Penaja

23.3.12

Sastera di Berita Minggu semakin Kalut


nelayan dipeluk "rasah derita..." adakah perkataan rasah derita.. nampak sangat BM ni ada kroninya; penyair lain giat cuba berkarya sering dibakulsampahkan; saya selalu mengikuti perkembangan puisi di BM sejak tiga tahun lalu, banyak sangat kesilapan ejaan; apa sebenarnya berlaku di BM sana?.

:iDAN

Kelop@k sering mengikuti perkembangan puisi di Berita Minggu (BM) sejak kebelakangan. Sekitar tiga tahun lalu ianya nampak meriah dan amat terjaga akan nilai Bahasa Melayunya. Jarang kedapatan kesilapan ejaan pun ramai penulis dari pelbagai golongan mapan atau tidak dapat ruang untuk memuatkan karya mereka di BM.

Sejak tiga tahun ini ramai kalangan rakan penyair Kelop@k bersungut karya mereka dipinggirkan untuk mengisi ruangan puisi di BM. Tak baik menuduh editornya memilih kroni tetapi pernah editornya menulis yang beliau mahukan puisi mudah (Puisi Mini Kata mungkin) malahan menolak puisi penulis mapan lagi tersohor. Apakah penolakan karya penulis mapan lantaran puisinya sukar difahami atau tidak sesuai untuk paparan awam itu yang menjadi tanda tanya.

Secara peribadi mencorakan atau melabelkan puisi-puisi pelbagai bentuk atau cara penyampaian tidak salah. Tetapi jika menolak sesuatu karya dengan alasan ianya puisi berat dan sukar difahami (Puisi Supra Kata popular di seberang) amatlah tragis. Ianya boleh merencatkan perkembangan dunia puisi itu sendiri. Apalah salahnya dipelbagaikan tema atau corak puisi. Jika editornya suka Puisi Mini Kata jangan sampai Puisi Supro Kata, Puisi Idiom Baru atau kabur ditolak. Kenapa tidak diterima barangkali sekitar 20% dari puisi yang pelbagai ini diterbitkan BM; agar Dunia Penyairan ini menjadi meriah.

18.3.12

Zahari Hasib dan Aku

27hb. Feb. 2012

Zahari menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam setengah selepas bercakap dalam telefon dengan aku. Aku menelefonnya petang semalam ketika aku ke rumah Pakcik Khalid (bapa saudara isteri aku) di Taman Padang Tembak, Teluk Intan, Aku beritahu pakcik Khalid; aku ada seorang rakan di Padang Tembak; Zahari Hasib namanya. Selepas pencen dia pindah ke kampung. Pakcik Khalid Nampak kehairanan – sungguh dia baru tersedar nama itu pernah ujud dalam untaian awal kehidupannya. Pakcik Khalid minta penjelasan. “Iya, Zahari Hasib yang menulis cerpen, puisi dan drama radio. Tetapi lebih menyerlah sebagai pemuisi.” aku menerangkan.

Zahari Hasib berasal dari Seleboh, Parit; rakan sekelas Pakcik Khalid semasa di Sekolah Menengah Izzudin Shah di Ipoh tahun-tahun 1963/64. Sudah terlalu lama – 1963/64; dan sekarang 2012. Itulah lamanya. Kini Zahari Hasib tinggal di Taman Intan Mas, taman bersebelahan dengan Taman Padang Tembak. Kedua-dua taman itu dalam lingkungan Padang Tembaklah juga; namun mereka tidak pernah terjembung.

Aku telefon Zahari. Seperti biasa aku melaung namanya – “Zahari Hasib, penyair agung.” Dia menanyai aku – macam biasa. Macam lama dahulu. Macam empat lima hari yang lalu. Dia tidak sukar mengecam suara aku. Tapi itulah cara Zahari – “Iya !! ini Saudara Nahar Rashid, ya. Saudara Nahar Rashid. Apa khabar.”

Aku kenal Zahari sudah lama – dalam 35 tahun begitu. Seawal mengenali Zahari ialah apabila aku pernah ternampak Zahari tatkala aku dalam perjalan balik dari berlatih teater di Taman Budaya – Aswara sekarang. Dia kelihatan sering bersama Tengku Alias Taib bersandar di tiang elektrik di tebing Sungai Gombak menonton Khalid Salleh berjual ubat secara main teater di pentas terbuka Benteng di Belakang Bangkok Bank, Jalan Melaka. Tengku Alias Taib ketika itu sudah terlebih dahulu melakar nama dalam penulisan puisi.

Penyair agung – macam mana mulanya aku menggelar Zahari. Ini gelaran cuma aku seorang sahaja. 1978. Kebetulan aku menziarahi seorang rakan karib aku warded di wad psikiatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (sekarang HKL). Rakan karib aku itu Allahyarham Kamalsyah Kamaluddin – pengarang ruangan Jeritan Batin akhbar Mingguan Malaysia tahun-tahun 1970an. Tekanan kejiwaan menyebabkan dia masuk wad. Di ruang legar wad, Kamalsyah terserempak Zahari Hasib yang menghuni bilik bersebelahan. Zahari dengan rambut ikal yang tak terurus, berjalan terdorong-dorong ke depan dengan memangku topi beretta sambil menggosok-gosok dua biji bola pingpong di dalam lopak topi. Demi terserempak Zahari, Kamalsyah melaungkan : Hallo !! Zahari; penyair agung. Dan Zahari menghampiri kami dengan pandangan kosong. Lakaran watak Zahari itu aku lukiskan dalam cerpen aku yang belum siap-siap lagi – sudah lebih sepuluh tahun.

Kemudian daripada itu sering selepas habis kerja jam 4 petang aku ketemui Zahari di Chow Kit Road. Kami minum teh tarik di gerai mamak berdepan dengan Keramat Super Market. Zahari yang tidak banyak bercakap tapi sering melempar senyum. Habis minum teh Zahari naik bas Serijaya nombor 213 menuju ke Datok Keramat dan aku, menyusuri Raja Muda ke Kampung Bharu. Khabarnya Zahari bekerja di Bank Negara.

Kami bertambah dekat tatkala dua tiga kali hadir bersama program santai baca-baca puisi di Taman Tasik Perdana atau Taman Tasik Titiwangsa. Ada beberapa kali puisi aku tersiar bersama puisi Zahari, Puzi Hadi, Yasin Salleh, Khalid Salleh, Kasajiza AS. Aziz Deraman di akhbar Berita Minggu. Aku sebenarnya berasa terlalu kerdil diganding dengan ungkapan puisi Zahari dan penyair tersohor lain itu.

Lama aku tidak ketemu Zahari. Aku akhirnya mendapat tahu Zahari sudah pindah ke Teluk Intan selepas pencen. Aku mencari di mana Zahari. Seorang rakan memberitahu; untuk ke rumah Zahari tanyakan sahaja pada derebar teksi di pengkalan Teksi Teluk Intan. Namun aku belum mencubanya.

Suatu ketika Radio Klasik FM (sekarang Klasik Nasional) dalam program interaktifnya di sebelah petang menerima permintaan lagu klasik. Zahari ada dua tiga kali menujukan lagu kepada beberapa orang sahabatnya - yang kerap ialah kepada Dr Talib Samat. Suatu ketika DJ bertugas tersalah sebut nama Zahari Hasib (seolah mereka baharu pertama kali itu mendengar nama Zahari Hasib - aku membetulkan nama sebenar Zahari Hasib - seorang penyair rakyat tersohor; kataku.

Klasik FM bertukar menjadi Klasik Nasional. Ada slot ADILA - penceritaan pengalaman sendiri dan diadun dengan lagu yang sesuai. Aku hantar coretan dan aku tujukan lagu untuk Zahari Hasib.

Dan baru dalam dua minggu ini memperoleh nombor telefon Zahari dari Dr Talib Samat. Dr Talib bagi tahu Zahari tidak ada telefon bimbit. Jika mahu menelefon, gunakan talian telefon di rumahnya. Aku mahu mempelawanya hadir ke pelancaran pertandingan mengarang cerpen dan puisi Islam anjuran Pusat Khidmat masyarakat DUN Hulu Bernam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 25hb. Feb. – aku jadi Setiausaha Urusetia pertandingan. Zahari Cuma menyebutkan bagus, bagus, bagus; tidak putus-putus.

