hati memintal jiwa

kalau mengait buah keranji
hidup melata di tepi lata
mana setia sumpah dan janji
jika selalu bersanggah kata

Pak Ngah
Harum semerbak si bunga tanjung
Di bawa angin menusuk ke hidung,
Termetri janji tinggi mengunung,
Menunggu tibanya terasa bingung.

Buah keranji buah mengkudu,
Di tanam sebaris si gadis jelita,
Sumpah dan janji pada yang tahu,
Di sangahnya kata terimalah bala......

Ahmad Harun ‎(TW)
kumbang terbang lalu menyinggah
kerana bunga kembang melata
janji termetri pabila di sanggah
hidup merana dilanda derita

bunga harum mekar berkembang
semerbak wangi seluruh taman
hidup kesepian berhati bimbang
sejak mula ditinggalkan teman

Pak Ngah
Anak haruan menyusur aur,
Rumput ditebing hidupnya subur,
Bicara yang cantik biarlah jujur,
Pada Ilahi di punjutkan syukur.

Dagang Pak Malau dagang berisi,
Membawa cerita seribu erti,
Apakah ertinya menabur janji,
Janji disanggah melukakan hati....

Ahmad Harun ‎`
putih pekat santan diperah
habis rosak dek jelaga pelita
pada Allah sentiasa berserah
reda menempuh luka derita

rosaklah madu kerana cuka
habis tumpah di tapak tangan
biarlah hati terguris luka
ku tempoh jua segala halangan

Pak Ngah
Dari kampung datang ke Kota,
Untuk mengubat derita di jiwa,
Kerana janji pemangkinnya usaha,
Walau di sanggah diteruskan jua...

Mekar sungguh si bunga kiambang,
Dimakan buahnya umpama kacang,
Teman tiada dirasakan bimbang,
Alahai.....nampak gayanya teruslah membujang....

Ahmad Harun ‎`
perahu di air bergerak laju
menongkah arus biar perlahan
usah hilang arah dituju
kemudi haluan biar bertahan

biarlah nasi menjadi bubur
boleh dimakan bersama pari
biarlah janji terus terkubur
penawar batin lain dicari

Pak Ngah
Memasang pelita di waktu senja,
Tertumpah minyak serumah dicerca,
Pada Ilahi diampunkan dosa,
semoga derita berubah gembira.

Petang hari pergi ke taman,
Ramainya insan berpasang-pasangan,
Hati terguris menjadi kenangan,
Kerana pengalaman dikuatkan iman

Ahmad Harun ‎`
kalau memotong buah peria
baiklah baik jangan terluka
berakhir derita datanglah ceria
buatlah pedoman di hari muka

badai gelora landa bertalu
rosak kemudi haluan bahtera
kenangan lama biar berlalu
semoga hidup aman sejahtera

Pak Ngah
Hari semalam telah berlalu,
Moga ini hari diteruskan keamanan,
Pada yang tua ditimba ilmu,
Segala teguran dibuatkan pedoman.

Makan ubi duduk di serambi,
Sambil makan tersedak kopi,
Kita berpantun di tengah hari,
Kemanakan perginya Tasuki Kasbi ?

Ahmad Harun ‎`
kalau mencari buah kepayang
pohonnya tinggi di kebun selasih
orang muda kita menyayang
pada yang tua perlu dikasih

kalau pergi ke Kuala Linggi
bawa kereta letak di laman
yang muda berpelajaran tinggi
orang tua luas pengalaman

baiklah baik menuju perigi
kerana laluannya penuh berduri
entah ke mana Wak Tasuki pergi
merajukkah pula membawa diri

Pak Ngah
Tinggi lah tinggi si layang-layang,
Megah menujah terus menjunam,
Bertuahnya yang muda bila disayang,
Sekali diusap terubat demam.

Bau kemboja sunguhlah wangi,
Dipetik setangkai untuk si puteri,
Apakah hebatnya berpelajaran tinggi,
Jika bercakap menyakitkan hati.

