DARI kiri; Dr Ahmad Razali, Saleeh, Mior Kamarul, Dr Lim dan Raja Rajeswari tekun mendengar sesi wacana.
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/01/17
Kontroversi Interlok dirungkai dengan mengajak semua melihat dalam konteks teks
MELIHAT Interlok dalam kerangka sastera dan kerangka politik sangat berbeza, lalu, menjadikan Interlok sebagai kambing hitam politik adalah tindakan kurang bijak, apatah lagi dilakukan oleh ahli politik yang jelas memperlihatkan sebagai cara melobi paling terdesak.
Sebenarnya, jangan berdendam dengan sejarah kerana tanpanya, Malaysia tidak akan wujud dan ini rumusan ringkas yang boleh dibuat lewat Wacana Interlok; Jujur atau Perkauman di Ruang Awam, Anjung Riong, Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, minggu lalu.
“Dalam hal Interlok, kita perlu berhujah dengan fakta bukan emosi. Pada akhirnya, subjek sebenar yang ingin diangkat pengarang novel adalah sifat integriti dan toleransi yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Pengarang Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani.
Beliau meletakkan Interlok dari sudut sastera sebagai karya besar yang sangat indah kerana merakam sejarah dan realiti kehidupan permulaan sebuah negara bernama Malaysia dan jika dilihat dengan lebih teliti, ia sebenarnya merakam kesepakatan tiga bangsa; Melayu, Cina dan India dalam menentang Malayan Union.
“Interlok memenuhi beberapa ciri yang ditetapkan sebagai teks Komponan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Sejarah masa lampau tidak menjadi fokus dalam Interlok. Sebaliknya kepentingan ketiga kaum mengekalkan kemerdekaan.
“Kepentingan generasi baru dari ketiga-tiga kaum membina tamadun baru. Kepentingan sejarah lalu dijadikan sandaran. Kita mesti kembali kepada matlamat KOMSAS. Kita tidak boleh merendah-rendahkan keupayaan pelajar dan guru. Guru sebagai peneraju dan membantu kefahaman pelajar,” jelasnya pada sesi soal jawab.
Interlok karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam, Datuk T Murugiah, mendakwa novel itu bersifat perkauman, menghina bangsa Melayu dan India serta mahu ia ditarik serta merta daripada menjadi teks Komponan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMAS) pelajar Tingkatan Lima negara ini.
Ia disusuli dengan gesaan dua lagi pemimpin politik MIC, sebelum akhirnya membawa kepada peristiwa membakar novel Interlok dan gambar pendua pengarangnya berukuran A4 sambil kasut dilemparkan ke wajah SN terbabit oleh 100 penduduk keturunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang, pada 8 Januari lalu, sambil disaksikan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, Manoharan.
Mantan Pensyarah Sastera, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu, menyifatkan Interlok sebagai karya berat yang kajian mengenainya tidak boleh dilihat dengan membaca satu diksi, tetapi perlu merangkumi ciri intristik; persoalan, plot, tema, teknik, perwatakan, latar suasana dan nada.
Selain itu, Interlok juga perlu dinilai secara ekstrinsik iaitu kajian ilmiah mengenai latar masa (sebelum atau selepas perang, sebelum merdeka, Asas 50, selepas perang) dan alirannya sama ada naturalisme, romantisme, realisme dan sebagainya.
“Menarik balik Interlok sebagai teks KOMSAS, bererti menyekat keintelektualan mereka. Jangan cuba merendahkan keupayaan intelek pelajar Tingkatan Lima zaman ini. Mereka mungkin lebih bijak dan rasional berbanding sesetengah ahli politik,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang peserta yang merumuskan Interlok akan menyebabkan pelajar negara ini menjadi samseng.
Ketika melapah Interlok Dr Fatimah melihat kontroversi, keributan dan kekalutan yang berlaku pada Interlok sungguh luar biasa hingga mengatasi novel Shit karya SN, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad (1999) dan Satanic Verses (Salman Rushdie, 1991) di Iran sehingga pemimpin negara itu menjatuhkan hukuman bunuh ke atas pengarang terbabit.
“Tercetusnya kontroversi ini kerana mereka tidak membaca Interlok. Mereka mahu membabitkan diri dengan semangat perkauman yang penuh emosi,” katanya pada wacana yang dihadiri lebih 100 peserta dengan majoriti daripada mereka adalah pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dr Fatimah ralat dengan kontroversi yang berlaku pada Interlok kerana ia memaparkan realiti sejarah, tetapi cuba dinafikan kelompok tertentu dan pengarang menulisnya tanpa niat menghina, sebaliknya berdasarkan fakta dengan merujuk kepada kenalannya di kalangan sarjana India.
“Tiada kasta di kalangan orang India di Malaysia berbanding di India. Walaupun hari ini India sebuah negara yang demokratik, sosialis dan sekular, pengamalan kasta masih lagi wujud di kawasan pedalaman sehingga kini. Perbezaan kasta menjadi rencah utama penghasilan novel beberapa penulis India,” katanya.
Untouchable karya Mulk Raj Anand yang terbit pada 1935 dan diterjemah pula ke dalam 20 bahasa, Nectar in A Seive (Kamala Markandaya - 1955), Kanthapura (Raja Roa, 1971), The Sweet Vendor (RK Narayanan, 1970) dan A Passage to India (EM Forster, 1972), semuanya memperkatakan perbezaan kasta.
Beliau mempersoalkan adakah kerana semua buku terbabit tidak terbit di Malaysia, walaupun ada yang diterjemah dalam bahasa Melayu dan tidak digunakan sebagai teks KOMSAS, maka ia ‘suci’ lagi ‘halal’ dan bertambah ironi apabila Untouchable menjadi teks sastera peringkat universiti, sedangkan ia mengandungi unsur penghinaan yang dahsyat.
