Penaja

9.2.13

ZAIHASRA

(Zaiton binti Ketot @ Abdullah, Noor Zaitun)

LAHIR : 28 Februari 1951, di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka.
MENINGGAL : 22 November 1989.

NAMA Zaihasra menyerlah dalam dunia penulisan tanah air sejak dua dekad yang lalu dengan kelahiran puisi-puisinya yang merakamkan peristiwa dan rasa yang menyentuh diri, cinta, kesepian, putus asa dan harapan.

Zaihasra lahir dari satu keluarga tani yang hidup dalam kesederhanaan.  Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan pernah bekerja sebagai kerani di salah sebuah kilang getah di Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka.  Kemudian beliau bertugas pula di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama tujuh tahun sebagai penerbit rancangan sastera.  Beberapa tahun kemudian, beliau menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka syarikat pembekal keperluan pejabat secara kecil-kecilan.  Atas dorongan kecintaan kepada keindahan alam, Zaihasra meneroka bidang seni taman dan lanskap dengan menubuhkan Syarikat Jitu Sdn. Bhd. bersama-sama seorang rakan kongsi.  Antara beberapa projek lanskap yang diusahakan oleh syarikatnya ialah di Bulatan Semarak dan Projek Lembaga Letrik Negara di Pekan, Pahang.

Tahun 1970-an merupakan detik awal bermulanya kegiatan beliau dalam dunia penulisan puisi, ditambah pula dengan penghijrahan beliau ke Kuala Lumpur pada tahun 1972.  Puisi awal beliau yang berjudul “Mama” disiarkan dalam Dewan Sastera pada tahun 1971.

Dalam penghasilan puisi, Zaihasra lebih suka menarik perhatian pembaca kepada realiti hidup.  Beliau mendekatkan diri kepada alam, membandingkan kehidupan flora dan fauna dengan dirinya sendiri dan mencari kebenaran kata-kata, bertunjangkan keimanan dan harga diri.  Kekuatan puisi Zaihasra terletak pada kematangan fikiran dan perasaannya yang disatukan dengan fenomena alam seperti hukum kewujudan yang sepatutnya.  Tema cinta, setia, rindu, sepi dan konflik diri menjadi pilihan Zaihasra.

Kehadiran beliau dalam dunia penulisan puisi telah menyerlah  bakat serta potensinya, terutama apabila dalam tempoh tiga tahun berturut-turut, beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan puisi-puisinya berjudul “Lautan di Waktu Subuh” pada tahun 1973, “Di Sini Waktu yang Luka”, “Sebuah Cinta Semakin Ungu” dan “Satu Detik yang Teruji”.  Ketiga-tiga buah puisinya termuat  dalam kumpulan puisi Dalam Pelarian Satu.

Beliau juga pernah mendapat hadiah penghargaan dalam sayembara puisi anjuran Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA).  Selain itu, puisi beliau yang berjudul “Penghayatan” telah memenangi Hadiah Khas Puisi Berita Minggu yang mengungkapkan satu pengalaman rohaniah dan akaliah, iaitu memperlihatkan satu fasa hidup bara dalam keresahan hidup dan ketenangan yang diperoleh melalui kebesaran Ilahi.

Dalam Pelarian Satu mengandungi 40 buah puisi pilihan yang ditulis antara tahun 1972-1976.  Dalam Pelarian Tiga  pula, terdapat 30 buah puisi yang tidak mempunyai tajuk tetapi hanya dicatatkan angka bilangan 1–30.  Puisi-puisi dalam kumpulan ini menggambarkan kehidupan penyair yang romantis serta peristiwa yang pernah beliau alami.

Zaihasra pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Penulis Malaysia (PENA) untuk tempoh dua penggal iaitu 1984/85 dan 1986/87.  Bersama-sama Siti Zainon Ismail, beliau menghasilkan sebuah antologi puisi yang berjudul “Akuarium Kota”.  Beliau juga telah menubuhkan kumpulan “Cindai Cinta”, iaitu kumpulan yang mempersembahkan lagu-lagu puisi bersama penyanyi Junainah M. Amin dan Maisara.

