Penaja

1.3.03

Puisi WB Rendra

Sajak Kuntum Kemboja Buat WS Rendra

Ogos 20, 2009

KUNTUM KEMBOJA BUAT WS RENDRA

1
Ayah menamakan saya
ketika usianya muda – melihat
kaumenggengam bara
di dalam penjara
jalur-jalur juang
jalan-jalan ruang
alur-alur jurang
suara yang kaulontar -
nyata genderang perang
kemiskinan
kemalasan
korupsi, dan
kesusahan.

2
Kini, yang terus hidup
karya-karya, nama
dan sejuta nostalgia.

WB RENDRA
PPJ, Johor Bahru.


Puisi Saling Belum Mengerti

Jun 27, 2009

Setiap halaman hubungan menjadi taman rama-rama
kerana telah lama membaca kitab akrab bersama;
di dalam bab beza, susun diksi aksara pandangan -
antara gerobok pengalaman dan almari usia
antara muram kecewa dan ledak ketawa
sering mentafsir manuskrip khuatir
di atas helai-helai kertas perjuangan, atau
di sisi renda-renda pentas yang sama – meski -
telah lama membaca kitab akrab bersama
kita saling belum mengerti, sejujurnya.

WB Rendra
Johor Bahru


Selepas Hujan 2

Jun 5, 2009

1
Pada kerak-kerak merah
basahwangi tanah.

Pada helai daun lalang
girang gering hilang.

Pada sayap-sayap burung
duka lara terbang.

2
Pada helai diari gersang
halang jalang tualang.

WBRendra
Johor Bahru


Bidadari Yang Pergi ~ WB Rendra

April 18, 2007

i
Seperti seorang bidadari
datang dengan wangi kasturi
membawa dian
menyuluhi hari-hari.

Bidadari sering bicara
menyaluti relung sunyi
menyala sumbu sinar persis pelangi
melebar sayap rawan melindungi
daripada kesejukan.

Selalu bidadari
menggilap pudar semangat
dari bibir kristal ketemu
kalimat-kalimat keramat.

ii
Kini bidadari telah
terbang pulang ke tamannya
membina syurga sendiri
di atas peterana berbintang tujuh
meninggalkan sisa harapan, yang
dahulu menerangi
malah sering jua mewangi.

WB RENDRA
Johor Bahru


Senaskah Buku Takdir ~ WB RENDRA

Februari 26, 2007

Setelah membaca senaskhah
buku takdir terakhir
dia menyemak kembali
mencari ilustrasi bunga-bunga
serta ayat-ayat wangi
ingin sekali meneladani
burung-burung bernyanyi
di helaian dan halaman
yang dipilih – terlukiskan.

Tidak selalu halaman naskhah
disusun indah, sebab mungkin
disisip coret duka dan gundah
dititip pena yang marah
dilakar warna ungu, jingga juga merah
diatur semangat juang
malah kadangkala lemah.

Diksi demi diksi
kata-kata saling bertaut antara
tawa, tangis, ceria dan bengis
putus dan kembali berantaian
ayat-perenggan-bab-episod
menjadi senaskhah buku takdir terakhir.

Tidak selalu ayat-ayat wangi
burung-burung bernyanyi
kerana bintang-bintang sering suram
gemawan mendung muram
di antara helaian dan halaman
naskhah buku takdir terakhir -
terlukiskan.

Dia menyelak, belajar merenungi
bintang-bintang suram
gemawan mendung muram.

WB RENDRA
Kuala Lumpur – Johor Bahru

1.2.03

Penyair Timur Tengah ii

Dunia Itu Satu Kebun ~ Ibnu Khaldun

Ogos 15, 2007

DUNIA itu satu kebun,
pagarnya negara.

NEGARA itu sebuah kekuasaan,
yang hidup dengan kekuasaan itu,
aturan yang tetap (sunnah)

ATURAN yang tetap itu
ialah politik (siasah)
yang dijalankan oleh raja.

RAJA itu peraturan
yang disokong oleh tentera
Tentera-tentera itu pembantu,
yang ditanggung oleh harta

HARTA itu rezeki,
yang dikumpulkan oleh rakyat..
RAKYAT itu budak-budak,
yang dipelihara oleh keadilan

KEADILAN itu yang disukai
dengan keadilan tegaklah dunia

~ Ibnu Khaldun


Rezeki ~ Umar Al-Khattab

Ogos 1, 2007

Janganlah kamu hanya berdoa
“Ya Allah, Ya Tuhanku! Anugerahlah hambamu rezeki”
Sesungguhnya kamu harus mengerti
Bahawa langit itu tidak menurunkan
Hujan emas dan perak

~ Umar Al-Khattab


Petikan Sajak Muhammad Iqbal

Julai 20, 2007

Hanya gereja, kuil, masjid, rumah berhala
Kau bangun – lambang-lambang penghambaanmu
Tidak pernah dalam hatimu kau membangun dirimu
Maka itu kau tak pernah jadi utusan merdeka

Sajak Iqbal di atas terdapat dalam untaian ruba’iyat “Tulip Dari Sinai” (dalam antologi Payam-i Mashriq)


Apa Yang Kupinta ~ Fadwa Touqan ( Sasterawan Palestin)

Julai 17, 2007

Tiada lain yg kupinta
selain mati di negaraku
hancur menjadi tanah
menyuburkan rumpai
memberi nyawa
kepada sekuntum bunga
yang akan dipetik
seorang kanak-kanak negaraku

apa yang kupinta
adalah untuk terus
bersama negaraku
sebagai tanah
rumpai
sekuntum bunga….