Semalam aku bertandang ke rumah bapa saudara isteri aku di Taman Padang Tembak, Teluk Intan. Aku telefon Zahari; beritahunya aku berada di Taman Padang Tembak. Rumah saya di Taman Intan Mas - sebelah ni sahaja – kata Zahari. Zahari mempelawa aku ke rumahnya. Tapi aku beritahunya hari sudah terlalu petang. Percakapan kami terputus-putus dua tiga kali. Line cellcom di Padang Tembak tidak begitu elok ? Aku perkenalkan rakan lama beliau; Pakcik Khalid. Aku hulurkan telefon bimbitku kepada pakcik Khalid dan mereka berbual sekejap di antara putus-putus line dan mendail semula.

Jam 6.30 petang 26hb. Feb.; 2012; aku beredar dari rumah Pakcik Khalid ke Kuala Lumpur. Aku beritahu pada isteri lain kali sajalah ke rumah Zahari. Aku ambil Maghrib di masjid Kg Kelan, Slim River. Waktu mahu berudhu’ aku terasa kesejukan yang sedikit luar biasa. Baru kini aku sahkan itulah ketikanya Zahari menghembuskan nafas terakhirnya.

Dinbatubara

Perempuan Dalam Puisi

Jangan kau huraikan harum mayang rambutmu
kepada lelaki bukan suamimu
kerana itu adalah ransangan
yang amat pantas
menyentuh nurani dalam

Maka tutuplah ia kembali
agar dengan itu
engaku sebenarnya akan lebih kelihatan
manis, sopan dan mulia

Kadang-kadang di waktu akhir zaman ini
kau perempuan
sering dianugerahkan kecantikan
untuk menjadi sita yang soleh[hah]
atau sekaligus dengan keayuan itu pula
ia bakal menghancurkan dirimu sendiri

Moga-moga kau perempuan
tidak akan menjadi kelkatu
yang akan kecundang
atau patah serta terbakar sayapnya
dek memburu cahaya api

Lantaran sabda nabi:
sesungguhnya aku sudah sampai ke neraka
lalu aku dapati kebanyakan mereka
yang sedang berbaris masuk ke dalamnya
adalah terdiri dari orang-orang
yang kaya dan mewah hidupnya sewaktu
didunia dulu, dan paling ramai
isi neraka itu
ialah kaum wanita!

Zahari Hasib

Kita Malu Dengan Binatang

Gagak
Bagiku engkau hanyalah sekedar mampu mencuri seekor ikan atau sebuku roti
Tetapi manusia…
Sanggup membunuh untuk nafsu dan kuasa.

Ogos
Adalah nama seekor kucing
yang pada suatu malam aku selamatkan dari mati terbunuh.
Ia dalam keadaan sangat kecil.
Terkepung di jejambat Mahameru
Antara kelajuan serta ribut mobil
Yang tak pernah mengenal ampun.

Ogos
Sesungguhnya sampai kini pun
Kami masih belum tahu
Sama ada:
Engkau merayau
Diambil orang
Atau sudah mati terbunuh
Dalam kemalangan jalan raya!

Seekor manusia membuang anak
Seorang anjing menyelamatkannya
Pada zaman serba canggih dan maju ini

Anjing
Kadang-kadang menjadi lebih baik
Daripada manusia.

Ah, Seekor tikus
Hari itu matilah ia
Dalam satu tragedi
Yang sampai kini
Masih kekal dalam ingatanku.

Sesekali bila difikir dan
Direnung, alangkah anehnya cicak
Ia seekor binatang merayap
Tapi makanannya dari jenis serangga yang terbang
Bagaimana ia harus dapat menangkap lalat
Sedang dirinya tak punya kepak
Namun cicak tak pernah mati
Sebaliknya manusia
Pula yang sering kebuluran
Cuma sesekali ciak terbunuh
Bila tersepit di celah pintu.

- Zahari Hasib

Kesibukan – Zahari Hasib (Sajak) Kesibukan

Kesibukan
ialah hantu yang mengejar
dan memburu kita
pada tiap petang dan malam.

Ia berlegar di rumah
mengepung di jalan raya
dan membelit di pejabat.
Justeru itu pegawai yang sibuk
pengurus yang sibuk
dan pemimpin yang sibuk
memerlukan beberapa setiausaha
termasuk seorang darinya mesti
perempuan cantik, manis dan ayu.

Kesibukan adalah gaya hidup zaman ini
tanpa sibuk-sibuk
kita akan dianggap sebagai
manusia yang tidak membuat kerja.

Mungkin agaknya petani tua di pendalaman
atau nelayan kurus
dipinggir pantai timur sahaja yang
kelihatan tenteram dan
dapat merasa aman
justeru kemiskinan serta penderitaan
hidup telah menjadikan mereka
tak punya waktu
sibuk!

Zahari Hasib

16.3.12

sajak: DI KESUNYIAN MALAM

oleh Mohd Adid Ab Rahman pada pada 15hb Mac 2012 pukul 10.38 ptg

di kesunyian malam;
seseorang tidak mampu menjawab pertanyaan diam membisu;
jeritan terlipat pada bayi kecil tergeletak sepi membarisi jumlah kematian
oh sungguh sakitnya peradaban manusia kini!

aku merindui senyummu yang senantiasa meminjam kecantikan bianglala
atau sekuntum mawar yang lazimnya kauselitkan secebis harapan
walaupun jarak memisahkan kita yang sangat pahit untuk ditelan
namun engkau masih tetap akrab dengan hati
seperti laut dan ombak
seperti bunga dan madu

anak-anak yang ada bersamamu adalah pertanda
bahawa kita pernah menganyam cinta biru di langit
maka bimbinglah mereka agar jiwanya penuh dengan Tuhan yang Satu
yang boleh menyedarkannya dari tidur
tentang asal-usul diri, dari mana datang
dan ke mana titik kesudahan nanti

anak-anak itu sesungguhnya pelita kita
bila mata terpejam besok
biarlah mereka tak lupa mendoakan
kesejahteraan kita di alam abadi

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Selandar, Melaka.

6.3.12

HIDUP DI SINI TERLALU SINGKAT

waktu kekal terus mengusir pucuk-pucuk mudaku tanpa halangan
atau penjara bagi pesalah tegar agar bingkas sedar
dan segera kembali ke jalan yang benar
lalu tak dusta sedikit demi sedikit nescaya sampai di kota tua
tanpa mampu dihindari

o… hidup di sini terlalu singkat
betapa kain perempuan muda zaman kini
aurat biar tersingkap tak perlu disembunyikan
tanpa silu
tanpa rasa berdosa
telah melacuri keindahan firman
dan sunnah Rasul adalah pelita di malam kelam

hidup di sini terlalu singkat
seharusnya dipermanis menjadi mutiara berkilau mewah
taman diriasi bunga-bunga
telah kuselitkan di kelopaknya
doa dan harapan

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka.

[tersiar mingguan warta perdana 26 feb 2012]

KALAU INILAH SEBUAH MALAM

Zaman berputar kian tercabul udara dijauhi sentuhan kebeningan
sungai atau laut yang tergelincir dari jernih embun; kata-kata orang ikhlas
sudah begitu langka dan sangat sukar ditemukan di celah-celah!
oleh akhlak membangkai orang-orang kita; kegiatan rasuah
kecil atau besar tumbuh tanpa jumpa jejak lenyap; pembuangan bayi
yang tak berdosa seperti seseorang membuang sial dengan segala rasa benci
telah merosakkan kecantikan peradaban manusia yang mulia

Samudera mencetuskan gelombang-gelombang keras
bimbang dan resah di hatiku
dan orang-orang yang mencintai damai

Kalau inilah sebuah malam
hari ini kita mulakan langkah menjadi sekelompok sinar
yang menelan habis sejuta kelam!

Karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Kota Bharu, Kelantan.
4 Jun, 2011

TERSIAR di MEDIATERKINI edisi 1 FEBRUARI 2012

LUKA HATI

luka hati di matahari yang menderitai gerhana yang teruk
sentiasa mengembara namun tak menemukan titik tujuan
begitulah mimpi indah seseorang
tidak pernah mencapai puncak gunung tinggi realiti
jika enggan berusaha
kecuali percakapan-percakapan yang sia-sia di warung kopi
jauhilah diri dari terpalit lumpur
wangikan hidup dengan sejuta bunga

entah bila embun kan mengecil dan mengering
di bawah terik matahari
lalu beribu-ribu senyum dari madu lebah
mengunjungi dan menetap
seperti rama-rama hinggap
di bibir manismu?

luka hati ini kubawa dengan tabah
dalam menapaki hari-hari muka
tanpa mengharapkan huluran simpati siapa-siapa
kuubati dengan redha
dan selalu mendekati-Nya dengan sebuah ketaatan
yang abadi
lalu aku pun dapat bermesra
dengan sejuta orang ketawa

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
8 Januari, 2012

[tersiar di Majalah Perempuan bil… Februari 2012]

PERJALANAN HIDUPKU

hidup yang hanya sebentar di sini
tak akan dibiarkan berdegup dalam buih-buih laut
yang akhirnya pecah tak tinggal apa-apa selain kesia-siaan
tetap berusaha mencapai tangkai suci
keredaan-Mu, Tuhan

sesungguhnya hidup bila dibiarkan memanjang
tanpa tujuan dan pegangan
menyamai dedaun kering
di permukaan sungai
terapung dan hanyut
dan pada kesimpulannya berakhir di muara
yang kotor berlumpur
tanpa harga kecuali kehinaan

kujadi Engkau kekasihku paling setia
bukankah ini yang Engkau sukai?

