Penaja

23.5.12

Zahari Hasib: Penyair Kreatif, Bersahaja dan Kaya Pengalaman

Oleh AMINUDIN MANSOR

KEINDAHAN BAHASA di tangan penyair adalah kata-kata yang penuh bermakna. Walaupun kata-kata biasa ia masih membawa makna secara tersurat dan tersirat. Kata-kata yang jernih dari jiwa memancarkan seribu makna, memberikan panduan dan pengajaran kepada manusia. Adunan pengalaman dijadikan bahan penulisan untuk tatapan pembaca. Melalui pemerhatian dan penelitian yang tajam, sebuah karya seperti puisi akhirnya dapat digarap.

Seperti slogan “seni untuk masyarakat”, begitulah seni itu sebati dengan hasrat dan cita-cita penyair Allahyarham Zahari Hasib. Menurut Allahyarham, sajak merupakan sebuah saluran terpenting bagi menyampaikan teguran, pandangan dan kritikan terhadap apa-apa juga yang berlaku di sekeliling kita.

Lantaran itu, bagi Allahyarham, sajak tidak sekadar harus berdiri sebagai sebuah permainan bahasa atau pembinaan kata-kata bombastik sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu, sajak sewajarnya dapat menerapkan pemikiran positif yang boleh direnungkan secara lebih hakikat dan mendalam.

Penglibatan Allahyarham dalam penulisan sajak bermula pada tahun 1965, iaitu pada saat keresahan serta kesepian seorang anak muda. Pada peringkat awal, Allahyarham memang banyak sekali membaca, menghayati serta menyimpan keratan karya orang lain untuk ditatap serta dihayati. Bertolak daripada minat yang mendalam itulah, Allahyarham mencuba pula menulis sendiri. Bagi Allahyarham, selepas membaca serta menghayati orang lain, barulah Allahyarham mendapat kekuatan bahasa dan teknik pengolahan yang baik.

Pada peringkat awal, Allahyarham hanya menyimpan sajak sendiri dalam sebuah fail peribadi. Allahyarham mendapat galakan yang kuat daripada saudara Atondra (Datuk Nordin Haji Abdul Rahman) yang menjadi pengarang majalah Pemimpin. Pada bulan Mei 1969, sajak pertama Allahyarham berjudul Hakikat tersiar dalam majalah Pemimpin. Pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1970, 1971 dan 1972, nama Allahyarham mula mendapat tempat di akhbar terkemuka seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan majalah popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Mastika. Sajak Allahyarham juga mendapat tempat di Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Wanita, Jelita, Sinar Zaman, Nona, Media Hiburan, Mingguan Warta Perdana, Kisah Cinta, Bacaria, Mingguan Famili, Keluarga Harmoni dan majalah serta akhbar yang ada menyediakan ruangan sajak.

Allahyarham pernah berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan tetapi disebabkan syarat kemasukan ke universiti sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Hasrat ini pernah diluahkan dalam Antara Saya dan dalam antologi Debu di Kaca (DBP, 1995).

Allahyarham menulis cerpen, rencana dan skrip drama radio tetapi sajak adalah penulisan yang terpenting dan diminati. Allahyarham pernah memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan menulis cerpen anjuran Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1978. Pada April 1987, Allahyarham memenangi hadiah penghargaan dalam Sayembara Remaja anjuran Esso-Gapena.

Pada November 1988, Allahyarham memenangi hadiah Sastera Malaysia (bidang puisi) dengan judul Pelita. Pada Mac 1989 pula, Allahyarham memenangi dua hadiah serentak dalam Sayembara Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (bidang puisi dan cerpen). Empat antologi sajak Allahyarham telah diterbitkan setakat ini, iaitu Bunga-Bunga Terbuang (1989), Menyorot Kisah dan Ilham (Penerbitan Bernas, 1989) dan Kuntum Harapan – Kumpulan Puisi Remaja (DBP, 1992); Debu di Kaca adalah antologi puisinya yang menampakkan kekuatan dari segi kreativiti dan nilai estetik, memuatkan 83 sajak yang menyentuh pelbagai tema dan persoalan.

Seperti katanya, “Saya akui, sememangnya saya tidak mendapat pendidikan atau pembelajaran formal sama ada melalui kursus penulisan di universiti. Saya hanya sekadar mempunyai kelulusan LCE. Kelayakan tersebut, tentunya tidak mengizinkan saya untuk memasuki mana-mana kursus atau pengajian penulisan di Universiti Malaya atau Universiti Sains Malaysia, yang kelayakan memasukinya minimum SPM atau STPM”.

Penyair Zahari Hasib lahir pada 15 Jun 1947, di Kampung Seleboh, Parit, Perak Darul Ridzuan. Mendapat pendidikan di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, hingga tamat LCE pada tahun 1963. Mula menulis sejak tahun 1965. Berkat semangat dan kegigihan Allahyarham berjaya sebagai penyair dalam kelasnya yang tersendiri.

Tanpa menghiraukan semua itu, disebabkan minat yang mendalam, bersama-sama kekuatan dan daya usaha Allahyarham sendiri, iaitu dengan banyak membaca majalah, akhbar dan buku, serta selalu menghayati karya orang lain, Allahyarham terus menulis tanpa berasa jemu hingga ke akhir hayatnya. Selepas bersara, Allahyarham terus giat menulis walaupun menetap di Taman Intan Mas, Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, Perak. Allahyarham pernah berkhidmat dengan Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia selama lima tahun. Pada tahun 1970 hingga 1973 bertugas sebagai Pengawal kampus Universiti Malaya. Pada tahun 1974 menjadi Pegawai Kerani di Unit Keselamatan Bank Negara, Kuala Lumpur, dan bersara.

