KEINDAHAN BAHASA di 
tangan penyair adalah kata-kata yang penuh bermakna. Walaupun kata-kata 
biasa ia masih membawa makna secara tersurat dan tersirat. Kata-kata 
yang jernih dari jiwa memancarkan seribu makna, memberikan panduan dan 
pengajaran kepada manusia. Adunan pengalaman dijadikan bahan penulisan 
untuk tatapan pembaca. Melalui pemerhatian dan penelitian yang tajam, 
sebuah karya seperti puisi akhirnya dapat digarap.
Seperti slogan “seni untuk masyarakat”, 
begitulah seni itu sebati dengan hasrat dan cita-cita penyair 
Allahyarham Zahari Hasib. Menurut Allahyarham,  sajak merupakan sebuah 
saluran terpenting bagi menyampaikan teguran, pandangan dan kritikan 
terhadap apa-apa juga yang berlaku di sekeliling kita.
Lantaran itu, bagi Allahyarham, sajak 
tidak sekadar harus berdiri sebagai sebuah permainan bahasa atau 
pembinaan kata-kata bombastik sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu, 
sajak sewajarnya dapat menerapkan pemikiran positif yang boleh 
direnungkan secara lebih hakikat dan mendalam.
 Penglibatan Allahyarham dalam penulisan 
sajak bermula pada tahun 1965, iaitu pada saat keresahan serta kesepian 
seorang anak muda. Pada peringkat awal, Allahyarham memang banyak sekali
 membaca, menghayati serta menyimpan keratan  karya orang lain untuk 
ditatap serta dihayati. Bertolak daripada minat yang mendalam itulah, 
Allahyarham mencuba pula menulis sendiri. Bagi Allahyarham,
 selepas membaca serta menghayati  orang lain, barulah Allahyarham 
mendapat kekuatan bahasa dan teknik pengolahan yang baik.
Penglibatan Allahyarham dalam penulisan 
sajak bermula pada tahun 1965, iaitu pada saat keresahan serta kesepian 
seorang anak muda. Pada peringkat awal, Allahyarham memang banyak sekali
 membaca, menghayati serta menyimpan keratan  karya orang lain untuk 
ditatap serta dihayati. Bertolak daripada minat yang mendalam itulah, 
Allahyarham mencuba pula menulis sendiri. Bagi Allahyarham,
 selepas membaca serta menghayati  orang lain, barulah Allahyarham 
mendapat kekuatan bahasa dan teknik pengolahan yang baik.
Pada peringkat awal, Allahyarham hanya 
menyimpan sajak sendiri dalam sebuah fail peribadi. Allahyarham mendapat
 galakan yang kuat daripada saudara Atondra (Datuk Nordin Haji Abdul 
Rahman) yang menjadi pengarang majalah Pemimpin. Pada bulan Mei 1969, sajak pertama Allahyarham berjudul Hakikat tersiar dalam majalah Pemimpin.
 Pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1970, 1971 dan 1972, nama 
Allahyarham mula mendapat tempat di akhbar terkemuka seperti Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman dan majalah popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Mastika. Sajak Allahyarham juga mendapat tempat di Pelita
 Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Wanita, Jelita, Sinar 
Zaman, Nona, Media Hiburan, Mingguan Warta Perdana, Kisah Cinta, Bacaria, 
Mingguan Famili, Keluarga Harmoni dan majalah serta akhbar yang ada menyediakan ruangan sajak.
Allahyarham pernah berhasrat untuk 
melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan tetapi disebabkan syarat 
kemasukan ke universiti sekurang-kurangnya memiliki Sijil Pelajaran 
Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Hasrat 
ini pernah diluahkan dalam Antara Saya dan dalam antologi Debu di Kaca (DBP, 1995).
Allahyarham menulis cerpen, rencana dan 
skrip drama radio tetapi sajak adalah penulisan yang terpenting dan 
diminati. Allahyarham pernah memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan 
menulis  cerpen anjuran Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana 
Menteri pada tahun 1978. Pada April 1987, Allahyarham memenangi hadiah 
penghargaan dalam Sayembara Remaja anjuran Esso-Gapena.
Pada November 1988, Allahyarham memenangi hadiah Sastera Malaysia (bidang puisi) dengan judul Pelita.
