Penaja
3.5.11
CATATAN AWAL MUSIM
Jika tiba-tiba malam ini kau terdengar daun kelapa
bergeser di tengah padang saujana
ketahuilah hai anak mentadak
bahawa inilah malamnya
kau buktikan kedewasaanmu
mencabar keupayaan kumbang-kumbang malam yang
tidak berhenti-henti merengek
maafkan aku, tidak dapat membantumu
kau harus bertahan dengan kaki-kaki kerdilmu
kerana duri-durinya menandingi bisa parah seri rama
dan sayap-sayapmu yang nipis
adalah teguh, agung sebenarnya
seutuh perisai sang rawana
maafkan aku, tidak dapat membantumu
di awal musim ini segalanya bersusun bertindih
menungggu masa untuk dipunggah diteliti
kemudian diatur semula menurut abjad sejarah
banyak keindahan ruwet, antaranya kau, terpaksa kulupakan
maaf, aku terlalu sibuk untuk melayanimu
sendirian kau harus ke medan lestari dengan semangat padu.
RUBIZA MOHD. MOKHTAR
Kuala Lumpur
2 Jan '90