Kecintaan Allahyarham terhadap sastera sangat mendalam. Sehubungan itu, Allahyarham sering berpegang kepada kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang, “Bilakah agaknya kita akan dapat melihat setiap orang di Malaysia ini akan menerima dan membaca puisi itu sama seperti pentingnya seperti kopi, teh, roti atau nasi lemak yang semestinya menjadi hidangan sewaktu bersarapan.”

Sajak Allahyarham istimewa kerana menggunakan bahasa yang mudah difahami dan dapat menyampaikan apa-apa yang tersurat dan tersirat meliputi persoalan kehidupan manusia, masalah kepincangan sosial, ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat, falsafah, keagamaan, ketuhanan dan kecintaan terhadap pemuliharaan alam sekitar. Persoalan begini kerap ditemui dalam sajak Allahyarham.

Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang mesra dan mudah meresap ke jiwa pembaca. Penggunaan bahasa yang kreatif dan bersahaja dapat menyampaikan persoalan biasa yang diangkat untuk renungan masyarakat. Kejujuran dan kejelasan makna menjadikan sajak Allahyarham dapat dihayati oleh semua peringkat pembaca.

Pertalian Allahyarham dengan sajak terlalu akrab, setiap kali membuka majalah dan akhbar pasti halaman puisi yang terlebih dahulu Allahyarham tatap dan baca. Allahyarham sering mengucapkan tahniah kepada rakan penulis apabila sajak mereka tersiar dalam mana-mana akhbar dan majalah. Kadang-kadang Allahyarham mengetahui lebih awal daripada penulis. Begitu juga sebaliknya, penulis mengucapkan tahniah apabila sajak Allahyarham tersiar dalam mana-mana akhbar dan majalah. Pernah Allahyarham tidak mendapat beberapa akhbar Mingguan Warta Perdana dan Allahyarham meminta editor mengirimkan tiga keluaran, tanpa menduga Allahyarham mengirimkan RM10 sebagai bayaran, tetapi malangnya wang tersebut telah hilang dalam sampul yang bersetem biasa.

Ilham daripada sajak Allahyarham banyak bersumberkan inspirasi anak Allahyarham, iaitu Zarina, Zanariah, Aminudin dan Rafidah serta isterinya, Teheran Abdullah. Selain itu, tema dan persoalan keluarga dalam sajaknya juga menyentuh hal-hal biasa yang terlepas pandang oleh kebanyakan orang seperti “Seorang Anjing Seekor Manusia”, “Esok Saya Mati”, “Kaki Lima”, “Senyum kekasih”, “Sajak di Rumah Orang Mati”, “Durian”, “Gasing, Layang-layang dan Golf”, “Orang dan Kambing” dan “Bunga dan Tukang Kebun”, semua ini termuat dalam antologi Debu di Kaca.

Allahyarham pernah menjadi Bendahari Karyawan PK serta terlibat dalam banyak aktiviti persatuan termasuk menjadi hos Majlis Gebang di Pasir Salak pada 11 Disember 1994. Menurut Mohamad Daud Mohamad, dalam Debu di Kaca, “Zahari Hasib menampakkan teknik peran dan gaya yang tersendiri. Bahasanya mudah dicerna dan mantap. Penyair menampakkan kejujuran dan kesungguhan mencernakan setiap objek yang diolah dan dirakamkan kembali. Dari segi irama (ritma dan rima), ternyata penempatan asonansi, aliterasi dan konsonan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berlandaskan kekuatan intelektual dan pengalaman empiris yang mantap”.

Allahyarham yang meminati Tan Sri P.Ramlee sangat menghargai semangat setia kawan. Menurutnya, galakan, tunjuk ajar, bimbingan serta perhatian mereka atas segala usahanya selama ini amat dihargai. Antaranya, para editor majalah dan akhbar seperti Atondra, A.R. Kamaluddin, Usman Awang, Ibrahim Omar, Raja Ahmad Niza, Wahba, A. Rahim Abdullah, Johan Jaafar, Kemala, Hassan Alias, Dr. Talib Samat, Adnan Abdul Majid, Mohammad Daud Mohamad, Wahid Kasran, Salbiah Ani, Ku Seman Ku Hussain, Nor Asmah Zakaria, Mat Piah Teh Deris, Padilah Haji Ali, Rozninah Abd. Azib, Armin Azahari Salleh, dan Zaidi Ismail.

Dalam kalangan kawan-kawan dan sahabat handai, Allahyarham selalu mengunjunginya dengan menaiki bas dari Teluk Intan, sama ada di Berita Harian atau Dewan Bahasa dan Pustaka, malah ke Utusan Melayu dan beberapa penerbitan lain dengan menghadiahkan gula-gula sebagai ingatan tulus ikhlas dan tanda persahabatan langsung mengeratkan hubungan silaturahim. Kini Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 26 Februari 2012, kira-kira jam 7.30 petang dalam usia 65 tahun akibat serangan angin ahmar ketika azan maghrib setelah sering sakit sejak dua minggu sebelumnya. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan 10 orang cucu serta ribuan mutiara bahasa iaitu sajak, cerpen, drama dan rencana agama yang penuh makna untuk renungan dan pengajaran kepada kita.
Al-Fatihah.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.