Penaja

17.7.11

Cerpen: Di Tangannya Menadah Air Suci

Oleh Muzaffar Abd Rahim

2011/07/03

SUASANA sejuk mungkin mangli di sini, namun pekan Colchester yang sering dikunjungi angin sepoi dingin langsung dari Artik sepatutnya sudah merai simbahan hujan dan panah terik sang mentari. Tatkala musim bunga tiba, pokok-pokok bunga tulip, ros dan lily England seakan-akan meronta-ronta dan menadah agar air hujan turun. Sebarang percikan air dari ufuk langit mampu merancakkan tumbesaran buah-buahan strawberi, ceri biru dan sayuran di batas ladang-ladang Anglo-Amerika di sini.

Arief Fahmi menggeleng-geleng dari meja belajarnya menanti titisan air asli dari awan. Daun tingkap dua lapis yang berdepan dengannya jernih dan cerah tanpa sebarang kotoran bendasing atau cecair. Fikirnya, lebih baik aku di luar sana bermain basikal sukan atau papan beroda. Pagi itu dia bangun awal memulakan tugasan. Matanya tidak mampu dilelapkan seusai disimbah cahaya langit yang cerah seawal jam 4 pagi.
“Kalau Amsterdam boleh menjual budaya dan memberi nilai komersial pada tradisi sebagai tarikan pelancong dan jati diri rakyat Belanda, apa yang Kuala Lumpur boleh tawarkan?” Sanubarinya meronta-ronta. Arief tidak begitu arif dengan masalah yang menimpa negara di Asia Tenggara itu. Dia sudah membuat banyak kajian perbandingan budaya, tetapi kurang senang dengan apa yang ditonjolkan oleh negara yang mempunyai setanjung dan dua perbukitan.

“Bukan begitu, negara merdeka Malaysia dibentuk oleh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ramai merujuknya sebagai Malaysia Barat dan Timur berdasarkan lokasi geografinya.” Butir ayahnya yang sudah bekerja selama 23 tahun di merata United Kingdom. Universiti Essex adalah majikannya yang kelima selepas pusat-pusat pengajian tinggi tempatan seperti Cardiff di Wales, Glasgow di Scotland, Belfast di Ireland Utara dan Newport di Isle of Wright, sebuah pulau di selatan England. Dia berkerut dan sering menyalahi diri jikalau anak-anaknya tidak kenal asal usul mereka.

Arief Fahmi memberontak. “Saya tidak faham, apa sosiologi boleh berguna untuk masa depan? Saya benci!” Jeritannya sudah cukup menaikkan darah Shukor Suci, pensyarah kanan di jabatan sejarah dunia, segedung ilmu dengan anaknya. Arief Fahmi anak sulungnya, namun kurang memahami adat dan budaya asal di Malaysia kerana menetap di sini sedari memiliki sijil lahir Cymru dan taraf kerakyatan tempatan. Pelajar tahun akhir di jabatan sosiologi itu terus diarah masuk ke bilik sebagai penalti kurang ajar. Di atas tilam empuknya, terus ditekap kedua belah telinganya dengan dentuman lagu-lagu pop rock kegemaran. “Kalau emak masih ada, saya pasti boleh pilih jurusan sesuka hati!” bebel nafsu amarahnya. Mitchele adalah warga British asli, namun lima tahun lepas meninggalkan mereka sekeluarga dalam kemalangan maut. Bayangan wajah emak yang mesra dan ayu itu sering mampu menyejukkan duka dan kekosongan hatinya.

Di atas kain sejadah, Shukor menadah memohon keampunan dan maghfirat di atas segala kesalahannya. Niatnya bersih, hanya mahu anak-anaknya tidak melupai adat dan budaya timur yang lebih lembut, sopan dan beradab. Dia tersenyum dalam munajat. Mitchele juga pernah memperingatinya perihal itu. Kononnya dia tertawan dengan sikap unik dan sivil yang dijiwai Shukor. Lantas setuju dengan pinangan Shukor dan penyatuan dua makhluk dari Timur dan Barat. Saat Arief Fahmi sudah mendekati pengajian pada peringkat tinggi, Shukor pantas memohon pertukaran ke universiti sekarang sebagai persiapan untuk anak sulungnya.