Halaman 51 dan 52, Untouchable memaparkan dialog ketika Bakha tersentuh dengan seorang golongan Brahman di bandar sehingga insan itu dimaki hamun seperti berikut;
“Why dont you call me, you swine and announce your approach! Do you know you have touched me and defiled me, cock-eyes son of a bow-legged scorpion! Now I will have to go and take a bath to purify myself ...,”
“Dirty dog! son of bitch! Offspring of a pig!”
Lebih hebat, Untouchable dinobat sebagai karya agung fiksyen India dan memenangi pula Anugerah Akademi Sahitya!, sehingga amalan menentang kasta menjadi antara agenda perjuangan Negarawan India, Mahatma Ghandi, demi menghapuskannya dan masih dikenang sebagai sejarah India sehingga kini.
‘Apa kata mereka’
KETIKA Wacana Interlok: Jujur atau Perkauman? berlangsung di Public Space, New Strait Times Press (NSTP), pada 14 Januari lalu, selama satu setengah jam bermula jam 10.30 pagi, beberapa pandangan dikumpul.
Peserta dibenarkan untuk bertanya dan mengeluarkan pandangan sebagai tanda wacana anjuran Berita Harian bertujuan meleraikan masalah, bukannya membakar suasana sedia tegang disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.
Ruang bertanya dan menyatakan pandangan bukan saja dibuka di kalangan orang sastera, tetapi juga di luar lingkungan serta merangkumi pelbagai kaum bagi memastikan pandangan lebih beragam dirakam.
“Saya tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung Interlok daripada Biro Pengaduan Awam. Saya hanya mengetahui selepas membaca kenyataan dalam media oleh badan terbabit. Hal ini tidak pernah dirujuk kepada saya. Cara rasa tidak puas hati itu disalurkan tidak mengikut peraturan kerja sebagai seorang kakitangan kerajaan”
Mohd Solihan Badri
Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran
“Sebenarnya dalam Interlok martabat orang India diangkat melalui watak Maniam. Beberapa kali beliau dirujuk sebagai tuan. Persahabatan antara anak Maniam dengan anak Seman kekal hingga bergenerasi. Banyak persamaan antara Maniam dan Seman. Yang membezakan mereka hanya agama. Interlok tidak boleh dilihat dari satu sudut saja. Tidak boleh melontar kritikan hanya disebabkan satu diksi. Ia tidak adil untuk pengarang”
Raja Rajeswari Seetha Raman
Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Bahasa Melayu.
“Ada dua isu melingkari Interlok. Isu sastera dan isu politik. Dari segi sastera, novel ini tiada langsung unsur penghinaan, sebaliknya tebal dengan semangat perpaduan. Dari segi politik, ia kelihatan cuba dipolitikkan”
Salleh Rahamad
Presiden PENA
“Saya tidak terpukul dengan Interlok kerana ia adalah rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Saya warga Malaysia dan anak-anak saya juga warga Malaysia. Kami tidak pernah hidup dalam kasta. Kami tiada masalah bercampur dengan bangsa lain. Anak-anak saya pernah bertanya, apa itu kasta? Saya terpaksa mencari maklumat mengenainya untuk memberi penjelasan. Reaksi mereka sangat ringkas. Oh itu sejarah. Itu di India. Kami orang Malaysia. Kita hidup dengan semangat 1Malaysia,”
Ramalingam a/l Ramasamy
Kakitangan Jabatan Pengeluaran, NSTP
“Novel ini perlu ditarik balik jika ia menjadi unsur subversif dan memecahbelahkan perpaduan kaum. Bagaimanapun, Interlok jauh lebih murni daripada itu. Novel ini adalah terjemahan semangat perpaduan yang disampaikan dengan cara yang indah dan bahasa luar biasa. Inilah jati diri dan citra bangsa,”
Dr Lim Swee Tin
Pensyarah Sastera, UPM
“Pihak yang memulakan isu ini tidak membacanya dengan teliti. Apabila tidak membaca, Interlok dilihat dengan penuh prasangka. Novel ini novel sosial. Maniam adalah satu watak dan bukan mewakili semua kaum India yang berhijrah ke sini”
SM Zakir
Setiausaha Agung PENA
“Politik perlu ditangani dengan baik sebelum ia melarat menjadi isu perkauman. Jangan memangsakan Interlok dan pelajar Tingkatan Lima. Politik sebegini tidak matang dan terlalu banyak menjejaskan perpaduan”
Dr Ibrahim Ghaffar
penyair veteran
Jangan tunduk
2011/01/17
ANGKATAN Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) meminta Kementerian Pelajaran agar tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang mahu Interlok ditarik balik atau meminda mana juga bahagian novel terbabit yang dijadikan teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) Tingkatan Lima.Ketua Satunya, Dr Osman Ayob, berkata tindakan meminda dan membuang kalimat tertentu akan mencacatkan novel karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain yang disifatkan memenuhi ciri asas yang ditetapkan sebagai teks KOMSAS.
“Apa juga perkataan yang dianggap sensitif, boleh diperjelaskan dengan nota kaki di bawah halaman teks, manakala guru pula melaksanakan tanggungjawab sebagai pengajar dan menjadi tugas mereka memberi kefahaman kepada pelajar yang pastinya sudah matang daya fikir mereka.
Dr Osman berkata, Interlok adalah curahan hati nurani dan pernyataan jujur pengarangnya mengenai kehidupan masyarakat pada abad lalu, sekali gus sebagai pengarang dan pencerita yang baik.
Berita Harian