Penaja

7.11.09

Kreatif: Raban

Oleh Zaharah Nawawi




"BUKAN semua orang tua nyanyuk." Hilmi menepis ujaran Hariri. Dia menyanggah hipotesis Hariri bukan kerana tidak mahu Kinka diperlekeh, biarpun lelaki yang sudah bergelombang kelopak matanya itu memang sering merapik, meraban ketika mempertahan hujah mahupun menyerang peribadi Hariri, musuh ketatnya itu.

“Kita lihat dari segi fakta.” Hilmi tahu ramai manusia membelakangi fakta tatkala berhujah. “Nenek aku berusia 109 tahun, masih siuman; masih berbudi bahasa. Malah masih boleh mencucuk benang ke dalam lubang jarum.”

“Sudah.” Hairir mencantas. “Nenek awak bukan Kinka. Mulutnya lebih bisa ular tedung senduk. Nama saja lepasan universiti tertua di Lembah Nil.”

Kinka memandang keliling. Cakap-cakap menggelarnya lelaki pikun yang raban, menangkap koklea. “Siapa miang mulut berani kata aku orang tua nyanyuk? Mari aku tunjuk siapa sebenarnya nyanyuk.” Hati Kinka menggerutu berkedut, sama dengan gerutu dan kedut pada kura tangannya. Lidahnya gatal untuk membalas sindiran tajam itu. Kinka sedia membalas kecaman dengan kecaman. Dia rasa dayus jika membiarkan saja kecaman-kecaman tersebut mencemar nama. Kelopak matanya yang bergelombang sama seperti kulit kura tangan, bergerak-gerak. Gigi yang tinggal sebatang itu bergoyang seakan mahu tercabut setiap kali Kinka bertikam lidah dengan musuh-musuh kelabnya “Siapa!” Kinka tidak pernah takut menentang musuh. Orang di sekeliling pura-pura tidak dengar. Jika lelaki pikun yang dianggap sebahagian besar warga negara Pilong sudah raban itu tahu siapa mengatanya nyanyuk tadi, dia pasti bangkit menyerang balas.

“Kalau kita dianiaya, kita mesti balas,” kulit tangan yang menggeleber ketika mengusap kepala seorang daripada cicit yang bertanya kenapa Tuk Kinka gemar berbalas kata-kata kesat dan kasar yang tidak molek didengar.

“Siapa?” tukas Kinka sambil memandang setiap wajah di sekitar. Panas di dada sudah melimpah ke tenggorok. Hariri musuh nombor satu Kinka menyepi. “Tidak guna cakap dengannya. Dia selalu dimenangkan kerana usianya.” Sekilas Hariri menjeling Hilmi.

Zaharah Nawawi

“Engkau Hilmi? Berani cakap aku orang tua nyanyuk?” Kinka menghampiri Hilmi yang sedang menengadah langit melihat sekumpulan awan putih berarak dari masyrik menuju ke maghrib. Tangan kirinya bercekak pinggang. Tangan kanan melerai belitan serban.

“Saya?” Hilmi pantas bangun. Dia mengelak dilibas serban tengik Kinka. Libasan itu tidak menyakitkan pun, tapi dari segi moral dia tidak mahu maruahnya calar .

“Saya tidak pernah kata Tuk begitu. Tuk silap orang.”

“Silap? Saya belum pernah silap.” Kinka semakin menghampiri Hilmi.

“Sumpah saya tak cakap Tuk orang tua nyanyuk.” Hilmi berundur selangkah.

“Jangan main sumpah-sumpah. Sumpah boleh bawa engkau masuk neraka. Engkau memang tidak cakap aku ‘orang tua nyanyuk,’ tapi engkau guna bahasa apa nama tu... Sanskrit. Engkau kata aku ‘lelaki pikun yang raban.’ Engkau jangan fikir aku tidak faham. Tujuh bahasa di dunia aku kuasai.” Kinka menunjuk pelipisnya dengan jari hantu separuh bengkok. Ketika itu kulit kura tangannya menggeleber seakan mengangguk.

“Hariri yang cakap Tuk,” cicit Kinka tidak mahu Hilmi jadi sasaran atuknya.

“Apa? Si Hariri keparat itu? Mulut tidak ada insurans. Cakap dengan dia, pikun-pikun aku masih boleh memenangi hati rakyat. Lihat dalam pilihan raya memilih wakil mesyuarat ke meja panjang nanti, calon siapa menang.” Kinka memandang Hilmi. “Engkau mesti sokong aku. Sokong Kelab Hegeh.”

