Penaja

4.3.12

Sanggar Kreatif: Ramadan ini, kau pulanglah!


Oleh MD Nizar Parman

2010/08/22

KALAU aku katakan bahawa aku berputus asa untuk menjejakimu, jawapan yang tepat sebenarnya tidak. Tiba-tiba kaumenghilang. Tentu sahaja aku yang mewakili adik-adikku menjadi kebingungan. Masing-masing menyalahkan aku. Kaufikir, selama mana kupingku bisa betah mendengar rungutan dan sindiran mereka?

Tanpa sebarang pesan atau nota kautinggalkan, alih-alih sahaja kaulesap. Tentu sahaja tindakanmu itu mengundang kegelisahan. Sebaik sahaja kukhabarkan tentang kehilanganmu, adik-adikku yang lain bergegas ke rumahku – menyoalku dengan pertanyaan bertalu-talu seperti peluru. Aku seperti seorang penjenayah di kandang pesalah.
“Macam mana boleh jadi begini, along? Apa along dah buat?” tukas angah. Suaminya juga turut menempelak saya. Anak-anaknya juga mencebikkan bibir apabila memandang saya.
“Manalah Along tahu? Rasa-rasanya along dan kak long kamu tidak ada pun menggores perasaannya,” hujahku membela diri. Apa lagi yang dapat aku lakukan? “Di rumah ini, tidak ada yang kurangnya. Makan dan minumnya terjaga. Orang gaji abang long sentiasa ada.”

Uda yang baharu sampai dengan isterinya juga turut melemparkan dakwaan yang sama. Katanya, aku tidak pandai mengambil hatimu. Lantas, apa lagi yang harus aku lakukan jika terus-terusan diasak begitu?

Usu, anak lelaki kesayanganmu yang masih mentah itu pun sudah pandai menyalahkan aku – menyindir-nyindir aku dengan kata-kata yang menikam gegendang telingaku. Aku itulah. Aku inilah. Aku lupa daratanlah. Aku tidak mengenang budilah. Kaufikir aku betah?

Aku sedar, tindakanmu itu mungkin berpunca daripada keadaan hidupku sekarang. Tetapi, kekayaan yang aku miliki ini bukan suatu dosa. Dan, aku percaya kemewahan hidup yang sedang kukecapi sekarang kerana doamu juga. Aku yakin tentang itu.
Aku masih ingat kata-katamu setelah beberapa hari kautinggal bersama-samaku – di rumah agam ini. Aku dapat menebak maksud kata-katamu itu.

“Fahmi, rumah kau ini seperti belantara. Sunyi. Bagaimanakah kau dapat hidup di rumah seperti ini? Tak ubah seperti penjara batu.”

Dan, aku hanya diam. Isteriku, Rohana juga diam. Anak-anakku juga diam. Ketahuilah, aku paling tidak suka membantah kata-katamu – hal itu akan berlarut-larutan sehingga kita bermasam muka.

“Maksudnya?” Aku bertanya begitu sekadar ingin tahu apa yang sebenarnya membadai jiwamu dan yang tersembunyi dalam garizahmu.

“Di mana-mana pun aku berada, kau tahu apa yang aku rasa?” Sepasang matamu yang sayu memandang tepat ke arahku, kemudian memandang isteriku dan anak-anakku; satu-persatu.

Kami hanya diam, menanti muntahan kata yang seterusnya dari mulutmu.
“Aku sunyi. Seawal pagi kamu berdua sudah meninggalkan rumah ini. Tidak lama selepas itu, anak-anakmu pula. Lantas, apa guna mulutku ini? Berbicara dengan dinding? Dengan tingkap? Dengan pintu?” ujarmu. “Dan, kau pulang setelah lewat malam. Begitu juga dengan isterimu. Apakah duniamu hanya di pejabat dan di kamar tidur?”

Emosi.

Aku mengerti benar akan perasaanmu. Tetapi itulah realiti kehidupan hari ini yang mesti kaufahami. Bukankah kau pernah berpesan dahulu, gunakanlah ilmu dan kepintaran yang ada untuk mencari kekayaan dan kesenangan hidup? Hanya dengan cara itu kita akan dapat memanfaatkan hidup ini untuk membantu ahli keluarga dan insan yang kurang bernasib baik. Masakan kau sudah lupa?