Kota Bharu
2001 – 2012

[TERSIAR DI MAJALAH SOLUSI EDISI 41: FEB 2012]

TIBA-TIBA ANGIN BERTIUP KENCANG

i
tiba-tiba angin bertiup kencang dan daun-daun bergetar
serupa kipas
kau ingin mendekati jauh yang melekat di kaki langit
tak ada perahu tertambat utuh di pelabuhan
meninggalkan aku sepi keseorangan

ii
memang di luar kawasan fikirku
tak terduga
o…atas alasan apakah tak mampu dimengertikan
membaca sepotong ayat yang mandulkan makna
tapi masa depan pasti nescaya kelam
jika hari ini tidak berusaha menyalakan bintang-bintang

iii
sekiranya keadaan bisa memberimu sekuntum bunga
bahagia menggebu
maka pergilah! tak wajar sama sekali aku menahannya
di sisiku yang pernah kauisi
memiliki kekosongan
mungkin esok kan datang membawa penggantinya

karya,
Mohd Adid Ab Rahman
Selandar, Melaka
2 Jan. 2012

[TERSIAR DI MINGGUAN WARTA PERDANA
EDISI 5 FEBRUARI 2012]

SOSOK KEPERIBADIAN DINAUNGI GERHANA BULAN

biji-biji dosa yang tercipta melengkapkan sebuah kealpaan
lorong yang tak seharusnya dijejaki sang hamba
kerana seribu durinya begitu berbisa tak terduga
menuju diri yang sedikit demi sedikit terhindar
sentuhan ajaib hidayah dan rahmat
dambaan setiap insan yang beriman
ingin kuhantarkan kepada matahari yang terbenam
saban petang terakhir
biar mengamalkan lelap yang paling sempurna

semalam aku begitu ghairah menyiakan waktu
dan usia tergolong muda
sehingga sosok keperibadian dinaungi gerhana bulan;
patah sayap tak mampu terbang
menggapai reda-Mu
persis mawar layu tergeletak lirih di bumi sunyi
hilang warna dan bau yang menawan
menjadi kebanggaan diri
tak siapa sudi memandang
Tuhan apa lagi!

Lakaran:
Mohd Adid Ab Rahman

[tersiar di Harakah edisi 16 – 19 Januari, 2012]

4.3.12

Sanggar Kreatif: Daun zaitun berguguran

Oleh Izuan Rahman

2010/09/05

ABDUL Karim mendongak ke langit. Langit cerah kebiruan yang kekontangan awan. Cuma ada secebis dua gumpalan awan kecil yang berarak ke utara ditiup angin bulan Zulhijjah. Hawa lembut menerpa mukanya dan rambutnya menampar-nampar dahi yang kecil itu. Dia menoleh ke kiri dan mengharapkan kemunculan sesusuk tubuh yang dikenalinya kerana dia sudah duduk termanggu di bawah pokok itu selama sepuluh minit dan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Dia tentu tidak mahu melihat wajah Cikgu Salma yang manis itu menjadi masam kerana marah, namun dia masih menanti kedatangan Hadi yang akan lalu di hadapan pokok tempat dia duduk sekarang lantas berjalan ke sekolah bersama-samanya pada pagi itu seperti biasa.

Sakit perut agaknya si Hadi itu, getus hati kecilnya. Itulah, sudah kupesan jangan mencuba-cuba makan buah yang dijumpainya semalam sewaktu berjalan pulang dari sekolah beriringan. Degil sungguh si Hadi itu. Nanti kita semua juga yang terlewat ke sekolah pada pagi ini, rungut suara kecil Abdul Karim. Sekali lagi dia mendongak langit. Segugus awan berat perlahan-lahan merangkak bagai dipaksa oleh bayu kering yang dahagakan hujan sepetang. Mungkin akan hujan tengahari kelak, bisik Abdul Karim keseorangan. Bagus juga, sudah lama bumi Palestin ini tidak dibasuhi daripada darah-darah penduduknya yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Lantas Abdul Karim mendengus sejurus, seraya bola matanya menangkap imej sesusuk jasad sedang berlari-lari anak ke arahnya. Dikelek bersamanya dua tiga buah buku sambil berlari lantas akhirnya jasad anak kecil itu tiba di hujung kaki Abdul Karim.

“Engkau ke mana Hadi? Mengapa engkau lewat? Nanti Cikgu Salma marah tahu,” Abdul Karim menyambut Hadi dengan rungutan yang terpendam.

Hadi tercungap-cungap mencari nafas. Dia membongkok seperti orang rukuk lagaknya sambil memandang ke arah Abdul Karim. Sedikit peluh kelihatan di garisan dahinya yang putih lagi luas itu. Sebutir tahi lalat menghiasi di sempadan dahi serta rambutnya memaniskan lagi wajah anak kecil seusia 10 tahun tersebut.

“Maaflah Abdul Karim, maaflah. Janganlah marah. Aku ada sedikit hal di rumah tadi,” ujar Hadi yang mula menemui rentak nafas. Lantas dia membetuli pegangan buku-bukunya itu dan berdiri tegak menghadap Abdul Karim. Abdul Karim pun ikut berdiri dan menepuk-nepuk punggungnya membuang habuk yang terlekat pada seluarnya itu.

“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

“Hal abangku. Kau tahu sahajalah yang ibuku tidak menyukai abangku turut serta dalam gerakan menentang Israel itu. Pagi ini sepatutnya dia menyertai kumpulannya ke bandar. Entah ke mana, pejabat apa entah aku pun tak ingat,” jelas Hadi kapada kawannya itu.
Sambil berjalan pantas, kelihatan Abdul Karim mengangguk-angguk kecil. Mengerti. Abangnya juga yang berusia 17 tahun telah menyertai gerakan itu. Begitu juga dengan abang Ahmad, abang Ismail serta abang Soleh. Namun abangnya telah menemui ajal di hujung senjata yang dihunus oleh askar durjana Israel. Dan abang-abang yang lain tidak pulang langsung ke rumah. Tiada khabar berita menjenguk tiba.

“Lantas, adakah ibumu membenarkannya pergi?” soal Abdul Karim.

“Tidak. Mana mungkin,” Hadi membalas.

“Jadi?”

“Jadi apa?”

“Jadi dia tidak pergi?”

“Pergi juga.” Abdul Karim hanya mampu mendengus. Mereka meneruskan langkah beriringan tanpa ada sebarang bicara lagi. Hanya derap langkah mereka di atas tanah kuning berdebu yang kedengaran.

Abdul Karim berjalan pantas sambil kepalanya menunduk ke tanah. Melihat kakinya melangkah deras, bergilir kanan dan kiri. Menyepak debu melekat ke celah jari yang beralas selipar lusuh. Kotak fikirannya melayang. Jauh ke dalam destinasi masa sewaktu kecilnya. Masih terakam segar dalam mindanya bagaimana pada suatu pagi yang dingin itu, Umminya teresak-esak. Esakan Umminya mengejutkannya daripada tidur yang lena. Kelihatan Ummi mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju merahnya.

“Usahlah engkau pergi wahai Ali. Bahaya,” bujuk Ummi sambil memandang sayu kepada abangnya. Abangnya hanya mendiamkan diri seribu bahasa memerhatikan lantai rumah yang kosong tanpa lapik permaidani. Entah menerawang ke mana.
“Dengar tak Ali? Ummi cakap ni,” Ummi bersuara lagi. Berselang sendu.

“Ummi. Ummi lebih mengetahui akan tujuan Ali. Ummi kenal Ali kan,” Ali seboleh-boleh enggan menyakitkan hati ibunya. Dia mengerti perasaan ibunya tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk turut serta dalam gerakan menentang rejim zionis itu. Manusia-manusia keparat lagi durjana itulah yang telah meragut nyawa bapanya dua tahun yang lampau. Masih dia tidak dapat lupakan peristiwa berdarah yang meragut nyawa 13 orang awam termasuk bapanya yang berlaku di pasar sewaktu dia dan bapanya menjaja buah-buahan.