 Pada Mac 1989 pula, Allahyarham memenangi dua hadiah serentak dalam 
Sayembara  Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (bidang  puisi dan 
cerpen).  Empat antologi sajak Allahyarham telah diterbitkan setakat 
ini, iaitu Bunga-Bunga Terbuang (1989), Menyorot Kisah dan Ilham (Penerbitan Bernas, 1989) dan Kuntum Harapan – Kumpulan  Puisi Remaja (DBP, 1992); Debu di Kaca
 adalah antologi puisinya yang menampakkan kekuatan dari segi kreativiti
 dan nilai estetik, memuatkan 83 sajak yang menyentuh pelbagai tema dan 
persoalan.
Seperti katanya, “Saya akui, sememangnya
 saya tidak mendapat pendidikan atau pembelajaran formal sama ada 
melalui kursus penulisan di universiti. Saya hanya sekadar mempunyai 
kelulusan LCE. Kelayakan tersebut, tentunya tidak mengizinkan saya untuk
 memasuki mana-mana kursus atau pengajian penulisan di Universiti Malaya
 atau Universiti Sains Malaysia, yang kelayakan memasukinya minimum SPM 
atau STPM”.
Penyair Zahari Hasib lahir pada 15 Jun 
1947, di Kampung Seleboh, Parit, Perak Darul Ridzuan. Mendapat 
pendidikan di Sekolah Izzudin Shah, Ipoh, hingga tamat LCE pada tahun 
1963. Mula menulis sejak tahun 1965. Berkat semangat dan kegigihan 
Allahyarham berjaya sebagai penyair dalam kelasnya yang tersendiri.
Tanpa menghiraukan semua itu, disebabkan
 minat yang mendalam, bersama-sama kekuatan dan daya usaha Allahyarham 
sendiri, iaitu dengan banyak membaca majalah, akhbar dan buku, serta 
selalu menghayati karya orang lain, Allahyarham terus menulis tanpa 
berasa jemu hingga ke akhir hayatnya. Selepas bersara, Allahyarham terus
 giat menulis walaupun menetap di Taman Intan Mas, Jalan Padang Tembak, 
Teluk Intan, Perak.  Allahyarham pernah berkhidmat dengan Pasukan 
Perubatan Angkatan Tentera Malaysia selama lima tahun. Pada tahun 1970 
hingga 1973 bertugas sebagai Pengawal kampus Universiti Malaya. Pada 
tahun 1974 menjadi Pegawai Kerani di Unit Keselamatan Bank Negara, Kuala
 Lumpur, dan bersara.
 Kecintaan Allahyarham terhadap  sastera 
sangat mendalam. Sehubungan itu, Allahyarham sering berpegang kepada 
kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang, “Bilakah agaknya kita akan 
dapat melihat setiap orang di Malaysia ini akan menerima dan membaca 
puisi itu sama seperti pentingnya seperti kopi, teh, roti atau nasi 
lemak yang semestinya menjadi hidangan sewaktu bersarapan.”
Kecintaan Allahyarham terhadap  sastera 
sangat mendalam. Sehubungan itu, Allahyarham sering berpegang kepada 
kata-kata Sasterawan Negara Usman Awang, “Bilakah agaknya kita akan 
dapat melihat setiap orang di Malaysia ini akan menerima dan membaca 
puisi itu sama seperti pentingnya seperti kopi, teh, roti atau nasi 
lemak yang semestinya menjadi hidangan sewaktu bersarapan.”
Sajak Allahyarham istimewa kerana 
menggunakan bahasa yang mudah difahami dan dapat menyampaikan apa-apa 
yang tersurat dan tersirat meliputi  persoalan kehidupan manusia, 
masalah kepincangan sosial, ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat,
 falsafah, keagamaan, ketuhanan dan kecintaan terhadap pemuliharaan alam
 sekitar. Persoalan begini kerap ditemui dalam sajak Allahyarham.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang
 mesra dan mudah meresap ke jiwa pembaca. Penggunaan bahasa yang kreatif
 dan bersahaja dapat menyampaikan persoalan biasa yang diangkat untuk 
renungan masyarakat. Kejujuran dan kejelasan makna menjadikan sajak 
Allahyarham dapat dihayati oleh semua peringkat pembaca.