Bangun pagi terus mandi,
Habis mandi tak gosok gigi,
Mengapakah Wak Tasuki Kasbi mendiam kan diri?
Adakah gurauan yang menyakitkan hati...

Tasuki Kasbi ‎~ Pak Ngah / Tw..
Kenapa tak kenjutkan Tasuki Kasbi
sedang bercumbu isteri tersayang
tak jauh ke mana kalau saya pergi
di balik dinding nampak terbayang ..

Yang muda pelajaranya tinggi
orang lama penuh pengalaman
kami berdua berdakapan lagi
teraut erat berpegang tangan ..

Kenapa anda merasa gusar
mencari hamba ke sana sini
janganlah tuan tersalah sasar
hamba dah sampai dilaman ini ....

Tasuki Kasbi ‎.
Beli serunding di pasar payang
berlegar legar ke sana ke mari
kenapa tak cari pujaan tersayang
Tasuki Kasbi juga yang dicari ...

Pak Ngah
Di balik dinding nampak terbayang,
Sekali di jengguk tak tidur malam,
Dah dikejutkan Tasuki Kasbi terus menghilang,
Tak nak kacau takut tengah mamam...

Merana hidup umpama si Tanggang
Disumpah ibunya kerana teman,
Dari semalam tak rengang-rengang?
Amboi ...mesranya berpegangan tangan.

Dari pagi berpantun kami,
Mengasah minda menghiburkan hari
Alhamdullilah Tak payahlah kami melaung lagi,
Terima kasih Tasuki Kasbi telah kemari......

Tasuki Kasbi ‎.
JayMee Johann ayunya bersopan
bertudung litup manis ber gaya
bertambah nyerlah duduk didepan
berbeda dengan rakan sebaya ..

Ahmad Harun ‎`
berkokoklah pagi ayam serama
tersentak kucing tergaru-garu
dari mana datang tua dan lama
kalau tidak dari muda dan baru

angsa berada di kebun mangga
selepas berenang di dalam paya
berpelajaran tinggi patut dibangga
berolehlah hidup bertambah jaya

Ahmad Harun ‎`
terbang meluncur burung lelayang
beriringan bersama si burung nuri
wak tasuki kasbi suami penyayang
selalu menghargai anak dan isteri

helang melayang meluncur udara
singgah hinggap di pohon sentang
berpegang tangan sambil bermesra
sampai tak sedar hari dah petang

(alahai sedapnya kalau ada pucuk sentang
nak buat ulan cicah Sambal Nyior..iDAN)

Ahmad Harun ‎`
berdayung sampan ke Kota Raja
singgah bermalam di Kuala Gelama
JayMee Johann asyik like-like sahaja
marilah kita berpantun bersama

Ahmad Harun ‎`
di tepi paya mengail haruan
dapat pula si ikan toman
belajar tinggi tambah pengetahuan
usia meninggi luas pengalaman

waktu petang cuacanya redup
mentari condong sebelah barat
pedoman di cari penyuluh hidup
keimanan di hati bekalan akhirat

23.1.12

SAJAK: HANYA TINGGAL MENGHARAP


menikmati waktu manis dari sekuntum mawar
yang telah lupa
maka hati pun terus dihinggapi rama-rama kegembiraan
seperti suara azan bertalu-talu petanda sudah masuk waktu solat
kemudian tampaklah beberapa orang yang bergegas ke surau
seperti didorong oleh rindu melangit
engkaukah itu?

kini aku bersama sepi seperti pelita yang ditinggalkan nyala di sudut
hanya tinggal mengharap bahwa besok kan datang bersama kereta
membawa sekelompok kebahagiaan bagi hidup
dan nasib tercermin pada kebun hijau yang subur
penuh dengan kembang-kembang harum
penuh dengan buah-buah ranum
sesedap ucapan salam yang sering kauucapkan
bukankah itu penguat ikatan tali silaturrahim?