“Mengapa Ali? Tidak semua orang pergi kan. Lihat si Kamil anak mak cik Saadi. Dia duduk elok di rumah sahaja,” ujar Ummi lagi. Dia juga enggan melihat anaknya membahayakan diri untuk suatu penghujung yang pasti.

“Kamil itu pengecut, Ummi. Saya tidak. Saya tidak takut. Saya berani, Ummi. Saya anak Ibrahim yang tidak takut dengan musuh agama. Saya tidak takut. Ini Ali, anak Ummi takkan duduk berdiam diri sahaja. Berpeluk tubuh. Ummi patut bangga dengan saya. Saya sanggup pertaruhkan nyawa demi kebebasan, keselamatan kita. Demi agama, Ummi. Walau saya terkorban, insya-Allah syahid ganjaran saya, Ummi. Ummi, Ummi lebih mengetahui semua ini kan.”

Ali memandang ke luar tingkap. Dia tidak sanggup melihat air muka ibunya yang mulia itu bersedih, ibu yang telah membesarkannya selama 17 tahun ini.

Abdul Karim hanya mampu melihat di sebalik muka pintu biliknya. Digosok-gosok matanya sambil menggigit jari telunjuk kanannya. Senyap. Dia tidak mampu untu menafsir kejadian yang dia lihat di hadapan matanya itu. Dia masih kecil. Baru seusia tiga tahun yang serba mentah.

Selepas peristiwa umminya teresak-esak pada pagi itu, Abdul Karim melihat pula abangnya bersolat di dalam bilik sambil diintai sekali-sekala oleh Ummi. Ummi masih bergenang air mata dan matanya semakin merah dan membengkak. Ummi datang merapati Abdul Karim lantas memautnya ke dada. Diusap-usap rambut Abdul Karim. Abdul Karim hanya mendiamkan diri, mengikut rentak Ummi. Tapi Abdul Karim juga dapat rasakan getaran sendu dan syahdu dari ibunya menusuk ke jiwanya.

Seusai memberi salam terakhir dalam solatnya, Abdul Karim melihat abangnya sujud semula untuk satu jangka masa yang lama. Sujud yang betul-betul lama. Suasana bening kosong tanpa pergerakan kecuali kumat-kamit kecil sesekali daripada bibirnya abangnya yang merah. Dapat dilihat setitis dua air mata yang suci itu menitik di atas sejadah pusaka keluarganya. Pandangan yang menikam ketenangan Ummi, lantas meluahkan esakan kembali yang tidak tertahan. Abdul Karim yang pada ketika itu tidak mengetahui butir bicara bagai disuruh turut menangis bersama lalu merangkul erat pinggang Ummi.

Abang Abdul Karim bingkas bangun dari sujudnya. Segera berlari anak menuju Ummi. Segera digapai kaki Ummi. Segera dicium dan dikucupnya kaki mulia itu.
“Ampunkan saya Ummi. Maafkan segala kesalahan Ali selama ini. Doakan kejayaan kita bersama, demi negara, maruah dan agama kita Ummi. Ali tidak pernah berniat nak melukakan hati Ummi. Tidak pernah terlintas pun walau sedetik Ummiku tercinta, akan niat untuk melukaimu. Ali berserah segalanya kepada Allah.”

Ummi makin sebak. Tertahan-tahan esakannya sambil mengelap air matanya yang tidak berpenghujung. Abdul Karim hanya melihat abangnya di kaki Ummi sambil menangis bersama. Walau tidak mengerti, namun kesedihan Ummi dan Ali menyelebungi segenap ruang anggotanya.

“Seandainya pemergian Ali ini adalah yang kali terakhirnya, andai kepulangan Ali tidak kunjung tiba, maka Ummi halalkanlah segala pengorbanan Ummi sejak kecilnya Ali sehingga Ali besar sebegini. Ya Ummi? Ummi dengar tak? Ummi dengar kan,” Ali bersuara sambil mengesat-ngesat air matanya yang membasahi kaki ibunya.

Umminya hanya mampu mengangguk-angguk perlahan sambil mengumam, tiada suara yang mampu keluara daripada mulutnya. Dan sejak hari itu Abdul Karim tidak pernah melihat abangya pulang ke rumah sehingga sekarang dia sudah berusia 10 tahun. Itulah kali terakhirnya mereka bersama dalam pagi yang penuh tangisan.

Tanpa disedari Abdul Karim serta Hadi sudah semakin merapati bangunan satu tingkat sepanjang 15 meter yang dinamakan sekolah. Bangunan usang itu adalah satu bangunan bekas Pejabat Lembaga Daerah kawasan itu yang ditinggalkan pada 1998. Kemudian dijadikan sebagai sekolah sementara oleh kerajaan Palestin melalui Lembaga Daerah untuk memenuhi tuntutan pendidikan yang acapkali tertangguh. Di situlah ditempatkan seramai 54 orang murid-murid lelaki dan perempuan dari peringkat umur 8 hingga 13 tahun untuk belajar bersama-sama beberapa orang guru yang taat dan ikhlas mengajar.

“Hadi, pukul berapa sekarang?”

“Kenapa Karim?” soal Hadi semula.

“Eh, aku tanya dia tanya balik.” Abdul Karim merenung Hadi.
“Janganlah marah, Abdul Karim. Em, sekarang baru sahaja pukul 8.15 pagi. Terlewat sikit saja, janganlah risau. Cikgu Salma takkan marah,” ujar Hadi sambil mengerling jam besar di tangan kecilnya. Jam besi besar yang diberikan oleh arwah datuknya.

“Hari ini sekolah kan?”

“Mestilah. Kalau tidak, aku takkan tergesa-gesa pagi tadi.”

“Tapi mengapa senyap sahaja sekolah kita?”

Hadi pun memandang ke sekolah yang terletak hanya 10 meter daripada mereka. Langkah mereka agak perlahan kali ini. Memang benar. Sekolah itu agak sunyi. Tiada hiruk-pikuk suara kawan-kawan mereka berebut-rebut hendak menjawab soalan. Tiada suara Cikgu Salma memarahi murid-murid atau suara Cikgu Shukur yang lantang itu bercerita di hadapan kelas.

Abdul Karim sangat pasti hari ini ialah hari persekolahan. Tiada cuti umum atau pun perintah darurat yang dikeluarkan dalam masa terdekat yang menyebabkan persekolahan pada hari itu dibatalkan.

Abdul Karim dan Hadi pun berpandangan sesama sendiri. Mereka kemudian mempercepatkan langkah menuju ke bangunan sekolah yang telah tertanggal catnya itu. Setelah mampir, mereka mendapati bahawa pintu hadapan sekolah itu yang berwarna biru cair tertutup, namun tidaklah berkunci. Tiada satu bunyi pun yang kedengaran daripada dalam sekolah tersebut. Abdul Karim pun perlahan-lahan menolak daun pintu tersebut sambil melangkahkan kakinya ke dalam.

Bamm! Abdul Karim tercampak ke dinding kiri. Kepalanya seperti dihenyak dengan sesuatu yang keras. Dia jatuh terjelepuk di lantai sekolah yang tidak beralas itu. Sakitnya badan kecil itu tidak terperi. Terasa hangat di dahi serta di bibirnya. Air matanya berjuraian jatuh, namun tiada esak yang mampu keluar lagi. Tiada kelibat Hadi kelihatan di matanya yang berpinar-pinar. Dia cuba mengelip-ngelipkan mata, namun ada cecair merah yang hangat dan likat yang mengalir dari ubun-ubun masuk ke mata kirinya. Bibirnya terketar-ketar tanpa sebarang kata. Kemudian terasa kakinya dipijak oleh satu sepatu yang keras, seperti mahu melumatkan betisnya yang kurus. Terasa jolokan sebatang besi hangat yang besar dan berbau terbakar di pipinya diikuti dengan bunyi besi ditarik-klik! Sejurus matanya menangkap pemandangan yang menakutkan. Cikgu Salma sedang menangis, tudungnya terbuka, mulutnya disumbat, pergelangan tangannya diikat dan dia sedang berlutut sambil kepalanya diacukan muncung raifal yang berkilat oleh seorang lelaki berpakaian tentera. Di lengan lelaki itu terdapat lilitan kain putih yang tertera bintang segi enam berwarna biru. Abdul Karim kenal benar tanda itu. Syaitan!

Cerpen: Lamunan Ramadan


Oleh Mohd Fadzil Yusoff

2010/08/29

"AHLAN wasahlan ya Ramadan!".