Pertalian Allahyarham dengan  sajak 
terlalu akrab, setiap kali membuka majalah dan akhbar pasti halaman 
puisi yang terlebih dahulu Allahyarham tatap dan baca. Allahyarham 
sering mengucapkan tahniah kepada rakan penulis apabila sajak mereka tersiar dalam 
mana-mana akhbar dan majalah. Kadang-kadang Allahyarham mengetahui lebih
 awal daripada penulis. Begitu juga sebaliknya, penulis mengucapkan 
tahniah apabila sajak Allahyarham tersiar dalam mana-mana akhbar dan 
majalah. Pernah Allahyarham tidak mendapat beberapa akhbar Mingguan Warta Perdana
 dan Allahyarham meminta editor mengirimkan tiga keluaran, tanpa menduga
 Allahyarham mengirimkan RM10 sebagai bayaran, tetapi malangnya wang 
tersebut telah hilang dalam sampul yang bersetem biasa.
Ilham daripada sajak Allahyarham banyak 
bersumberkan inspirasi anak Allahyarham, iaitu Zarina, Zanariah, 
Aminudin dan Rafidah serta isterinya, Teheran Abdullah. Selain itu, 
tema dan persoalan keluarga dalam sajaknya juga menyentuh hal-hal biasa 
yang terlepas pandang oleh kebanyakan orang seperti “Seorang Anjing 
Seekor Manusia”, “Esok Saya Mati”, “Kaki Lima”, “Senyum kekasih”, “Sajak
 di Rumah Orang Mati”, “Durian”, “Gasing, Layang-layang dan Golf”, 
“Orang dan Kambing” dan “Bunga dan Tukang Kebun”, semua ini termuat 
dalam antologi Debu di Kaca.
Allahyarham pernah menjadi Bendahari 
Karyawan PK serta terlibat dalam banyak aktiviti persatuan termasuk 
menjadi hos Majlis Gebang  di Pasir Salak pada 11 Disember 1994.  
Menurut Mohamad Daud Mohamad, dalam Debu di Kaca, “Zahari Hasib
 menampakkan teknik peran dan gaya yang tersendiri. Bahasanya mudah 
dicerna dan mantap. Penyair menampakkan kejujuran dan kesungguhan 
mencernakan setiap objek yang diolah dan dirakamkan kembali. Dari segi 
irama (ritma dan rima), ternyata penempatan asonansi, aliterasi dan 
konsonan tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya berlandaskan 
kekuatan intelektual dan pengalaman empiris yang mantap”.
Allahyarham yang meminati Tan Sri 
P.Ramlee sangat menghargai semangat setia kawan. Menurutnya, galakan, 
tunjuk ajar, bimbingan serta perhatian mereka atas segala usahanya 
selama ini amat dihargai. Antaranya, para editor majalah dan akhbar 
seperti Atondra, A.R. Kamaluddin, Usman Awang, Ibrahim Omar, Raja Ahmad 
Niza, Wahba, A. Rahim Abdullah, Johan Jaafar, Kemala, Hassan Alias, Dr. 
Talib Samat, Adnan Abdul Majid, Mohammad Daud Mohamad, Wahid Kasran, 
Salbiah Ani, Ku Seman Ku Hussain, Nor Asmah Zakaria, Mat Piah Teh Deris,
 Padilah Haji Ali, Rozninah Abd. Azib, Armin Azahari Salleh, dan Zaidi 
Ismail.
Dalam kalangan kawan-kawan dan sahabat 
handai, Allahyarham selalu mengunjunginya dengan menaiki bas dari Teluk 
Intan, sama ada di Berita Harian atau Dewan Bahasa dan Pustaka, malah ke
 Utusan Melayu dan beberapa penerbitan lain dengan menghadiahkan 
gula-gula sebagai ingatan tulus ikhlas dan tanda persahabatan langsung 
mengeratkan hubungan silaturahim. Kini Allahyarham telah kembali ke 
rahmatullah pada 26 Februari 2012, kira-kira jam 7.30 petang dalam usia 
65 tahun akibat serangan angin ahmar ketika azan maghrib setelah sering 
sakit sejak dua minggu sebelumnya. Allahyarham meninggalkan seorang 
isteri, empat orang anak dan 10 orang cucu serta ribuan mutiara bahasa 
iaitu sajak, cerpen, drama dan rencana agama yang penuh makna untuk 
renungan dan pengajaran kepada kita.
Al-Fatihah.
Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera April 2012.
 