“Kalau saya sokong Kelab Hegeh dapat apa?” mata Hilmi mengerdipkan. “Jika dapat jadi setiausaha sulit pada Wakil Meja Panjang, baru berbaloi. Dapat gaji ribu-ribu.” Hilmi senyum membayangkan kuras-kuras duit biru dan ungu dalam genggamannya.

“Engkau sokong Kelab Hegeh dapat masuk syurga. Lebih bagus dari jadi setiausaha sulit. Kalau sokong Kelab Hebat nanti masuk neraka. Neraka itu sangat panas. Tak boleh nak cakap macam mana panasnya.”

“Ada juga neraka yang sejuk, kan Tuk?” sambil senyum Hilmi sengaja memancing jawapan Kinka.

“Neraka yang sejuk itu Wil namanya. Neraka Wil hanya untuk ketua, jawatankuasa dan ahli Kelab Hebat. Penyokong masuk neraka jahanam.”

Seperti diharapkan Kinka, Hilmi menyebar petua panas berapi itu. Heboh warga negara Pilong memperkatakan hukum yang baru Kinka keluarkan.

Hariri, AJK Kelab Hebat, orang atas pagar, orang bawah pagar, penganalisis politik para profesor dan doktor dan pendiskusi kedai kopi, heboh membuat ulasan.

“Tuk Kinka sudah bersikap lebih daripada Tuhan. Boleh menentukan siapa masuk syurga siapa masuk neraka.”

“Tuk Kinka munafik.” “Tuk Kinka yang pikun itu sudah raban.”

“Tuk Kinka nyanyuk. Tidak tahu apa yang dicakapkannya. Maafkanlah dia.”

“Orang tua nyanyuk tidak berdosa. Maafkanlah dia.”

Apabila berapi-api tuduhan mengatakan Kinka bercakap seolah-olah dia Tuhan yang menentukan siapa boleh masuk syurga siapa boleh masuk neraka, Kinka tenang saja. Malah dia gembira popularitinya melonjak kerana kenyataan menggemparkan itu. Populariti tersebut akan membantu kemenangan calonnya yang bakal berentap dalam pilihan raya nanti. Dia tahu penyokongnya taksub. Amat. Walau apa pun dikatakannya, penyokong yang seperti sudah mati akal akan tetap menyokong. Setuju seratus persen. Kalau Pak Pandir pun Kinka letak sebagai calon, penyokongnya tetap pangkah. Tapi bila dengar orang-orang Hariri kata Kinka sudah pikun dan raban, hatinya menggelegak panas. Dia tidak boleh terima kata-kata itu. Sama sekali tidak. Orang pikun setahunya tidak mampu berbuat apa-apa. Tidur baring saja atas katil, makan minum dan buang air besar dan kecil pun atas katil; sambil bercakap merapik meraban sendirian.

Kinka melompat naik ke atas podium. Orang ramai berkumpul keliling mahu mendengar serangan balasnya. “Siapa kata saya yang cakap kalau sokong Kelab Hebat masuk neraka? Saya tidak pernah kata begitu. Saya kata: siapa yang masuk jadi ahli Kelab Hebat masuk neraka. Sebab rumah Kelab Hebat panas. Tidak ada aircond macam rumah Kelab Hegeh.” Penonton ketawa mendengar kepintaran madah berhelah Kinka.

“Tuk, kenapa Tuk cakap pusing-pusing?” Berbulu telinga Hilmi mendengar dolak-dalik Kinka. “Tuk beli aircond pun atas derma ahli dan orang ramai.”

“Tuk kena cakap begitu supaya nampak hebat. Kalau tidak tunjuk hebat nanti orang perkeleh kita. Kita pakai duit kutipan derma untuk membeli aircond dan membayar bil api dan air tidak jadi salah. Duit halal. Tak macam Kelab Hebat pakai duit haram hasil kutipan lesen anjing, babi dan arak serta tempat perjudian.”

“Kinka kata Kelab Hebat membayar gaji AJK kelab dan beri makan ahli dengan duit haram hasil cukai penternakan babi, lesen anjing, judi dan arak. Sebab itu katanya pemimpin dan AJK Kelab Hebat serta penyokongnya masuk neraka.” Hilmi berharap Hariri yang ada kuasa eksekutif berhenti dari menggunakan duit haram untuk membayar gaji kakitangannya.

Hariri ketawa sinis. “Hihi, Hihi.” Dia menepuk belakang Hilmi kuat sekali sehingga lelaki berbadan segak dan berisi itu terdorong beberapa langkah ke hadapan.

