Penaja

27.7.11

Zaen Kasturi Penerima Anugerah S.E.A. Write Award Malaysia 2010

Oleh Nor Aziah Ismail (Pelatih UiTM)

Sesi dialog S.E.A. Write Award 2010 Zaen Kasturi turut menampilkan Encik Zakarya Amataya (kiri) sebagai panel dengan dipengerusikan oleh Encik Abdul Razak Panaemale.


MAJLIS Wacana Pemikiran Zaen Kasturi dan Dialog S.E.A Write Award 2010 anjuran bersama Persatuan Penulis Nasional (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah diadakan di Dewan Seminar, DBP pada 7 Januari lalu. Majlis bertujuan untuk memberikan penghargaan dan penghormatan kepada Zaen Kasturi atas kejayaan beliau meraih Anugerah S.E.A. Write daripada kerajaan Thailand bagi tahun 2010.

Kejayaan Zaen Kasturi menempa nama sebagai insan seni yang berilmu di negara ini, menyebabkan kerajaan Thailand berbesar hati mengangkat beliau sebagai penerima Anugerah S.E.A. Write Malaysia yang ke-32. Anugerah ini ialah satu pengiktirafan kepada usaha dan kerja keras beliau dalam dunia penulisan selama ini.

S.E.A. Write Award atau Anugerah Penulisan Asia Tenggara yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand sejak tahun 1979 bertujuan memberikan pengiktirafan kepada para penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara-negara Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam. Bagi tahun 2010, Zaen Kasturi menerima anugerah tersebut bagi kerajaan Malaysia.

Encik Zainal bin Palit atau nama penanya Zaen Kasturi penulis yang konsisten dan prolifik dalam pengkaryaannya. Karya-karya beliau sering memenangi sayembara yang berprestij dan tersohor di peringkat kebangsaan, antaranya memenangi anugerah dalam Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil.

Kekuatan beliau ternyata terserlah dalam genre puisi dan cerpen apabila puisi beliau yang bertajuk “Ingatan Kepada Kawan XXI” berjaya memenangi hadiah utama kategori eceran genre cerpen dalam Hadiah Sastera Perdana ke-18 2004/2005, dan cerpen beliau yang bertajuk “Akhir Parak Siang” juga berjaya meraih hadiah utama bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil 2009.

Majlis Wacana Pemikiran Zaen Kasturi dihadiri oleh seramai kira-kira 200 orang, termasuk daripada kalangan ilmuwan, penyair dan sasterawan. Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Aziz Jamaluddin Mohd Tahir. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Aziz antara lain mengajak masyarakat bersama-sama melakar sejarah kesusasteraan di negara ini. Menurut beliau, “Melalui sastera, hakikat iman dan insan dapat diperjelas secara halus dan kesannya meresapi jiwa yang keras dan watak yang kasar”.

Prof. Madya Arbak Othman (kanan) pembentang kertas menerima cenderamata daripada Ketua Pengarah DBP.

Pada sesi Wacana Pemikiran Zaen Kasturi, dua buah kertas kerja dibentangkan, iaitu “Pencarian: Antara Ambiguiti dengan Anti-Narasi dalam Taman Uzlah Zaen Kasturi” oleh Prof. Madya Dr. Mawar Shafei dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan “Anjakan Paradigmatik Puisi Zaen Kasturi dalam Perpuisian Melayu” oleh Prof. Madya Arbak Othman dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Sesi Dialog S.E.A. Write Award turut menampilkan pemenang S.E.A. Write Award dari Thailand, Encik Zakariya Amataya sebagai ahli panel selain Zaen Kasturi. Sesi dialog dipengerusikan oleh Encik Abdul Razak Panaemale.

Pada sebelah malamnya, diadakan Malam Puisi Zaen Kasturi, iaitu acara Baca Puisi di Rumah PENA.

Prof. Madya Dr. Mawar Shafei (kanan) membincangkan cerpen Zaen Kasturi dalam kertas kerja beliau dengan dipengerusikan oleh Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim (kiri) dan pembentang kedua Prof. Madya Arbak Othman (tengah).