Dia memangkin penuh harapan pada tiap baris doa yang diujarkan. Dalam sedar, dia sering tersilap dari jalan yang tenang, kemudian segera berpatah balik apabila teringat. Ingatan itu mustahak.

Lewat relung waktu, Zikri larut dalam arus kesibukan kerjaya. Jarang sekali untuk berehat dari semua desakan jadual rutin, yang kian dirasakan menyeksa. Kes-kes dan fail-fail profil perbicaraan yang menempel di kepala, memandunya lebih waspada menetapkan gerak tindakan. Esok, di mana lokasi kamar bicara yang dihadirinya ?. Vakum. Namun, tiap prosedur mesti diturutkan setepatnya. Banyak kes klien yang tercabang sana sini harus diketengahkan. Menyusup keluar dari putaran kesibukan pada masa ini, bagi meraih masa istirahat, masih belum nampak dorongan dan ruangnya. Bundar ralat inilah yang sedikit berbekas di lohong hati kecilnya, membuatnya membebel sendiri,

“Apa jenis kerja yang tidak mengenal hari dan rumah, seminimumnya untuk rehat tanpa mengira lelah atau sepenat ini.” Bukan tanda penyesalan, tapi sebetulnya sebahagian daripadanya.

Memang usia semudanya, juga angkatan rakan lain dalam bidang guaman ini, rata-ratanya, membocah sana sini. Segala keruwatan yang menyinggung pada ketika tertentu, harus disimpan dahulu. Ditampung pula dengan kata-kata rangsang pegangan seorang profesional, ‘Perkhidmatan adalah terbaik – adalah yang kualiti. Itu jaminan kami’.

Pongah pendirian yang meluru lalu membersit, mengatakan; demi masa hadapan, inilah masanya untuk membayar semua hutang-piutang masa belajar. Nanar, lalu dia menyedar, pendirian semacam itu terlalu dangkal untuk menyanggah jurus falsafah insan yang tinggi karamahnya; iaitu semua manusia seharusnya menikmati rasa tenang, harmoni dan gembira melalui kehidupannya yang sementara ini. Dunia bukan pencanang kesenangan untuk segala-galanya dan selama-lamanya. Apa yang dicari bukan dapat dihantar untuk kehidupan selepas mati, kecuali dengan amal kebaikan yang dikerjakan. Kehidupan yang sedang menunggu adalah alam akhirat. Ia mempertanyakan ke mana dirimu dilorongkan? Waktumu yang 24 jam sehari itu, apa yang kaukerjakan? Wang dan harta yang dikumpulkan itu ke mana dilaburkan ? Usia yang muda dan waktu ketika segar-bugar, di mana doronganmu untuk menaburkan bakti dan amal kebaikan?. Semua itu dihitungkan semula. Zikri nyaris terlupa .…

Antara harapan dalam tiap baris doa itu, dia mengharapkan Ramadan yang mendatang sempat menyapanya dan mengucapkan selamat datang. Alhamdulillah, tercapai. Ramadan yang difahaminya, persis pesta cinta daripada hamba-Nya kepada Allah. Cinta serta taa’bud yang menyengat isi hatinya untuk lebih bertakwa kepada-Nya. Ia merenjat dirinya untuk taqarrub lewat imannya yang mudah sangat berbolak-balik mengikut penataran situasi. Malah dengan datangnya Ramadan, seperti selalu dia kembali merapatkan pintu-pintu cubaan, untuk menyendirikan muhasabah diri dalam kamar hatinya. Di sana dia menghancurkan pagan cintanya yang deras menghanyut ke lautan material, ke istana keindahan duniawi, ke lahar ego diri yang mengocak nafsu senantiasa. Semua itu harus dikejapkan dengan satu revolusi imaniah yang jitu yang dibebat dengan ibadah dan ilmu yang kian menajam. Supaya jalan itu betul melurus dan berdaya untuk beristiqomah.
Rohnya seakan menari girang apabila mengetahui kalendar yang menunjukkan tarikh Hijri yang makin merapati Ramadan. Zikri menemui Ramadan lagi. Alhamdulillah. Waktu teramat pantas meralitkannya daripada semua aktiviti duniawi. Dia bersyukur dalam syahdu yang berbaur lelah. Bagaimana persiapan diri untuk Ramadan kali ini. Dia belum pasti. Masih sendirian. Belum banyak perkembangan soal rumah tangga? Bocah sahaja untuk memikirkannya. Mengapa? Muizzah masih memberikan jawapan. Dia fikir, jodoh itu ketetapan-Nya. Tidak akan ke mana gunung dikejar. Cuma kerana kesibukan selalu menyebabkan kemesraan terkadang berjarak. Ada hikmah mungkin.

Petang itu dia mengemas rumah setelah dua bulan berada dalam kekalutan.
Nostalgia mengubati ruang separa sedarnya. Dia menemukan dirinya, lebih sepuluh tahun yang lampau. Dia tersenyum menatap sekeping gambar lama. Mungkin ada gambar-gambar lain untuk ingatan? Ya, bersama teman-teman yang sekarang ini entah di mana. Putus hubungan. Dia sendiri menyesal atas ketidakperihatinannya dengan perkembangan teman-teman lamanya. Sekeping gambar yang lain, ada menunjukkan kelas Empat Thanawi yang diambil bersama ustaz-ustaz veteran. Salah seorang wajah yang cukup mengesankan, sehingga pandangan itu tertumpu pada seorang lelaki yang duduk berada di tengah-tengah barisan pertama – di situlah dia makin yakin, bahawa Ustazlah yang paling banyak memberikannya peluang dan dorongan untuk berjaya ke tahap hari ini.

Ramadan itu kenangan yang kejap hadir dan sekejap hilang. Suatu penziarahan diri ke suatu batas waktu yang memiliki tanda, seolah membunyikan loceng, barangkali seolah menyatakan ulang tahun untuk memperingati seseorang yang teristimewa. Kembali ke pangkuan pengalaman, tidak sepenuh untuk berlangsung kembali seperti mana waktu asal. Dia percaya, walau telah lama memori indah itu berlalu, sesekali ia kembali pada takah putarannya secara perlahan.

Gemulah Ustaz membayang antara terang dan kabur. Seolah-olah gemulah Ustaz sedang berbicara dengannya, masih mahu menuturkan pesan dan nasihat. Kini, dia terasa amat kehilangan sesuatu yang amat berharga buat dirinya iaitu pesan Ustaz yang sentiasa memugar damirnya. Dia rindukan nasihat Ustaz yang selalunya mendakap langsung ke kalbunya. Barangkali keikhlasan yang menyerlah pada tiap nasihatnya, membuatkan dia amat menghargai malah masih segar dalam ingatannya pada butir-butir nasihat Ustaz, malah menghargai tiap kebaikan Ustaz kepadanya.

Dia sedang meneropong jauh ke sudut sepi itu. Suatu gambaran yang jelas menayangkan dirinya kembali, usia yang masih hijau dan serba-serbi ketaktahuan.
Bersekolah asrama agama rakyat, tentunya meruangkan masa untuk berdikari, membentuk diri dengan bimbingan Ustaz. Entah mengapa, dia membahasakan dirinya terlalu kosong dan mengaku lemah untuk menguasai itu dan ini. Banyak pelajaran yang sukar, terpaksa dicicipnya perlahan-lahan. Kesabaran memudahkan perjalanan pencarian ilmu, begitulah kata Ustaz selalu. “Tanpa kesabaran, semua yang sulit akan bertambah sulit. Apatah lagi perkara yang mudah.”

Banyak perkara yang menguatkan peribadinya lewat saranan Ustaz yang halus pengamatannya itu. Di bulan tarbiah ini terutamanya, ingatan kepada gemulah bergetar kuat. Dia tidak mungkin lupa dengan waktu berbuka puasa, makan setalam dengan Ustaz beberapa kali. Suatu yang dipelajarinya bahawa bagaimana caranya untuk mendekati dengan Allah adalah dengan menahan nafsu makan ketika berbuka. Mengerjakan solat Maghrib pada awal waktu adalah aula daripada melengah-lengahkannya, hanya kerana kekenyangan ketika berbuka.

Pernah juga Ustaz menegurnya ketika melaungkan azan, qamat dan mengimamkan solat berjemaah. Katanya, seseorang itu tidak seharusnya tergesa-gesa untuk melakukan ibadah, kata Ustaz. “Ia boleh menjejaskan kesempurnaannya. Bukankah ibadah ini suatu cara membalas budi kepada Rabb”. Dia merasakan teguran Ustaz itu tertuju kepada dirinya, yang berlaku agak selalu dan spontan, membekaskan rasa bersalah kepada diri.