Tatkala angah ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang kedoktoran dahulu, bukankah ongkosku yang membiayainya tanpa mengharapkan sesen pun bantuan daripada kerajaan? Semasa uda ingin menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Jerman dahulu, bukankah sebahagian wangku juga yang digunakannya di sana? Dan, kini ketika usu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di sini, bukankah wangku juga yang mengalir terus kepadanya?

Aku hanya ingin menjadi anak yang baik; dapat membantu adik-adikku dan membahagiakanmu yang telah bersusah payah membanting tulang empat kerat untuk menyara pengajianku dahulu.

Aku tidak pernah lupa akan tanah kita di hujung kampung yang terpaksa kaujual untuk membiayai pengajianku di luar negara dahulu. Kerana niatmu itu, bukankah kita pernah bertegang leher kerana aku tidak mahu tanah itu digadaikan semata-mata untuk membiayai pengajianku.

“Keturunan aku, tak ada yang keras kepala macam kau ni! Kaufikir senang untuk dapat peluang belajar ke luar negara? Kau jangan bagi aku malu, Fahmi. Biar aku bergolok bergadai, asalkan kau jadi pandai!” tegasmu.
“Saya tak mahu hal ini akan jadi ungkitan kelak,” ujarku. “Nanti apa orang kampung ni cakap? Malulah!”

“Habis, kaufikir kau tak pergi belajar ke luar negara tu aku tak malu? Kau nak orang kampung ni mengumpat aku? Mengata aku? Miskin sangatkah aku ni? Tanah tu pun bukan boleh dibawa mati!” Bentakmu sehingga tersembul urat di sebalik kulit leher kedutmu. Marah yang bukan main-main.

Aku tetap membantah dan berkeras sehingga peperangan mulut kita sore itu menjadi tontonan tetangga kita. Akhirnya aku mengalah apabila golok kesayanganmu yang berkilau apabila terkena sinaran mentari betul-betul berada di leherku.

“Aku sanggup melakukannya kerana aku tak mahu kau menyesal kemudian hari,” bisikmu ke telingaku dan hembusan hangat nafasmu itu masih terasa hangatnya sehingga kini.

Bukankah tanah yang tergadai itu telah kutebus kembali walaupun aku terpaksa membayarnya hampir lima kali ganda harga asalnya? Tanah itu telah kuhadiahkan kepadamu sebagai tanda pengorbananmu yang tidak ternilai itu? Lantaran apakah gerangan yang secara tiba-tiba membuatkan kaumenjeruk rasa begini?

Bingung. Ya, perasaan ini benar-benar mengaruk dalam jiwaku sejak kaumeninggalkan rumah ini secara tiba-tiba. Bukan sahaja aku, malah isteri dan anak-anakku juga bingung. Dan, kerana bingung itulah aku dan Rohana sudah beberapa kali bertengkar. Aku menyalahkan dia. Dia menyalahkan aku. Saling menyalahkan!

Ketahuilah, aku tidak pernah pun berkecil hati dengan kata-katamu yang berbaur sindiran. Aku hanya membungkam sahaja. Mengiakan tidak; membantah jauh sekali.
“Mengapakah orang yang punya pangkat dan kedudukan suka buat rumah di tempat yang jauh dan sunyi begini? Angah pun sama, kawasan kediamannya perlu melalui kawalan keselamatan yang ketat. Uda begitu juga, tinggal di pangsapuri yang tidak boleh dimasuki orang sembarangan. Nanti usu pun begitu juga. Agaknya .…”

“Bukankah kediaman seperti ini lebih aman dan tenang?” ujarku lembut.
“Aman? Tenang? Kau tahu sunyi? Mengapakah ke mana-mana sahaja aku pergi, keadaannya sama sahaja? Sunyi,” katamu meluahkan apa yang membonjol di hatimu.
“Sunyi itu lebih baik daripada sehari suntuk mendengar bunyi bingit kenderaan di ibu kota,” balasku.