Anaknya yang sudah dewasa itu tidak mahu berpindah jauh dari pusara arwah emaknya. Shukor berkeras. Di atas kertas, pengajian sosiologi yang ditawarkan di situ adalah yang terbaik di Eropah. Status penyelidikan dan pembangunan di jabatan itu termasyhur di serata dunia. “Inilah peluang untuk kutebus kesalahan yang lalu”, nuraninya bersuara. Mitchele pasti bersetuju dan menyokongnya!
Susuk badan isterinya yang gempal dan putih gebu seakan tidak sekufu dengan tubuh Shukor yang melidi dan sawo matang. Namun cinta tidak pernah mengenal manikam atau intan. Timur dan Barat sudah tidak lagi punyai batasan atau sempadan. Globalisasi dan perebutan sumber modal insan menyaksikan pola penghijrahan sebagai suatu yang adil dan pasti. Atas hakikat inilah Shukor melewati beberapa benua sebelum memacak tiang pasak di Great Britain. Kesatuan inilah tempat pilihannya untuk memajukan diri. Di Eropah inilah dia menemui pasangan yang secocok dan sedondon. Sama-sama menyetujui konsep masyarakat majmuk dan sivil. Kuda-kudanya lantas dikunci rapat dan ditambat erat. Inilah bahagian dunia yang ingin ditunggang dan dilewati. Selesai bermunajat, Shukor Suci turun ke dapur menyiapkan rutin harian makan pagi keluarga.

Suara ayah dari tingkat bawah mengejutkan buaian silamnya. Arief Fahmi tersenyum kambing biri-biri. Angannya membawa ke satu sudut yang kabur di bucu ruang keluarga rumah. Dia akan berdiri tegak di situ merenung kertas dekorasi corak Barat yang melitupi dinding sebelah dalam rumah. Kurang lebih lima minit di situ, dia akan memaling jasadnya dan melangkah jauh dari sudut tersebut. Itulah sudut nakal yang perlu dikunjungi Arief Fahmi jikalau dia memulakan pergaduhan dengan dua adiknya, Saljie dan Yakine. Cuma sekarang sudut tersebut sudah berkubur dan biliknya sebagai ganti penjaranya. Dia faham sebab akibat dipencilkan tatkala melanggar peraturan ayah dan emak. Selepas minum teh Inggeris dan membaham lempeng dengan linangan madu dari ladang, dia naik ke atas menyambung kerja-kerja kajian. Cuti musim panas hampir menjelma tiba, namun hasil tesisnya belum cukup memberangsang dan meyakinkan penyelia jabatan.

Komputer riba di atas meja belajar dipasang hidup sekali lagi. Jari-jemarinya pantas menekan papan kunci, mencari bahan-bahan ilmiah untuk menyokong hasil kajiannya. Artikel laman surat khabar dalam talian Utusan Rakyat yang ditemuinya sebagai rujukan dokongan yang penting. “Ya, aku sudah boleh membuat kesimpulan jituku. Penyeliaku pasti tidak dapat lagi meragui hasil penemuanku.” Bibir mulutnya mengukir senyum sumbing lagi sumbang. Urai ketawanya meruntuni segala kekusutan dan stres di pundak dadanya. Tangannya menggapai kemeja berlitup, walau dia sangsi hujan akan turun sejak kemarau bermula dua minggu lalu. Jaket tebalnya usai ditinggalkan sejak bermulanya musim bunga. Ringkas dan ringan saja pakaiannya bak status pemikirannya tatkala itu. Dia mencapai basikal dan menyusur laluan rutinnya di celah-celah bangunan dan taman sebelum menemukan universitinya, tersergam mampan di antara dua tasik semula jadi.

“Aku fikir aku sudah membuat pilihan yang tepat. Sekarang, aku sering meraguinya …” Perbualannya panjang dengan rakan sekerjanya di kafe utama universiti. “Shukor, setiap perkara yang kita buat pasti ada hikmah dan pengajarannya.” Sampuk Dimitri Kasparov dalam telo separuh Russia, separuh British. Dia dan pensyarah dari bekas Kesatuan Russia itu sudah puluhan tahun berstatus imigran sebelum mendapat taraf kerakyatan negara ini. Asal mereka dari Timur, cuma takdir menemukan mereka berlabuh di Barat.