Ustaz pernah menegurnya secara peribadi ketika dia menunaikan solat Asar, ketika itu Ustaz menganggap solat Zikri tidak sempurna dengan empat rakaat apabila memasuki saf, lalu mengangkat takbir ketika iktidal. Ustaz bangun menerangkan sesuatu selepas solat Asar di hadapan jemaah, berkenaan beberapa kesilapan yang harus difahami bagi memastikan sahnya solat yang didirikan.

“Tentu kamu tidak perasan, tapi itulah kesilapan yang ramai orang lakukan. Nanti jangan lakukan sekali lagi. Belajarlah daripada kesilapan kita,” terang Ustaz selepas penjelasannya yang agak panjang lebar.

Penjelasan Ustaz kadang-kadang sulit difahami, kerana perkara-perkara hukum ibadat yang diterangkannya, berpecah kepada masalah-masalah yang lain. Tidak lain, ia untuk memudahkan dan menambah pengetahuan pelajar tentang masalah yang timbul dan yang seumpamanya. Paling manis bagi Zikri, tatkala mengenangkan wajah gemulah Ustaz adalah ketika bersama Ustaz bertadarus dalam bulan Ramadan bersama-sama dengan ahli jemaah masjid kampung. Masjid Al-Mansur itu luar biasa sambutannya terhadap Ramadan kerana tadarus al-Qurannya dilakukan pada lewat malam iaitu jam 10.00 malam. Kerana Ustaz telah memilih beberapa wakil daripada muridnya untuk turut sama bertadarus dan Zikri juga tidak menyangka dirinya dipilih. Kala itu semacam ada konflik diri yang timbul. Permintaan Ustaz ini penting malah dinantikan ramai murid lain, tetapi mengapa dirinya? Zikri mengakui bahawa dirinya bukanlah yang terbaik untuk bertadarus dalam halaqah jemaah masjid, yang terdirikan orang-orang lama.

Timbul rasa bimbang kerana memandangkan bacaan al-Qurannya agak kurang baik, jika dibandingkan dengan Nasir yang memang mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya, seorang ustaz yang memang mengajar ilmu tajwid. Ditambah lagi, ‘kelas persendirian’ sesudah Subuh dengan Wak Mansor memang menunjukkan terlalu banyak kesilapan bacaan dilakukannya, dan hampir setiap pagi di bawah tunjuk ajar Wak Mansor, dia lemah segi tajwid malah bacaan.

Pada malam awal Ramadan selepas usai Tarawih, Zikri akan naik ke asrama seperti biasa. Sementara menunggu masa tadarus di masjid bersama-sama orang kampung, dia merehatkan diri sebentar dan berbicara dengan teman-teman. Pada awalnya, dia sering terlewat ke masjid. Rupa-rupanya sudah ramai yang menunggu. Sebelum bermulanya tadarus yang, biasa usai pada 12.00 malam itu, Ustaz akan memilih pasangan bertadarus. Dimulakan dengan sedikit bacaan ayat-ayat surah lazim, sebelum membaca senarai nama yang panjang yang dihantar waris mereka yang berhajat.

Entah mengapa malam itu, Zikri terasa seperti kurang selesa pada dirinya. Terlewat sekali lagi ke masjid, malahan dipanggil pula oleh abang Hafiz, menyatakan segera ke masjid kerana Ustaz panggil. Seolah-olah dalam serba-serbi kekalutan, dia berwuduk dan langsung masuk ke dalam masjid tanpa menunaikan tahiyyatul masjid. Barangkali dia tersilap melihat jam dinding. Zikri berdebar seketika memandang Ustaz sedang membacakan senarai nama-nama sebagaimana malam-malam Ramadan yang lalu.

Dia terkulat-kulat mengenyihkan matanya, ada rasa sejemput malu di hulu hatinya. Serasa beberapa pandangan luar menujah ke dirinya. Dia cuba mengabaikan sebarang gangguan dalam dirinya. Dia mengambil al-Quran yang berdekatan di raknya, lalu duduk bersila dekat Wak Naim. Pasangan tadarus Zikri ialah Wak Naim. Tapi hari ini seusai Ustaz membaca nama-nama tersebut, sebagai tanda bermulanya tadarus, Ustaz memanggil Zikri mendekatinya. Sambil berkata perlahan kepada Najib, lantas Najib beralih ke tempat Wak Naim. Manakala Zikri digamit Ustaz supaya duduk di sebelahnya. Yang lain telah memulakan menyelak muka surat dan bacaan.

Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Wajah Ustaz sedikit mencuka. Maklum sahaja, Ustaz turut menanggung malu terhadap para jemaah masjid kerana tiap kesalahan yang dilakukan muridnya.

“Mengapa lewat turun ke mari?”. Zikri diam dan belum sempat memberi jawapan, Ustaz memintanya membuka surah al-Kahfi. Setiap lazimnya, bagi tiap pasangan akan membaca sekurang-kurang dua juzuk. Semasa bertadarus masing-masing bertanggungjawab membetulkan bacaan pasangan, tajwid malah makhrajnya juga.

Entah berapa kali Zikri melakukan kesilapan bacaan pada awal surah itu. Ustaz sering menegurnya, namun kesilapan masih berlaku malah berulangan. Ustaz kadang mengambil alih pula bacaan. Lalu meminta Zikri membaca muka surat seterusnya. Namun, akhirnya Zikri diminta untuk membasuh muka. “Kamu mengantuk agaknya,” kata Ustaz.

Kesilapan masih berlaku, lantaran itu Ustaz meminta Zikri menyemak beberapa bacaan Ustaz beberapa muka surat sebelum menyuruhnya balik ke asrama. Kenangan itu berharga buat dirinya. Sedikit membuat dirinya tersenyum selain bercampur juga rasa kesal. Keesokannya, abang Yazid bertanya dirinya, “Kenapa cepat sangat balik asrama. Kesian Ustaz baca al-Quran, sendirian”. Zikri menyatakan, itu yang Ustaz arahkan kerana Ustaz rasa saya mengantuk. Malam berikutnya, Zikri berhati-hati untuk tidak lewat dan melakukan banyak kesilapan di masjid. Zikri tahu, cara itulah dia dididik untuk mengorbankan nafsu beristirehat dan tidur di atas tilam yang menyelesakan untuk meraih malam-malam berkat di sepanjang Ramadan.

PROFIL

MOHD Fadzil Yusof, penulis bebas yang menulis dalam genre puisi, rencana dan cerpen. Karya penulis pernah disiarkan dalam Berita Harian, Mingguan Wasilah, Siasah, Dewan Budaya dan Tunas Cipta. Pernah mengikuti Perkampungan Penulis Muda DBP Wilayah Utara pada Disember 2007 bertempat di Lenggong, Perak. Lulusan Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Arab dan Kesusasteraan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Pendidikan, Institut Pendidikan Sultan Abdul Halim, Sg Petani, kini bertugas di Sk ST Anthony, Teluk Intan, Perak.

Sanggar Kreatif: Ramadan ini, kau pulanglah!


Oleh MD Nizar Parman

2010/08/22

KALAU aku katakan bahawa aku berputus asa untuk menjejakimu, jawapan yang tepat sebenarnya tidak. Tiba-tiba kaumenghilang. Tentu sahaja aku yang mewakili adik-adikku menjadi kebingungan. Masing-masing menyalahkan aku. Kaufikir, selama mana kupingku bisa betah mendengar rungutan dan sindiran mereka?

Tanpa sebarang pesan atau nota kautinggalkan, alih-alih sahaja kaulesap. Tentu sahaja tindakanmu itu mengundang kegelisahan. Sebaik sahaja kukhabarkan tentang kehilanganmu, adik-adikku yang lain bergegas ke rumahku – menyoalku dengan pertanyaan bertalu-talu seperti peluru. Aku seperti seorang penjenayah di kandang pesalah.
“Macam mana boleh jadi begini, along? Apa along dah buat?” tukas angah. Suaminya juga turut menempelak saya. Anak-anaknya juga mencebikkan bibir apabila memandang saya.
“Manalah Along tahu? Rasa-rasanya along dan kak long kamu tidak ada pun menggores perasaannya,” hujahku membela diri. Apa lagi yang dapat aku lakukan? “Di rumah ini, tidak ada yang kurangnya. Makan dan minumnya terjaga. Orang gaji abang long sentiasa ada.”

Uda yang baharu sampai dengan isterinya juga turut melemparkan dakwaan yang sama. Katanya, aku tidak pandai mengambil hatimu. Lantas, apa lagi yang harus aku lakukan jika terus-terusan diasak begitu?

