Penaja

17.8.10

COKAK




“Tak mahu! Ayu tak mahu pergi tanpa bawa Cokak bersama” Rahayu mengurut bulu Cokak yang baru dimandinya, lembut dan wangi. Belang coklat dan putih nampak berseri.

“Kita balik kampung kejap sahaja, pandai-pandai ibunya di Topeng menjaga anaknya!” ibu mengemas pakaian yang perlu dibawa ke kampung.

“Ibu tak ingatkah nasib Citam, bila kita balik kampung Citam hilang, Citam tak balik rumah lagi. Citam tak tahu mati atau hidup… sampai sekarang Ayu rindukan Citam” Rahayu terus merengek, mahukan Cokak kucing kesayangannya dibawa bersama ke kampung.

Suara Cokak amat lantang suaranya bila dahagakan susu; memekak bingit telinga tapi Cokak amat comel. Maka itu Rahayu berikan namanya Cokak. Asyik memekak tapi comel. Citam yang ghaib entah ke mana adalah kucing rona hitam. Itu yang diberikan nama Citam.

“Ayu, kalau Cokak ini dibawa ke kampung, ibunya Si Topeng itu bagaimana, takkan nak tinggalkan. Macam mana nak beri susu dia, Cokak bukankah masih menyusu lagi!, takkan kita nak bawa dua ekor kucing sekali, kampung apak Kota Bahru Perak itu jauh Ayu!” aku lihat Rahayu mula bermuka monyok, Cokak di ribaannya mula lena dalam belaiannya.

“Ayu tahu mana kedainya yang ada jual susu untuk anak kucing, botol untuk anak kucing pun ada dijual di situ!”

“Mana Ayu tahu, bila pula Ayu pergi ke kedai kucing tu!”


“Kawan Ayu Nora di tadika ada bela kucing juga… ibu!. Ayu dan Nora selalu cerita fasal kucing, dia pun kalau balik kampung bawa anak kucingnya..!”

“Ayu tanyalah dengan apak!…” ibu mula mengalah dan menyerahkan masalah Cokak kepada apaknya. Aku senyum sahaja melihat keletah Ayu.

Baik Topeng, Tuah, Citam mahu pun Cokak yang baru lahir bukannya kucing kami. Tak pasti siapa punyai kucing yang tiba-tiba datang bertandang ke rumah kami. Kucing bila disayangi diberi makan maka akan beralihlah ke tuan lain. Rahayu adik bungsuku memang amat sayangkan kucing; baik Topeng atau Tuah sudah macam bantal peluknya. Hairan pula tidak pernah dia selesema sebab bulu kucing itu. Dia tak risau tentang Topeng atau Tuah sebab telah besar. Pandai cari makan sendiri.

Sering kami balik kampung dua tiga hari tak pernah pun Topeng dan Tuah hilang. Kecuali Citam yang baru pandai makan tiba-tiba tidak balik rumah setelah dua malam kami bercuti ke Cameron Highlands dan tinggalkan dia di halaman rumah. Apak tak benarkan Citam tinggal dalam rumah semasa kami tiada di rumah takut habis rumah dikotorinya.

“Apak telah tenguk harga sangkar di kedai yang Ayu ceritakan, mahal Ayu… RM70 lebih, botol susu semua itu apak telah kira lebih RM100 kita kena sediakan”

“Kalau apak tak ada duit Ayu ada duit simpan sikit dengan ibu, duit raya dulu tak habis lagi!, Along pun kata nak bantu, kami sudah kira ada RM55, selebihnya apak tolonglah tambahkan!”

“Pastikah Ayu rasa dia mahu menyusu susu di kedai itu!”

“Apak belilah sekarang susu tu!, kita cuba kasi Cokak nyusu…!”

“Kita berenamlah Ayu macam mana nak letak sangkar tu, kereta Avanza kita tu kecil! Emm! Kalau Cokak tu berak nanti bagaimana…”

“Ayu boleh riba…!, kalau Cokak berak kita berhentilah kejap buang tahinya… apak ni…! nak beli ke tidak!” aku lihat apak mula garu-garu kepala. Rahayu pula mula merajuk lari-lari anak sambil mendukung Cokak ke ibunya yang telah siap mengemas barangan untuk balik ke kampung.

