BANGSA yang menilai hasil karya sasteranya adalah bangsa bertamadun, maju dan menuju kecemerlangan. Hasil sastera adalah akal budi bangsa yang dicipta oleh para sasterawan, budayawan, dan cendekiawan yang mahukan bangsanya hidup dengan harmoni dan berbudaya.
Itulah sebabnya kata-kata "sastera adalah cermin masyarakat" yang menggambarkan kehidupan dan sosiobudaya masyarakat sejak dahulu hingga kini. Sejak dahulu sastera Melayu dituturkan melalui amalan budaya dan kehidupan seperti pantun, syair, gurindam, seloka, peribahasa dan kata-kata hikmat. Kini bahan-bahan tersebut masih dikekalkan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah menengah.
Sastera berkembang dan terus hidup dalam masyarakat. Masyarakat yang meminggirkan sasteranya bermakna masyarakat hilang cermin untuk melihat peribadi, hati budi dan ketamadunan.
Masyarakat dahulu mempraktikkan pantun dalam kehidupan. Misalnya semasa bekerja di sawah, di bendang dan di ladang. Alam dan persekitaran menjadi bahan sastera yang diucapkan melalui pantun secara spontan. Pantun telah menjadi alat perhubungan, pengikat kemesraan melalui upacara merisik, pertunangan dan perkahwinan.
Objek-objek indah yang dapat dikesan melalui kuasa deria diucapkan melalui pantun. Keindahan telah menyedarkan manusia tentang wujudnya Maha Pencipta yang mencipta alam ini. Sebagai contoh pantun yang biasa kita dengar ini dicipta melalui pemerhatian alam:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
Plato berpendapat objek-objek indah yang dapat kita kesan melalui kuasa deria berlainan sama sekali daripada keindahan itu sendiri. Tetapi keindahan itu sendiri tidak wujud dalam alam kuasa deria. Keindahan dalam bentuknya yang tersendiri hanya wujud dalam alam akaliah.
Justeru, Plato pernah berkata, "Kebaikan atau sebarang benda lain yang baik (jika dia apa daya pun memperoleh imej sesuatu dia memperolehnya melalui pendapatnya bukan melalui pengetahuannya)?
Seperti kata Matthew Arnold, sastera adalah cermin kehidupan. Ini bermakna melalui sastera kita dapat melihat dan merenung kembali kehidupan masa lampau dan gambaran masa depan.
Jelaslah, dalam sastera Melayu khususnya pantun nilai keindahan dan estetik ini sangat dititik beratkan oleh pencipta pantun atau pujangga tak bernama. Mereka ini mencipta pantun disesuaikan dengan kehidupan serta amalan masyarakat pada masa dahulu, dan sesetengahnya masih relevan dengan keadaan pada masa kini.
Justeru, pada masa kini mempraktikkan nilai sastera; iaitu nilai-nilai yang baik, nilai murni, nilai moral dan nilai Islam itu kini dipraktikkan dalam P&P Komponen Sastera (Komsas) di sekolah menengah. Teks sastera yang dijadikan bahan Komsas seperti cerpen, drama, prosa klasik, sajak, pantun, syair, gurindam, seloka dan novel sedikit sebanyak telah mendidik anak-anak remaja ke arah kebaikan.
Sebagai contoh Komsas Tingkatan Satu antologi Kasut Kelopak Jantung; Puisi Tradisional mengandungi empat pantun, dua syair, tujuh sajak, empat prosa tradisional, tujuh cerpen dan empat drama. Manakala Tingkatan Dua Gema Sepi Gadis Genius; Puisi Tradisional tiga pantun, tiga syair, enam sajak, Prosa Tradisional mengandungi empat cerita, enam cerpen dan tiga drama.
Tingkatan Tiga teks lama Anak Bumi Tercinta; Puisi Tradisional mengandungi tiga pantun, tiga syair dan puisi baharu enam sajak. Prosa Tradisional empat cerita, enam cerpen dan tiga drama. Bagi teks Tingkatan empat antologi Harga Remaja mengandungi Puisi Tradisional dua pantun, dua syair, satu gurindam. Bagi puisi baharu enam sajak, Prosa Tradisional empat cerita dan lima cerpen. Bagi Tingkatan Lima Antologi Dirgahayu Bahasaku mengandungi Puisi Tradisional dua pantun, dua syair, satu gurindam dan satu seloka. Puisi baharu enam sajak. Prosa Tradisional empat cerita dan enam cerpen serta tiga drama.
Pengajaran
Jika dikira pada jumlahnya sudah memadai dan mencukupi bagi pengajaran dan pembelajaran (P&P) Komsas dan ada sekolah yang tidak sempat menghabiskannya. Mempraktikkan nilai sastera dalam kehidupan mestilah bermula dari awal iaitu sebaik-baiknya di peringkat sekolah rendah.
Nilai-nilai yang baik yang dapat dipelajari adalah melalui tema dan persoalan, watak dan perwatakan, nilai dan pengajaran. Semua ini terdapat dalam bahan Komsas yang memaparkan realiti kehidupan manusia sebenar.
Pakar-pakar psikologi pendidikan menyatakan pembelajaran aktif dapat dilakukan melalui bahan sastera di dalam kelas. Ini disebabkan, psikologi berkaitan dengan ilmu yang mengkaji tingkah laku yang nyata. Justeru, pembelajaran dapat dilakukan melalui tingkah laku yang kekal akibat latihan, pengalaman dan juga proses pemikiran.
Sebagai contoh Pantun Dua Kerat (nasihat) Tingkatan satu. Perhatikan petikan di bawah:
Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.
Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.
Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.
Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama mampu pencuri.
(Md Ali Bachik, petikan antologi Kasut Kelopak Jantung, 2009)
Berdasarkan pantun-pantun di atas P&P dapat dilakukan dengan berkesan kepada pelajar Tingkatan satu. Pancaran nasihat yang jelas dan ringkas dapat diterima melalui pantun yang disampaikan. Terdapat unsur nilai murni, pengajaran, ketinggian budi, kehalusan bahasa, keindahan estetik, ketajaman fikiran, falsafah dan pengalaman hidup yang dapat membentuk akal budi generasi muda.
Bahan-bahan lain seperti syair, gurindam, seloka, sajak, cerpen, prosa tradisional dan drama dalam Komsas sebenarnya sedikit sebanyak dapat mendidik dan mengajar pelajar ke arah kebaikan. Jika dianalisis dan dikaji keberkesanan karya sastera dalam pendidikan memberikan kesan yang positif. Sebagai contoh pantun adalah puisi Melayu tradisional yang asli, tersebar dan berkembang meluas dalam masyarakat Melayu.
Pantun mempunyai nilai keindahan, pemikiran dan falsafah merupakan khazanah warisan Melayu yang menyimpan berjuta makna tersirat untuk dijadikan pedoman dan pengajaran kepada generasi masa kini.