“Semua duit lesen dan cukai yang Kinka katakan itu bukannya banyak sangat. Pembangunan dan penyediaan stok beras dibeli dari hasil komoditi negara. Begitu juga gaji kakitangan. Duit yang dikatakan haram itu untuk membayar upah warga Myanmar membersih loji kumbahan najis pun tidak cukup.” Dengan sapu tangan ditarik dari kocek baju, Hariri mengesat mulut yang terasa basah.

“Nak buat gimik politiklah tu?” Hariri menepuk kuat belikat Hilmi sekali lagi.

Hilmi memandang Hariri. Dia gembira apabila membayangkan dia, anak isteri dan cucu cicit tidak jadi kayu api yang dibakar untuk memanggang atau merebus orang-orang dalam neraka, seperti kata Kinka.

Udara nyaman dan segar serta harum dengan bauan bunga lavendar, mawar, melur dan melati di Taman Raudah. Hilmi menemui Kinka lagi. Geleber pada kelopak matanya hampir mencecah barisan bulu mata atas yang semakin putih.

“Kalau dia sudah kata begitu, moleklah. Tapi itu kata dia. Aku tetap yakin duit dari hasil lesen benda-benda haram itu dicampur dengan hasil yang lain. Macam air bersih jika dicampur dengan air kotor walau hanya sedikit ia akan jadi musta’mal.”

“Aii?” Hilmi tersentap. Dia diam bukan setuju, cuma malas bertekak dengan orang tua yang selalu dimenangkan kerana usianya.

Ketika Hilmi sampai di halaman Kelab Hebat untuk bertanya khabar dan bersembang dengan Hariri, Kinka sudah memberi salam di muka pintu. “Maaflah datang tidak beritahu dulu,” Kinka senyum menampakkan gigi sebatang yang bergoyang-goyang mahu tanggal setiap kali dia bercakap. Kura tangannya yang menggeleber turut terangguk-angguk tatkala dia menghulur salam kepada Hariri.

Hilmi berhadapan dengan Kinka. Hariri di kepala meja yang boleh memuat 20 orang tetamu. “Tuk datang nak pinjam duit nak bayar gaji kakitangan Kelab Hegeh. Sudah tiga bulan tidak dibayar gaji. Anak isteri tidak makan. Tolonglah.” Mata kusam Kinta tunduk merenung jemari yang memilin bucu kertas di atas meja.

“Pinjam duit lagi? Berapa puluh atau berapa ratus riggit?” senyum di bibir Hariri yang tadi begitu manis serta-merta kuncup.

“Tak banyak. Dua ratus ribu, cukuplah.” Kelopak mata Kinka kulit kulitnya berkedut berlapis-lapis terkejip-kejip memandang wajah serius Hariri.

“Kalau tidak dengan Adik Hariri dengan siapa lagi Tuk boleh pinjam?” Tuk Kinka buat muka sedih dan toya. Tubir matanya mulai kemerah-merahan.

“Pinjaman dulu 100 ribu belum dibayar, sudah nak buat pinjaman baru?” Hariri mengesat muka sebaik cermin mata yang baru ditanggalkan, diletak di atas meja.

“Adik Riri, hutang-hutang itu nanti Tuk bayar bila ada duit. Tuk rancang nak jual kayu balak dalam hutan atas bukit berusia ribuan tahun itu untuk jelaskan pinjaman.”

“Tuk tak bimbang masuk neraka menggunakan duit hasil cukai dan lesen benda-benda haram yang Tuk katakan tempoh hari?” Hariri pandang jauh ke dalam iris Kinka.

Kinka memandang Hilmi “Daripada siapa Adik Riri dengar cerita bidaah itu?” “Hilmi.” Hariri menoleh Hilmi yang sedang memandangnya.

“Aa,” Kinka senyum panjang. Giginya yang sebatang itu bergoyang seakan mahu tanggal tatkala tersentuh lidah. “Sah sudah, Himilah yang cakap, bukan Tuk.” Tangan Tuk Kinka yang berkulit menggeleber menepuk meja dengan kuat.

INFO: Penulis

ZAHARAH Nawawi yang berpengalaman luas dalam kewartawanan sejak 1950-an, menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre termasuk cerpen, novel, puisi dan esei. Pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda itu, menerima Anugerah Penulisan Sea pada 1996. Penulis boleh dihubungi di

http://www.kepezi.blogsopt.com/.

Berita Harian