BISIKAN IBU KETIKA MELAHIRKAN AKU:
(Yang menangis, gentar pada kekalutan dunia)
Jika mahu kenal orang di sekeliling
bertanyalah pada sesiapa yang di dampingi.
Jika mahu tahu seorang manusia
tanyalah insan yang telah dianiayai.
Jika mahu lihat wajah penipu
berkawanlah dengan pengampu.
Jika mahu kesan niat pembelit
perhatikanlah matanya yang melirik.
Jika mahu menguji insan yang jujur
dengar cakapnya ketika dia tidur.
Jika mahu tahu rahsia kekasih
berdampinglah dengan yang telah disisih.
Jika mahu menilai diri sendiri
bicaralah dengan hati bila dikhianati.
CHE SOO ISMAIL
Alor Setar
TATKALA MENGGELEDAH NURANI FAHD RAZY
Tatkala aku menggeledah
nurani Fahd Razy
yang aku geledah
adalah batini daripada sepoi manusiawi
adalah inderawi daripada tiupan Rabbani
pada kerikil peribadi
di ladang maknawi.
Di sini telah kujumpa jarum cinta
untuk kujahit perca-perca makna
menjadi kain fikrah daripada sutera rahsia.
Betapa
di sana telah tersedia
benang jasmani dan gunting fana
mandiri bahasa daripada gugus-gugus
aksara.
Tatkala aku menggeledah
nurani Fahd Razy
betapa di belantara puisi manusiawi
betapa di laut citra diksi-diksi bersusila
di sini kosmos indera
batini terusik dengan puspa narwastu
harum wangian insani
tajamnya metafora hakiki
setajam pisau
menyiat lapis-lapis makna
di kantung kata-kata.
Betapa - tatkala aku
menggeledah nurani insaniah
daripada gizi-gizi makna segugus puisimu
kerdil diriku
dalam sepotong maknawimu.
NIMOIZ TY
Gual Ipoh, Tanah Merah
SAJAK PADA SUATU SENJA
Aku bertandang lagi ke sini
dari daerah sihat yang luas
ke mukim sakit yang cemas.
Putih yang menjajah ruang
mengingatku pada detik mula
dan saat akhir nanti.
Dari senja tua ke malam muda
aku di sini mencari senyum
yang lama hilang dari bibir.
Sebelum aku pergi
sempat kutulis nota buat diri
sihat ini hanya singgah.
Selanjutnya hanya
Tuhan dan waktu.
SAHRUNIZAM ABDUL TALIB
Angsana Puisi Bera
GUNTING DALAM LIPATAN
Musuh gunting hanya kain
lumrah tabiatnya mengguntingkan.
Gunting itu walau betapa sayang
menyembunyikannya dalam lipatan
bukan terbaik tempat simpanan.
Demikian ibarat jahat tabiat
apabila kasih tidak tersukat,
masih berpuaka menggugat.
Jauhkan berkias berperi
demikian anjing dengan tahi,
sekalipun bukan makanannya
jahat tabiat dihidu juga.
NAWAWEE MOHAMMAD
Pakwong, Jertih, Terengganu
MENYEBERANG
Berdiri di tebing sungai takdir
sambil melihat ke seberang tanya.
Perahu nasib takkan sampai ke tambatan
tanpa pendayung usaha dan bekalan kecekalan.
Menyeberang sungai diri
perlu lebih berani
dengan perahu amal
berhijrah ke seberang sedar.
SHAPIAI MUHAMMAD RAMLY
Batu Pahat, Johor
PANJI KEBEBASAN INI
Setelah abjad demi abjad dilangkahi
desah resahmerungus durja
dan nafas tersedak di halkum sendiri
pohon masa sudah terlalu tinggi
menjulang antara biru langit dan merah
mega Maghribku
masih tersoal di ladang hati
membuak-buak selut
hanyir dan ngaum jentera
melapah kulit dan isi sawah yang pernah
ternoda.
Di dada perladangan zaman ini
kita melangkahmegah
dengan rasa kemanisan
pada kala nama sudah terjulang
dimana maruah
sudah kejap di tunjang
mengangkat martabat
dan harga diri bangsa
panji-panji kebebasan
terkibarmegah
dalam derap perarakan
dan laungan kebebasan
Marilah kita selami kembali
lubuk perjuangan lalu
dimana kejernihan dan ketenangan
terlakar sudah di kolamsejarahmu
mengangkat takhta keagungan diri
menyingkap cerita tua disebalik potret lusuh
dan sekelumit senyumdipinggir bibir
memaknakan kembali pohon sejarah
yang tegak meninggi menunjah awan biru
dengan kemegahan hati yang syahdu
EZANI DAUD
Kota Bharu
TANGGA
Di tangga politik
pengkhianat dilantik
di tangga dagang
khazanahmelayang
di tangga masyarakat
warga hilang sepakat
di tangga budaya
kita musnah upaya.
Dari tangga ke setangga
tahu siapa memijaknya
naik turun ke kamar kuasa
kerana iman tidak di dada
punah kaedah bernegara
tergadai maruah bangsa.
ADE PUTRAGONG
Likas, Sabah
SUARA DARI NYALI SUKMA
Angin basahmalamini
melontar hanyir darah
dan tulang ke segenap susuk ruang
melampias wangi akar liat pohon pelawan
yang tiba-tiba hilang semerbaknya.
Sesekali dibelenggu nestapa
terasa begitu gamang
membanting akal
tersepit di satu tikungan
buntumengimbang langkah
menuju aspal yang jauh.
Detik purnama ini,
ingin sekali menyelami
segala catatan yang lahir dari lelah batiniah
saat titik bening
sudah bertakung di pelupukmata
doa segera dipacak ke puncak
menanti sapaan semilir
deru muhasabah
membelai nyali sukma yang getir.
WAN MARZUKIWAN RAMLI
SK SIE, Pasir Mas, Kelantan