“Dari sekolah rendah, aku melihat prospek yang tinggi dan sihat di dalam silibus pendidikan di sini. Mereka diajar dalam suasana integriti, kreatif dan menyeronokkan. Cuma aku hairan kenapa produk remaja di sini kucar-kacir akhirnya!”.

“Shukor, engkau hanya melihat sebahagian daripada kehidupan di Barat. Sebahagian lagi adalah kotor dan berkudis.” Dimitri akur tidak semuanya di Barat adalah emas dan permata. Hakikatnya itulah lumrah di mana-mana jua merentasi benua dan lautan. Harapnya air hujan akan turun segera menyah kikis segala daki dan nista di lompang-lompang yang melekit di sebelah luar bangunan berusia puluhan tahun itu.

“Aku melihat generasi tua dan muda di sini sungguh mesra dan sopan. Hatiku terpaut dan terpukau taraf sivil dan siviknya.” Itulah impian warga berasal dari negara membangun. Shukor jatuh cinta pandang pertama. Dari situlah bermula bibit perkenalan dengan wanita bernama Mitchele yang berasal dari keturunan Viking, wilayah Yorkshire. Mitchele memiliki ciri-ciri idamannya lantas mengesahkan sebarang kesangsiannya. Sejak itu, negara tanah tumpahnya darah Shukor sewaktu disambut kelahiran tidak pernah dijejakinya sekian lama. Hanya berita di internet yang akan disoroti sekali sekala.

Di bangunan yang bertentangan, suatu diskusi ilmiah juga sedang rancak diperdebatkan. “Kesimpulannya, rakyat negara Asia Tenggara ini masih keliru antara budaya nasional dan tuntutan agama rasminya.” Darah muda yang mengalir waja mempertahankan pendirian. “Tuntutan budaya majmuk saling menyanggah adat rakyat negara ini. Cuba senaraikan budaya asal negara ini?” Penyelianya yang sebaya ayahnya menebak, cuba mengujinya sekali lagi. “Baju kebangsaan – baju Melayu, baju kebaya; makanan kebangsaan – nasi lemak; tarian asli – inang, zapin, ngajat antaranya.” Satu persatu dilontarkan. Penyelianya menyambut dengan balasan: “Apakah baju Melayu itu hanya untuk kaum Melayu, sedangkan baju cheongsam untuk kaum Cina, baju sari untuk kaum India dan sebagainya? Apa pula budaya nasionalnya.” Arief Fahmi akur penyelianya memahami kebudayaan berkecamuk di negara asalnya. Dia juga keliru asalnya pada moto yang selalu diuar-uarkan: ‘Negara Sebenar-benar Asia!’.

“Kalau wakil rakyat pun tidak mematuhi peraturan dewan undangan negeri, bagaimana pula rakyat di luar?” Soal penyelianya tatkala Arief Fahmi merujuk keratan akhbar dari negara asal ayahnya. “Itulah kerana pakaian songkok tidak dimanifestasikan sebagai pakaian nasional. Hanya sebati sebagai budaya satu kaum dan bukannya bangsa di negara itu!” sekali lagi keris Arief Fahmi dihalatujukan kepada lawan.

“Habis kalau budayanya majmuk, apakah kesemuanya budaya nasional? “ Dia cuba benar mematahi lontaran idea bernas penyelianya itu. “Apakah ketuanan Melayu dan Islam sebagai agama rasmi seperti yang dimeterai dalam Perlembagaan Negara tidak saja mengesahkan adat resam Melayu beragama Islam sebagai budaya nasionalnya?”, sambung penyelianya lagi. Arif Fahmi semakin meyakini arah tuju hujah-hujah penyelianya. Pendiriannya gugur rapuh.

Awan-awan mendung semakin lari meninggalkan kampus ilmu. Sekali lagi pekan tertua di Britain itu dengan rekod 50 tahun kelahiran hanya menggeleng dengan kemelut kemaraunya. Arief Fahmi boleh pulang rumah dengan senang hati. Tanpa perlukan sebarang topi atau payung. Pilihannya memakai baju berhud pada hari itu memang benar-benar tepat sekali. Anggaran stesen kaji cuaca di Britain memang boleh dipercayai. Tanah pekan itu belum lagi mahu disimbah air langit.