Pagi Sabtu itu, aku lihat Rahayu tidak riang langsung. Aku faham dia kecewa sebab apak tidak pun belikan sangkar untuk Cokak. Apak Cuma bawa dua buah kotak besar dari ofisnya, malam tadi apak minta tolong aku bantu buatkan rumah Cokak di halaman rumah. Aku ikut sahaja, tak berani nak tanya apatah lagi berani gesa apak belikan sangkar untuk Cokak. Aku sudah masak sangat tentang ketegasan apak, kalau dia kata putih maka putihlah. Jangan memandai nak bantah cakapnya.

Aku lihat Rahayu mencium-cium wajah si Cokak, membelai bulunya & meletakkan Cokak ke dalam kotak di halaman rumahku. Along aku lihat berkata sesuatu kepada Rahayu. Biasanya apa yang Along cakap Rahayu mudah menuruti. Dengan aku pun dia tak berapa nak dengar cakap. Dengan Azim yang hampir sebayanya jangan harap; macam kucing dengan anjing asyik hendak bercakaran. Apak memerhati sahaja dari dalam Avanza.

Cuti tahun Baru Cina, biasalah semua mahu balik kampung. Apak kata di kampung tengah musim buahan. Durian katanya tengah luruh. Opah Bi telah simpan tiap minggu harapkan kami balik, katanya sudah penuh dua balang besar dia buat tempoyak sebab tak siapa lagi larat makan. Simpan-simpan orangnya tak balik lalu buat tempoyak. Rambutan, manggis, cempedak tak siapa nak petik; banyak telah meloloh ke bumi, terbuang begitu sahaja.

Aku terfikir juga mungkin apak tak mahu belikan sangkar sebab Avanza kami tak sebesar mana,. Mana nak letak buah-buahan jika mahu dibawa pulang ke Jenaris.

Mana nak letak barangan pancingnya. Apak kalau mahu balik kampung mesti nak memancing. Along tak rajin temankan apak memancing, dia leka dengan telefon bimbitnya sahaja. Tak lepas main sistem pesanan ringkas (SMS). Aku selalu juga tegur Along kenapa asyik SMS sahaja tak rugi duitkah!.

“Angah tahu tak sekarang ini SMS tu cuma 1 sen, nak habiskan RM1 pun penat nak taip tau tak?” aku manalah tahu kadar telefon bimbit ini. Bila Along telah marah ditegur aku malas nak ikut campur. Aku tahu apak sering marahkan ibu bab SMS ini; ibunya yang memanjakan. Along itu baru hendak habis Diplomanya di Politeknik. Tiap bulan ibu yang kasi duit untuk tambah nilai telefon bimbitnya.

Di kampung aku lihat Azim & Rahayu elok pula bermain, dari main Ketinting, Konda-Kondi, Batu Seremban sampailah main Congkak. Ada sahaja mainan yang mereka lakukan. Azim tidak memilih, mainan kanak-kanak perempuan pun dia layan dengan adiknya itu. Kejap-kejap aku lihat mereka main laga buah getah. Naik merah tangan Along jadi tukang lagakan. Lupa langsung akan Cokak, sementelah di rumah Opah Bi tiada kucing jadi Rahayu nampak gembira sahaja di kampung.

Aku pun tak larat nak makan durian. Menjadi betul durian di Perak tahun ini. Tiga hari dua malam kami di kampung apak; asyik makan gulai tempoyak pun sambal belacan taruh tempoyak. Opah Bi masak jangan ceritalah sedapnya.

Apak biasalah tiap petang sampai Maghrib pasti ke tapak lombong, Azim suka temankan apak, aku ikut angin; aku pergi bukan nak mengail sangat tapi aku tenguk pokok teratai & belibis terbang. Mana ikan puyu yang masih hidup, tak telan umpan ke dalam perutnya apak akan simpan di balang untuk bawa pulang ke Jenaris.

“Ikan puyu ini sepasang RM5 harganya, orang kata elok kita bela di rumah!” apak suka sangat dapat kail banyak ikan puyu.