Karya,

Mohd Adid Ab Rahman
pada pada 8hb Januari 2012 pukul 7.17 ptg
[tersiar di MEDIA TERKINI edisi 15 Januari, 2012]

4.1.12

SUARA PILU DARI DINDING KAMAR


Suara pilu dari dinding kamar
adalah suara rindu lalu yang celaka
kau sendiri yang mendengarnya
setiap gema adalah nafas yang tersia
berulang merobek-robek hatimu yang luka
kedegilannya 'terus mata' ke dalam jiwa lesu
lalu kau telah menjadi masa silammu.

Angin, jiwa, rasa dan kehidupan
tak pernah lena menatang nafsu dan keberuntungan
apalagi belum disiap untuk mengadap malam
lalu 'senja menjadi buta bila memeluk kelam'
yang tinggal hanya sendiri dan sedih
namun bila dinding kamar berdenting
wajah mudah berpaling

wahai saudara
suara pilu dari dinding kamar itu
hanya mainan sandiwara dunia
hanya satu tiket wayang ke neraka

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9DK
10102011 04:15

LUKA NASIB

luka nasib bercerita rekah sawah
menerima sejuta tikam pemberian kemarau
yang berjalan di permatang panjang
sisakan ribuan bilur miris
sakit teriris
di hati para petani

tak juga mau padam perumpamaan bara dihempas hujan deras
atau si bocah kecil kepenatan tertidur pulas
lupakan sekawan rama-rama yang dikejarnya
di laman rumah tadi sore

apakah tak ada ruang dan peluang bagiku
mencelahi sekelompok keluarga yang gelak ketawa
di ujung sengsara membangkai
padahal burung-burung ada senjanya untuk pulang ke sarang
angin pun tidak selalu bertiup satu arah
begitu juga sungai mengalir sampai muara di mana ada
namun luka nasib
sepertinya tidak tahu membaca fenomena itu

namun aku tetap bekerja kuat
mempersolek raut wajah nasib
sehingga tersentuh bulan dikalungi seribu wangi
dari kembang yang disukai bidadari
segala ranjau di jalan kutapaki dengan tabah & bijaksana
kiranya Tuhan ingin mengukur iman
apakah berada di gunung
atau hanya tergantung di ranting kering
menanti patah?

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka
[telah tersiar di Berita Minggu 23/1/2011]

DUNIA HARI INI SEMAKIN MIRIS


i

dunia hari ini semakin miris
melihat pohon-pohon kegelapan tertanam subur di kebun
seperti kesibukan kota raya
kalau seluruh pengguna jalan yang bersimpang-siur
tidak mematuhi peraturan yang telah dibulati
selalu mengundang kecelakaan
yang mengoyak hati sesiapa

ii
orang-orang kian merapati sikap liar
melepaskan pucuk masing-masing ke langit
tidak memandang lagi dari sudut ke sudut
tentang ketimuran yang luhur
lupa berdoa pada Tuhan berlagak sombong
pada hal masih berada di bawah langit biru
yang tinggi kepunyaan-Nya

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Selandar, Melaka.

16.12.11

Kenalilah Tuhan

Kenalilah Allah Engkau akan cinta kepada-Nya
Kenalilah Dia engkau akan takut kepada-Nya
Kenalilah Tuhan pencipta kita
Kita akan redha ketentuan dari-Nya

Kenalilah Allah, kita akan sabar kerana-Nya
Kenalilah Dia kita akan bersyukur kepada-Nya
Kenalilah Tuhan kita akan berkorban untuk-Nya
Kenalilah Allah, kita akan taat kepada-Nya
Taat kita kepada-Nya itulah keselamatan kita

Kenalilah Dia yang menjaga kita
Bahkan Tuhan menjaga keperluan kita
Kenalilah Allah agar kita perlu kepada-Nya
Tuhan adalah segala-galanya buat kita semua
Kenalilah Tuhan agar hidup mati kita keranaNya

Kita akan merasa bertuhan setiap masa
Kita ada kawan yang setia membela kita
Begitulah rasa kehambaan setiap hamba
Apabila dia kenal sungguh Tuhan-Nya

~ Ust. Hj. Ashaari Muhammad