Malam itu ayah memasak seawal jam 7 malam. Matahari di luar hanya terbenam dua jam kemudiannya. Mereka sekeluarga makan malam sebelum langit gelap. Piza segera dihiasi keju ceddar, hirisan bawang besar dan cili ketumbar dijamah panas-panas sejurus keluar dari oven dapur.

“Bagaimana hasil tesis Arief? Sudah pada peringkat akhir?” Sambil ayahnya menyuakan potongan terakhir piza kepadanya. “Ya, tetapi penyelia sudah menyuruh merombak sedikit kesimpulan dan cadangan asal saya .…” Arief Fahmi menambah, “Ayah pula akan naik pentas hujung minggu ini?”

Berita kejayaan ayahnya mendapat pengiktirafan untuk penerbitan artikel kajian terbaik tahun itu pantas menjadi perbualan semua. Pasti penarafan universiti mereka akan naik lagi. Jurnal penyelidikan R&D in Academia World itu akan menyampaikan hadiah berprestij pada hari Sabtu ini. Tetamu kehormatnya adalah Datuk Bandar Colchester, wanita berbangsa Cina yang berasal dari Pulau Pinang. Suatu penghargaan berganda buat rakyat Malaysia di negara maju sebelah Eropah.

Ayahnya menghirup kuah asam pedas yang panas dan agak pedas. Malam itu Shukor meraikan kejayaannya menaiki podium dan mendapat sijil pengiktirafan dengan masakan asal tanah airnya. Selalunya meja makan mereka cuma dipenuhi spagheti, piza, jaket ubi, makaroni dan keju, roti bawang putih, lasagne, salad buah mayonis dan yang seumpamanya. Hari ini, menunya lain, sangat akrab dan istimewa. Juadah kurma ayam belanda dan asam pedas makanan laut scallop sudah lama tidak dijamah. Seingatnya kali terakhir Arief Fahmi menikmati menu sebegitu sewaktu emaknya masih di sisi.

Arief Fahmi cuba menikmati masakan panas yang agak berempah dan pedas itu. Adik-adiknya hanya mampu menjamah kuah kurma dan menikmati ubi kentang di dalamnya. Mereka tidak sanggup menghirup kuah asam pedas itu. Memang sepadan nama masakannya. Ayahnya mohon dihulur nasi tambah dari periuk nasi yang sudah lama tidak dipetik. Selera mereka berdua benar-benar bertambah dan kecir liuran merembes di luar kebiasaan. Baju Arief Fahmi seakan mula dibasahi keringat.

“Arief, tolong ambilkan sampul perang di atas almari sebelah telefon .…” Nasi di pinggan Arief Fahmi sudah habis. Tiga kali ditambah nasi brasmati dari Pakistan itu. Adiknya Saljie Bersih dan Saidatul Yakine masih bermain-main dengan saki-baki butir nasi yang agak janggal dengan mereka. Di kepalanya, empat minggu lagi tesisnya perlu dihantar. Ada lagi perlu ditokok tambah dan dicantas bersih. “Bukalah isi sampul tersebut …”. Pinta ayahnya sambil mencapai gelas air suam penghilang pedas.

“Wah, tiket dua hala kelas pertama. Ayah, ada lapan tiket di sini …?” Shukor Suci mengangguk. Mereka akan berlepas tiga hari lagi. Sudah lama dia ingin kembali menjejak kaki di sana. Destinasi – tanah air tanah tumpah darahnya. Durasi – dua minggu. “Ayah mahu pastikan Arief dapat pengalaman langsung dengan berada di negara asal ayah. Pastikan penyelidikan Arief berkualiti dan berdaya impak!” Riak wajah Arief mekar. Masa santai sudah jeda selesai. Dia perlu bersiap sedia untuk kaji selidik di luar negara. Dentuman kilat di luar tiba-tiba mengejutkan semua. Apakah kemarau di pekan Colchester akan berakhir sudah? Inikah yang dikatakan bibit-bibit air hujan rahmat di bumi tua ini? Mimpi malam ini pasti metah muluk-muluk bagi semua.

Biodata penulis:

  • MUZAFFAR ABD RAHIM dilahirkan di Alor Setar, Kedah adalah pendatang baru dalam dunia penulisan kreatif.

  • Pernah mengikuti Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) pada pertengahan 2004 dan kini mengikuti program ijazah sarjana lanjutan di United Kingdom.