“Ayu mimpi malam tadi ibu Cokak … si Topeng tu beranak lagi!” tetiba Rahayu memecah kesunyian. Ketika itu Avanza yang apak pandu mendaki gunung di Gua Tempurung. Hujan renyai, cahaya senja nampak cantik biar pun awan pekat hitam bagaikan mahu kiamat. Bunyi enjin Avanza agak kasar melolong; mana tidaknya aku sudah naik lemas mencium bau durian. Apak macam kemaruk durian, melambak dibawanya. Belum lagi, balang ikan puyu, manggis, cempedak & langsat. Hendak kasi kawan makan katanya.

“Macam mana kalau betul-betul si Topeng tu beranak iyer ibu!, nanti berebut neneng pula dengan Cokak!” Rahayu panggil tetek itu neneng.

“Mana ada kucing lepas beranak nak beranak lagi!” ibu mematikan bualan Rahayu.

Kami hanya singgah sekali untuk berehat dan solat di waktu Isyak, menjamakkan sembahyang Maghrib; jamak takdim. Aku menjangkakan sekitar empat atau lima jam sampailah kami di Jenaris. Along & Azim aku lihat sekitar jam 11:00 malam telah lena. Aku kalau berjalan jauh jarang boleh lelap mata. Aku lihat Rahayu di sebelah Azim pun masih tak boleh tidur.

Aku syak dia mesti mula rindukan si Cokak.

Jalan agak sesak maka kami lewat sampai ke Jenaris. Jangkaanku sekitar 11:00 malam kami sampai meleset. Sekarang telah jam 12:15 malam kami baru sampai di Plaza Tol Sungai Besi. Apak suka ikut Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban untuk pulang ke Jenaris. Aku intai ke belakang nampaknya Rahayu pun sudah mengalah.

Sekitar 12:45 malam, baru kami sampai di pintu pagar rumah. Aku turun untuk membuka kunci di pintu pagar. Terkejut aku ada lembaga di belakang menarik bajuku. Rahayu rupa berdiri dibelakangku. Buka sahaja pintu pagar dia berlari ke rumah kotak Cokak. Kosong!. Si Topeng ibunya pun tak ada tidur di dalam kotak. Rahayu mula memanggil Cokak. Apak parkir Avanza; ibu turun memujuk Rahayu masuk rumah. Rahayu masih memanggil Cokak, mencari-cari di sekitar pokok bunga. Memang tiada Cokak. Bila kami masuk ke rumah aku nampak si Topeng di muka pintu. Pulang sendirian. Rahayu tambah cemas, dia mula berbual dengan si Topeng; manalah si Topeng faham cakap Rahayu.

Akhirnya Rahayu menangis dan berlari ke kamarnya. Menyembam muka ke bantal. Aku tenguk ibuku memujuk.

“Esok Cokak pasti balik; entah ibunya hantar tidur di mana!” ibu cuba menyakinkan hati Rahayu.

Aku pun mengantuk sangat lalu tertidur. Pagi buta lagi aku dengar Rahayu mula meragam. Mula tak mahu ke tadika dia kata hendak tunggu si Topeng bawa anaknya Cokak balik. Ibu tak sampai hati melihat Rahayu meragam terpaksa ambil cuti kecemasan.

Hari kedua Cokak tak balik, aku lihat apak telah belikan sangkar yang Rahayu mahukan. Rahayu pandang tidak pandang sahaja.

“Nanti kalau Cokak terus tak balik, bukankah ibunya si Topeng boleh beranak lagi!” apak cuba memujuk Rahayu.

“Ayu tahu, apak sengaja jadikan Cokak itu macam Citam tak balik-balik, Ayu dah agak apak tak sayangkan kucing, nak buat apa beli sangkar untuk Cokak; Cokak takkan balik lagi, apak tak sayang Cokak… mana Cokak Ayu!… ibu semalam pun cakap mana ada kucing sudah beranak nak beranak lagi!… Ayu nak Cokak Ayu juga!”

Apak tidak dapat hendak tangkis lagi pertanyaan Rahayu, ibu cuba memahamkan apa yang dia cakapkan semalam. Si Topeng tidur lena di ruang anjung dengan kekasihnya si Tuah. Air mata Rahayu masih lebat turunnya.


iDANRADZi
Jenaris Kajang