Kau hanya menjuihkan bibir dan meninggalkanku termanggu-manggu.
Keliru. Keliru yang akhirnya menimbulkan kecelaruan. Kami berempat berusaha untuk menjejakimu, tetapi usaha itu hanya membuahkan hampa. Kukira kaupulang ke kampung – hampa apabila jiran-jiran memberitahu mereka langsung tidak melihat batang hidungmu! Setelah beberapa hari, akhirnya kami membuat keputusan untuk melaporkannya kepada pihak polis. Biar mereka pula yang menjejakimu.

Dari hari ke hari; minggu ke minggu; bulan ke bulan masih tiada khabar berita tentang dirimu. Kau tahu, angin resah yang sering menampar pipiku akhirnya menjadi ribut kencang yang terus membelasah tubuhku – juga hidupku. Di mana aku harus mencarimu?

Ramadan. Beberapa hari lagi bulan yang menjanjikan ganjaran yang sebanyak-banyaknya daripada Allah bakal menjelma. Entah. Mengapa secara tiba-tiba hatiku ini dihambat perasaan sayu yang tidak tertahan lagi.

Segala detik yang pernah kulalui ketika zaman kanak-kanak kembali menerpa dalam ingatanku. Kita sama-sama berjalan kaki meredah pekat malam hanya menggunakan jamung untuk bersolat Tarawih dan pulang agak lewat selepas kau selesai bertadarus. Selepas bersahur, kita ke surau membelah kesunyian pagi untuk bersolat Subuh. Dan kau akan memeluk tubuhku yang kesejukan sepanjang perjalanan pada subuh yang mendinginkan itu.

Ah, mengapa kali ini tiba-tiba sahaja semua itu menjelma? Aku terus-terusan memikirkan jawapannya. Lantas terlintas di fikiranku, inikah yang kau mahu? Jika benar begitu, alangkah berdosanya aku.

Perkhabaran yang kuterima itu ibarat halilintar yang memanah tubuhku. Ya, Allah! Mengapakah sejauh itu kaupergi? Apa yang kaucari? Semua ini takdir Allah. Syuhana, anak saudaramu yang bekerja sebagai jururawat di sebuah rumah sakit di sana yang merawatmu kerana kau ditemui pengsan di tanah perkuburan. Dia memaklumkan kepadaku dua hari yang lalu.

Pasti kau akan berasa terkejut apabila melihatku menyusulmu hingga ke sini. Matamu masih tertutup rapat, hanya dadamu yang masih berombak. Sejak pagi tadi, entah berapa kali kubelai-belai rambutmu yang kian memutih. Air mataku? Usah diceritakan. Sayu. Pilu. Entah.

Andai kau sedar, akan kubisikkan sendiri ke telingamu bahawa Ramadan ini aku akan menemani di kampung sehingga menjelangnya Syawal. Aku akan membahagiakanmu sebagaimana engkau pernah membahagiaku semasa aku kanak-kanak dahulu. Itu janjiku.

Akhirnya kaubuka juga matamu. Dan air jernih yang mengalir di cerun pipi kedutmu itu kuseka dengan hujung ibu jariku. Lalu aku mendakap tubuhmu semahu-mahunya. Syukur ya, Allah! Aku dapat merasakan jari-jemarimu mengusap-usap kepalaku. Kemudian kaudongakkan mukaku agar memandang tepat wajahmu.

“Aku sunyi, Fahmi. Aku ingin menemani ibumu di sini. Kebahagiaan dan kegembiraanku ada di sini … di bumi bersemadinya Rasulullah,” ujarmu dengan suara terketar-ketar.

Lalu kudekatkan bibirku ke telingamu lantas berbisik, “Ayah, seharusnya kaubelajar untuk merelakan dan melepaskan. Ramadan ini, kau pulanglah!”

Info
MD Nizar Parman menekuni genre cerpen dan puisi. Karyanya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana. Johan Sayembara Sastera Hari Guru Perak 1995 Kategori cerpen, Pemenang Hadiah Utama Sayembara Cerpen Guru DBP-BPG 1998 dan Pemenang Hadiah Sagu Hati Sayembara Cerpen Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007. Kini berkhidmat sebagai guru Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, Seri Lalang, Kluang, Johor.