Usu, anak lelaki kesayanganmu yang masih mentah itu pun sudah pandai menyalahkan aku – menyindir-nyindir aku dengan kata-kata yang menikam gegendang telingaku. Aku itulah. Aku inilah. Aku lupa daratanlah. Aku tidak mengenang budilah. Kaufikir aku betah?

Aku sedar, tindakanmu itu mungkin berpunca daripada keadaan hidupku sekarang. Tetapi, kekayaan yang aku miliki ini bukan suatu dosa. Dan, aku percaya kemewahan hidup yang sedang kukecapi sekarang kerana doamu juga. Aku yakin tentang itu.
Aku masih ingat kata-katamu setelah beberapa hari kautinggal bersama-samaku – di rumah agam ini. Aku dapat menebak maksud kata-katamu itu.

“Fahmi, rumah kau ini seperti belantara. Sunyi. Bagaimanakah kau dapat hidup di rumah seperti ini? Tak ubah seperti penjara batu.”

Dan, aku hanya diam. Isteriku, Rohana juga diam. Anak-anakku juga diam. Ketahuilah, aku paling tidak suka membantah kata-katamu – hal itu akan berlarut-larutan sehingga kita bermasam muka.

“Maksudnya?” Aku bertanya begitu sekadar ingin tahu apa yang sebenarnya membadai jiwamu dan yang tersembunyi dalam garizahmu.

“Di mana-mana pun aku berada, kau tahu apa yang aku rasa?” Sepasang matamu yang sayu memandang tepat ke arahku, kemudian memandang isteriku dan anak-anakku; satu-persatu.

Kami hanya diam, menanti muntahan kata yang seterusnya dari mulutmu.
“Aku sunyi. Seawal pagi kamu berdua sudah meninggalkan rumah ini. Tidak lama selepas itu, anak-anakmu pula. Lantas, apa guna mulutku ini? Berbicara dengan dinding? Dengan tingkap? Dengan pintu?” ujarmu. “Dan, kau pulang setelah lewat malam. Begitu juga dengan isterimu. Apakah duniamu hanya di pejabat dan di kamar tidur?”

Emosi.

Aku mengerti benar akan perasaanmu. Tetapi itulah realiti kehidupan hari ini yang mesti kaufahami. Bukankah kau pernah berpesan dahulu, gunakanlah ilmu dan kepintaran yang ada untuk mencari kekayaan dan kesenangan hidup? Hanya dengan cara itu kita akan dapat memanfaatkan hidup ini untuk membantu ahli keluarga dan insan yang kurang bernasib baik. Masakan kau sudah lupa?

Tatkala angah ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang kedoktoran dahulu, bukankah ongkosku yang membiayainya tanpa mengharapkan sesen pun bantuan daripada kerajaan? Semasa uda ingin menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Jerman dahulu, bukankah sebahagian wangku juga yang digunakannya di sana? Dan, kini ketika usu sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang undang-undang di sini, bukankah wangku juga yang mengalir terus kepadanya?

Aku hanya ingin menjadi anak yang baik; dapat membantu adik-adikku dan membahagiakanmu yang telah bersusah payah membanting tulang empat kerat untuk menyara pengajianku dahulu.

Aku tidak pernah lupa akan tanah kita di hujung kampung yang terpaksa kaujual untuk membiayai pengajianku di luar negara dahulu. Kerana niatmu itu, bukankah kita pernah bertegang leher kerana aku tidak mahu tanah itu digadaikan semata-mata untuk membiayai pengajianku.

“Keturunan aku, tak ada yang keras kepala macam kau ni! Kaufikir senang untuk dapat peluang belajar ke luar negara? Kau jangan bagi aku malu, Fahmi. Biar aku bergolok bergadai, asalkan kau jadi pandai!” tegasmu.
“Saya tak mahu hal ini akan jadi ungkitan kelak,” ujarku. “Nanti apa orang kampung ni cakap? Malulah!”

“Habis, kaufikir kau tak pergi belajar ke luar negara tu aku tak malu? Kau nak orang kampung ni mengumpat aku? Mengata aku? Miskin sangatkah aku ni? Tanah tu pun bukan boleh dibawa mati!” Bentakmu sehingga tersembul urat di sebalik kulit leher kedutmu. Marah yang bukan main-main.

Aku tetap membantah dan berkeras sehingga peperangan mulut kita sore itu menjadi tontonan tetangga kita. Akhirnya aku mengalah apabila golok kesayanganmu yang berkilau apabila terkena sinaran mentari betul-betul berada di leherku.

“Aku sanggup melakukannya kerana aku tak mahu kau menyesal kemudian hari,” bisikmu ke telingaku dan hembusan hangat nafasmu itu masih terasa hangatnya sehingga kini.

Bukankah tanah yang tergadai itu telah kutebus kembali walaupun aku terpaksa membayarnya hampir lima kali ganda harga asalnya? Tanah itu telah kuhadiahkan kepadamu sebagai tanda pengorbananmu yang tidak ternilai itu? Lantaran apakah gerangan yang secara tiba-tiba membuatkan kaumenjeruk rasa begini?

Bingung. Ya, perasaan ini benar-benar mengaruk dalam jiwaku sejak kaumeninggalkan rumah ini secara tiba-tiba. Bukan sahaja aku, malah isteri dan anak-anakku juga bingung. Dan, kerana bingung itulah aku dan Rohana sudah beberapa kali bertengkar. Aku menyalahkan dia. Dia menyalahkan aku. Saling menyalahkan!

Ketahuilah, aku tidak pernah pun berkecil hati dengan kata-katamu yang berbaur sindiran. Aku hanya membungkam sahaja. Mengiakan tidak; membantah jauh sekali.
“Mengapakah orang yang punya pangkat dan kedudukan suka buat rumah di tempat yang jauh dan sunyi begini? Angah pun sama, kawasan kediamannya perlu melalui kawalan keselamatan yang ketat. Uda begitu juga, tinggal di pangsapuri yang tidak boleh dimasuki orang sembarangan. Nanti usu pun begitu juga. Agaknya .…”

“Bukankah kediaman seperti ini lebih aman dan tenang?” ujarku lembut.
“Aman? Tenang? Kau tahu sunyi? Mengapakah ke mana-mana sahaja aku pergi, keadaannya sama sahaja? Sunyi,” katamu meluahkan apa yang membonjol di hatimu.
“Sunyi itu lebih baik daripada sehari suntuk mendengar bunyi bingit kenderaan di ibu kota,” balasku.

Kau hanya menjuihkan bibir dan meninggalkanku termanggu-manggu.
Keliru. Keliru yang akhirnya menimbulkan kecelaruan. Kami berempat berusaha untuk menjejakimu, tetapi usaha itu hanya membuahkan hampa. Kukira kaupulang ke kampung – hampa apabila jiran-jiran memberitahu mereka langsung tidak melihat batang hidungmu! Setelah beberapa hari, akhirnya kami membuat keputusan untuk melaporkannya kepada pihak polis. Biar mereka pula yang menjejakimu.

Dari hari ke hari; minggu ke minggu; bulan ke bulan masih tiada khabar berita tentang dirimu. Kau tahu, angin resah yang sering menampar pipiku akhirnya menjadi ribut kencang yang terus membelasah tubuhku – juga hidupku. Di mana aku harus mencarimu?

Ramadan. Beberapa hari lagi bulan yang menjanjikan ganjaran yang sebanyak-banyaknya daripada Allah bakal menjelma. Entah. Mengapa secara tiba-tiba hatiku ini dihambat perasaan sayu yang tidak tertahan lagi.

Segala detik yang pernah kulalui ketika zaman kanak-kanak kembali menerpa dalam ingatanku. Kita sama-sama berjalan kaki meredah pekat malam hanya menggunakan jamung untuk bersolat Tarawih dan pulang agak lewat selepas kau selesai bertadarus. Selepas bersahur, kita ke surau membelah kesunyian pagi untuk bersolat Subuh. Dan kau akan memeluk tubuhku yang kesejukan sepanjang perjalanan pada subuh yang mendinginkan itu.

Ah, mengapa kali ini tiba-tiba sahaja semua itu menjelma? Aku terus-terusan memikirkan jawapannya. Lantas terlintas di fikiranku, inikah yang kau mahu? Jika benar begitu, alangkah berdosanya aku.

Perkhabaran yang kuterima itu ibarat halilintar yang memanah tubuhku. Ya, Allah! Mengapakah sejauh itu kaupergi? Apa yang kaucari? Semua ini takdir Allah. Syuhana, anak saudaramu yang bekerja sebagai jururawat di sebuah rumah sakit di sana yang merawatmu kerana kau ditemui pengsan di tanah perkuburan. Dia memaklumkan kepadaku dua hari yang lalu.