Zaihasra bersama-sama beberapa orang penyair lain sempat merakamkan deklamasi puisi mereka dalam kaset “Puisi-puisi Malaysia” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Puisi beliau berjudul “Suatu Senja Aku Berlari di Sini Menanti Keretapi Tiba tapi Dia Telah Pergi” turut dirakamkan.

Kebanyakan puisi Zaihasra disiarkan dalam Dewan Sastera, Mastika, Dewan Masyarakat, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain.

Dalam Pelarian Empat ialah novel sulung yang begitu menarik pengolahannya.  Novel ini menonjolkan satu falsafah yang amat berguna, iaitu kelembutan hari yang lalu dan rakusnya kejadian yang serba berkemungkinan sering menjadikan manusia dewasa.

Nama Zaihasra adalah hasil gabungan beberapa singkatan nama seperti “Zai” untuk Zaiton, “Has” untuk Hasnah, iaitu nama timang-timangan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya dan “Ra” adalah rahsia bagi dirinya.  Selama penglibatannya dalam dunia kesusasteraan, Zaihasra memilih ungkapan “pelarian” sebagai identiti dirinya.  Menerusi ungkapan ini, beliau telah menghasilkan tiga buah karya, iaitu Dalam Pelarian Satu, Dalam Pelarian Tiga dan Dalam Pelarian Empat.  Menurutnya, Dalam Pelarian Kedua itu adalah gambaran tentang dirinya sendiri.

Pada 22 November 1989, dalam usia 38 tahun, Zaihasra telah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat sakit buah pinggang yang dihidapinya sejak beberapa lama dulu.  Jenazah beliau disemadikan di Taman Greenwood, Gombak.  Pemergian Zaihasra adalah suatu kehilangan yang besar dalam dunia kesusasteraan Melayu tanah air.

KARYA

Novel
-     Dalam Pelarian Empat.  Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1982

Puisi
-     Dalam Pelarian I.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977
-     Dalam Pelarian Tiga.  Melaka: Abbas Bandung, 1987
-     Balada Tun Fatimah.  Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 1987
-     Laut, Pohon dan Kota.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988


Zaihasra

   Seorang lagi penyair wanita yang muncul dalam tahun-tahun 70-an ialah Zaihasra atau nama sebenarnya Zaiton Abdullah. Zaihasra ialah penyair contoh yang bersikap individualistik di dalam puisi-puisinya.

   Kebanyakan puisi-puisinya ialah tentang perbicaraannya dengan seseorang tentang sesuatu subjek. Perhatikan sebahagian daripada puisinya 'Mama Tercinta' sebagai contoh:

   mama tercinta
   usah patahkan bibit kasih ini
   nikmat hidup menyapa daku
   sebelum dan sesudahnya
   kasihku pada tanah nini
   padu tak berbagi

   mama tercinta
   sentuhlah dahiku
   dalam ucap selamat
   kasih sayangmu.

   Namun, seperti penyair wanita yang lain, Zaihasra tidak dapat lari daripada menyentuh tema berkenaan dengan pengalaman kewanitaan seperti dalam puisinya 'Lautan Di Waktu Subuh', yang mengisahkan tentang alam perkahwinan dari 'kacamata' seorang wanita.

   lautan di waktu subuh
   ianya seorang gadis yang baru merasai
   nikmat keriaan hidup di malam pernikahan
   melimpah keriangan membanjiri jasadnya
   nikmat meliputi mempesonakan.

   mahu disuarakan ke seluruh dunia
   tapi, dalam genta keriaan subuh itu
   ianya malu pabila mengenang sekian
   yang mengerikan buat pertama kalinya
   namun itu kemesraan - lembut dan malu!

   Kekuatan puisi-puisi Zaihasra terletak pada pemilihan kekatanya yang bertenaga, teliti dan cukup mengesankan. Sekali lagi puisi 'Lautan Di Waktu Subuh' itu merupakan satu contoh yang baik. Tidak hairanlah kalau puisi tersebut pernah memenangi Hadiah Sastera di samping sebuah lagi puisinya yang bertajuk 'Di Sini Waktu Yang Luka Sebuah Cinta Semakin Lusuh'.

   Zaihasra telah menghasilkan dua buah antologi puisinya yang diberi tajuk 'Dalam Pelarian I' dan 'Dalam Pelarian II'.