Penaja

1.1.02

Kata-kata ~ Abdul Rahim Idris

September 5, 2008

Kau binalah kota dari kata-katamu
jika tidak
ia hanya tinggal nista
yang giat membata dosa

Abdul Rahim Idris
Kuala Lipis
10 October 2003


Kemboja ~ Abdul Rahim Idris

Julai 28, 2008

Tak perlu kau jadi mawar merah
kerana aku ini kekasih sejati

Lalu, usahlah kau sedih dan menyisih
biarlah sekadar kemboja suci nan putih

Mari aku belai kuntum hatimu
“bukankah kau juga bunga?”

Paling tidak, bilaku tiada nanti
pohonmu masih menghias dadaku

Biar hancur, diremuk musim gugur
kita setia dimamah kubur.

~ ABDUL RAHIM IDRIS


Bulan ~ Abdul Rahim Idris

Jun 13, 2008

Cuba kau berlari dan melompat ke bulan
cubalah, sejauh mana kau boleh pergi
dapatkah kau lakukan?
dapatkah?

Cuba pejamkan matamu, bayangkan
kau sedang berlari dan melompat ke bulan
cubalah, pasti kau di sana sekarang
asyik?

Kau kini berada di bulan – tempat idamanmu
(sekarang dibulan kononnya)
cuba kau buka matamu
kini, kau berada dimana sebenarnya?
~ Abdul Rahim Idris


Dan saat kau lepaskan pesawat kertasmu

Jun 6, 2008

… dan saat kau lepaskan pesawat kertas yang ada ditanganmu itu ke udara, pantas ia meluncur membelah angin, mendarat dan lesap di padang rumput yang tak bernama.

tapi sebenarnya sebelum sempat ia mendarat, bayang-bayangnya telah terlebih dahulu terhempas dan terbakar di atas rumput-rumput dek tembakan terik matahari yang tegak di atas kepalamu itu.

selepas itu:
pesawat kertasmu tiba-tiba lesap entah kemana
ada setompok rumput terbakar hangus
padang itu masih lagi tak bernama
bayang-bayang pesawat kertas menjadi debu-debu
matahari masih tegak berdiri di atas kepalamu
kau masih terpinga-pinga.

hari itu sebenarnya entah siapa yang paling malang diantara pesawat kertas, rumput-rumput hangus, padang yang tak bernama, bayang-bayang pesawat kertas, matahari yang masih tegak di atas kepalamu atau pun engkau — yang masih belum tahu pun entah apa namanya tempat kau berdiri itu.

ABDUL RAHIM IDRIS
Bandar Jengka, Pahang


Bangga ~ Abdul Rahim Idris

Mei 30, 2008

Buah itu bangga
kerana bijinya menghasilkan benih
pokok pula bangga
kerana buah tumbuh didahannya
kau paling bangga
lantaran tanganmu menanamnya
tapi tak pernah kau tanya perasaan-Nya –
Yang Menghidupkan

~ Abdul Rahim Idris


Kulit ~ Abdul Rahim Idris

Mei 26, 2008

Jangan lihat pada kulit
Belum tentu
Yang hodoh itu jahat
Belum tentu
Yang cantik itu baik
Jangan lihat pada kulit
Belum tentu
Yang hodoh itu baik
Belum tentu
Yang cantik itu jahat
Jangan lihat pada kulit
Belum tentu
Belum tentu
Belum tentu

Abdul Rahim Idris
19 October 2003


Kalau Kita Menjadi Kayu ~ Abdul Rahim Idris

Mac 17, 2008

Kalau kita menjadi kayu
biarlah jadi gaharu
atau cendana wangi dan bernilai tinggi
atau paling tidak jika terpaksa,
cukuplah jadi kayu api asal punya harga diri

Tetapi,
jika mahu jadi kayu majal,
keras dan padu seperti cengal,
keruing atau meranti itu juga pilihanmu cuma,
jangan pula nanti
sampai sanggup jadi hulu
yang rela diperkuda kapak
hingga tergamak menetak kaum sendiri

• Petikan sajak dari Koleksi Hadiah Sastera Utusan 2005