~ Fadwa Touqan


Pedulikan Apa Yang Berlaku ~ Imam Shafie

Julai 6, 2007

Biarkan hari-hari itu melakukan apa saja,
Bertenanglah bila qada menjatuhkan hukuman,
Jangan tersentak dengan peristiwa duka malam hari,
Peristiwa di dunia ini sebenarnya tidak lama.

~ Imam Shafie


Puisi Seorang Suami Kepada Isterinya

Julai 2, 2007

Kemaafanmu adalah kelangsungan cinta
jangan meradang ketika api sedang membara
jangan bertingkah walaupun hanya sekali
kerana kau takkan faham apa yang kutanggung
di perantauan
hindarilah daripada berkeluh kesah
takut ketuaanmu segera menjelma
dan aku hambar
sesungguhnya hati mudah berubah
sesungguhnya cinta dan kemarahan itu
apabila bertemu
maka cintalah yang mengalah…

~ Puisi Arab


Harta Dunia ~ Puisi Arab

Jun 28, 2007

Aku melihat harta keduniaan
yang dimiliki orang lain
lalu aku merasa susah
setiap kali ia bertambah bilangan
maka kerdillah orang yang memandangnya
disebabkan sesuatu kebesaran
dan mulialah orang memandangnya
disebabkan suatu keindahan
apabila anda telah merasa cukup
palingkanlah mata anda
lalu ambillah apa yang sesungguhnya
benar-benar anda perlukan

~ Puisi Arab


Kekayaan Tak Dapat Menolong ~ Aishah R.A

Jun 25, 2007

Sayang usiamu!
kekayaan tidaklah dapat menolong
bagi seorang pemuda
bila suatu hari nafas sudah mulai senak
dan dada sudah mulai sesak

~ Aisyah R.A


Rahsia ~ Imam Shafi’i

Jun 23, 2007

إِذَا المَرْءُ أَفْشَى سِرِّهُ بِلِسَانِهِ * وَ لاَمَ عَلَيْهِ غَيْرِهُ فَهُوَ أَحْمَقُإِذَا ضَاقَ صَدْرُ المَرْءِ عَنْ سِرِّ نَفْسِهِ * فَصَدْرُ الَّذِي يُسْتَوْدَعُ السِّرَّ أَضْيَقُ

Jika seseorang itu
menyebarluaskan rahsianya
dengan mulutnya sendiri,
dan kemudian menyalahkan orang lain…
maka dia adalah seorang yang bodoh

Jika dadanya adalah terlalu sempit
untuk menyembunyikan rahsianya,
maka dada seseorang
yang dia letakkan padanya rahsia itu
malah lebih sempit

~ Imam Shafi’i


Cinta Dan Amarah

Jun 7, 2007

Sesungguhnya kemaafan baja cinta
kata-kata yang keras dan pedih
adalah sumber kemarahan
sesungguhnya selama aku hidup
aku tidak pernah melihat
cinta dan kemarahan bersatu
dan jika keduanya bersatu maka
kemarahanlah yang menang dan cinta
di pihak yang kalah

1.1.03

Puisi Padamu Jua – Amir Hamzah

Ogos 11, 2009

PADAMU JUA

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kendi kemerlap
Pelita jendela dimalam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia, selalu

Satu kasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Dimana engkau
Rupa tiada
Suara sayup
Hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa darah dibalik tirai

Kasihku sunyi
Menunggu seorang diri
Lalu waktu—bukan giliranku
Mati hari—bukan kawanku

~ Amir Hamzah


Berdiri Aku ~ Amir Hamzah

Mac 25, 2007

Berdiri aku di senja senyap
camar melayang menepis buih
melayah bakau mengurai puncak
berjulang datang ubur terkembang

Angin pulang menyejuk bumi
menepuk teluk menghempas emas
lari ke gunung memuncak sunyi
berayun-alun di atas alas

Benang raja mencelup hujung
naik marak menyerak corak
elang leka sayap tergulung
di mabuk warna berarak-arak

Dalam rupa maha sempurna
rindu sendu mengharu kalbu
ingin datang merasa sentosa
mengecap hidup bertentu tuju.

~ Amir Hamzah

1.4.02

CALAR (ZULKIFLI)

Khamis, November 05, 2009

( i )
di balik rusuk diri yang tulen
kau sembunyikan setiap calar
agar pahit wajahmu
rapi pada setiap cermin
yang membias diri itu juga.

( ii )
kepada cermin yang enggan berkata
jangan deraikan iras wajah milikmu
sejuta calar sekalipun
kau tetap jernih
dalam ladang kenangan.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Geliga, Darul Iman

04 Oktober 2009.

Selasa, Mei 26, 2009

KOTA PUISI

di sini
hanya wujud huruf-huruf
dibuntingi oleh nikmat rasa
mungkin aku
engkau juga mungkin
bernafas di celah-celah huruf-huruf ini.

ZULKIFLI BIN MOHAMED
Kemaman, Darul Iman
09 September 2005.