Pasti kau akan berasa terkejut apabila melihatku menyusulmu hingga ke sini. Matamu masih tertutup rapat, hanya dadamu yang masih berombak. Sejak pagi tadi, entah berapa kali kubelai-belai rambutmu yang kian memutih. Air mataku? Usah diceritakan. Sayu. Pilu. Entah.

Andai kau sedar, akan kubisikkan sendiri ke telingamu bahawa Ramadan ini aku akan menemani di kampung sehingga menjelangnya Syawal. Aku akan membahagiakanmu sebagaimana engkau pernah membahagiaku semasa aku kanak-kanak dahulu. Itu janjiku.

Akhirnya kaubuka juga matamu. Dan air jernih yang mengalir di cerun pipi kedutmu itu kuseka dengan hujung ibu jariku. Lalu aku mendakap tubuhmu semahu-mahunya. Syukur ya, Allah! Aku dapat merasakan jari-jemarimu mengusap-usap kepalaku. Kemudian kaudongakkan mukaku agar memandang tepat wajahmu.

“Aku sunyi, Fahmi. Aku ingin menemani ibumu di sini. Kebahagiaan dan kegembiraanku ada di sini … di bumi bersemadinya Rasulullah,” ujarmu dengan suara terketar-ketar.

Lalu kudekatkan bibirku ke telingamu lantas berbisik, “Ayah, seharusnya kaubelajar untuk merelakan dan melepaskan. Ramadan ini, kau pulanglah!”

Info
MD Nizar Parman menekuni genre cerpen dan puisi. Karyanya mendapat tempat dalam akhbar dan majalah arus perdana. Johan Sayembara Sastera Hari Guru Perak 1995 Kategori cerpen, Pemenang Hadiah Utama Sayembara Cerpen Guru DBP-BPG 1998 dan Pemenang Hadiah Sagu Hati Sayembara Cerpen Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007. Kini berkhidmat sebagai guru Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, Seri Lalang, Kluang, Johor.

Cerpen: Risalah

Oleh Aidil Khalid

2010/08/08

FAKULTI yang pada selalu tenang-tenang sahaja itu, pagi ini serasa seolah-olah telah bertukar menjadi sebuah lokasi siasatan jenayah. Lima buah kereta polis memarkir di hadapan pejabat dekan dan sebuah van hitam pula menyusul kemudiannya. Dari perutnya keluar lima orang anggota yang lengkap berpakaian seragam, salah seorangnya dengan kamera tersangkut di leher. Seorang yang lain pula siap dengan fail dan pen untuk mencatat apa-apa sahaja penemuan. Yang lain-lain sekadar mengiringi dan setiap kali mereka melangkah segak, derap sepatunya berbunyi kuat, serta pistol yang disisip di pinggang pula bergoyangan mengikut rentaknya. Secara keseluruhan, paling tidak, seramai kira-kira 20 orang anggota polis kelihatan di perkarangan fakulti itu.

“Kami telah mendapat maklumat,” kata salah seorang daripada mereka kepada tuan dekan, “bahawa risalah-risalah yang boleh membahayakan keselamatan negara ada diedarkan di sekitar fakulti ini.”
Tuan dekan mendengar dengan teliti, tetapi tidak bersuara barang sepatah. “Kami telah diarahkan,” lanjut pegawai tersebut lagi, “untuk melakukan pemeriksaan mendalam terhadap hal ini bagi mencari siapakah yang bertanggung jawab melakukannya.”

Mendengar hal ini, tuan dekan segera bersuara: “Tuan ada waran?”

Anggota yang memegang fail dan pen segera menunduk mencatat tiga patah perkataan yang diucapkan oleh tuan dekan itu dengan sepenuh tekun seolah-olah apa yang dituturkan tersebut adalah wahyu dari langit yang amat berharga dan harus dirakam. Dahinya berkerut-kerut ketika menulis.

“Tidak,” jawab pegawai tersebut, “kami tidak ada waran.”
“Kalau begitu,” balas tuan dekan, “mohon maaf, saya tak boleh membenarkan tuan-tuan menggeledah atau mengganggu perjalanan pengajian. Kami di sini adalah sebuah institusi pendidikan, tempat berkumpulnya para ilmuwan bagi membincangkan perkara-perkara akademik. Institusi ini ada autonomi sendiri yang sepatutnya bebas daripada gangguan badan-badan luar, sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan.”

Pegawai tersebut memandang anggotanya yang sedang mencatat dengan tergopoh-gopoh setiap patah perkataan yang diungkapkan tuan dekan tersebut.
Kemudian pandangannya beralih pula kepada para anggota lain, seolah-olah meminta pandangan akan tindakan yang harus dilakukannya. Anggota yang menyangkutkan kamera di lehernya itu pula segera mengambil posisi bagi merakamkan gambar-gambar tuan dekan. Flash kamera bertubi-tubi memancar.

“Begini tuan dekan,” kata pegawai polis itu dengan nada suara yang merendah tetapi tegas, “kami cuma ingin menyiasat dan mencari orang yang bertanggung jawab. Jadi sekiranya tuan tidak bersalah, tidak ada sebab untuk tuan berasa takut.”

“Saya faham,” ujar tuan dekan kembali, “dan memang pun tidak ada apa-apa yang perlu saya takutkan. Tapi dari sudut undang-undang, tuan-tuan memang tidak ada kuasa untuk melakukan geledahan sekiranya tidak ada waran.”

Diam. Para pegawai polis semua membungkam. Yang kedengaran hanyalah tenyeh pen pada kertas yang sedang dicatat oleh salah seorang anggota tersebut dengan tergesa-gesa.

“Begini saja,” kata tuan dekan kemudiannya, “saya cadangkan tuan-tuan balik semula ke balai. Dan kemudian mohon waran geledah dari tuan majistret di mahkamah. Setelah itu barulah kembali semula ke sini dan saya akan dengan senang hati membenarkan tuan-tuan sekalian melakukan siasatan.”

Maka para pegawai dan anggota polis yang ramai itu pun tiada pilihan lain lagi. Mereka kembali ke dalam kereta masing-masing dan segera beredar keluar dari fakulti itu. Melihat gerombolan kereta beredar dalam satu barisan panjang, seperti melihat konvoi yang gah pula. Dan entah kerana merasa panas hati tidak dibenarkan menggeledah atau memang sekadar suka-suka, siren telah dibunyikan oleh keenam-enam kenderaan tersebut. Maka bergemalah ngongoian nyaring ke setiap ceruk fakulti.

Tuan dekan tidak duduk diam setelah itu. Melalui caranya yang tersendiri, dia telah menyoal siasat hal tersebut. Dia bertanya kepada para pensyarah, kalau-kalau mereka tahu apa-apa sahaja mengenai hal risalah yang disebutkan itu. Tetapi kebanyakan mereka hanya menggeleng-geleng kepala. Akhirnya, memandangkan tidak ada cara lain lagi untuk mengambil tahu, tuan dekan telah mengarahkan agar semua individu – dari sebesar-besar profesor ke sekecil-kecil mahasiswa tahun satu, dan termasuk juga para kerani pejabat, pustakawan, tukang sapu sampah, pokok pangkalnya semua sekali – untuk berhimpun di padang di belakang fakulti. Tuan dekan mengambil langkah ini kerana dia tahu bahawa pihak polis akan kembali semula ke fakulti ini dalam jangka waktu yang tidak lama.
Justeru hal ini bukanlah hal kecil. Ia hal besar, yang, seperti menurut pegawai polis itu, melibatkan keselamatan negara secara keseluruhan.

Risalah itu digambarkan sebagai mengandungi unsur-unsur hasutan, mempunyai kecenderungan mengajak kepada membenci kerajaan sedia ada, serta juga berkebarangkalian ada kaitan dengan rancangan keganasan. Begitulah yang dikatakan oleh pihak polis tadi.

Maka terdetiklah pula soalan-soalan merambang dalam hati tuan dekan setelah mendengar penerangan itu, antara lain, seperti: Perkara yang bagaimanakah yang boleh dikatakan sebagai membahayakan keselamatan negara itu; bagaimanakah pula sebaran-sebaran risalah boleh dikatakan menggugat dan kalau pun betul menggugat, siapakah yang tergugat itu; adakah risalah-risalah tersebut ada kait-maitnya dengan hal mutakhir ini yang sibuk diperkatakan dalam media-media, yakni antara fahaman wahabi dan pengganas itu? Kesemua soalan-soalan itu membuatkan tuan dekan mengeluh.

Duhai, fikirnya, kalaupun benarlah risalah itu ada kaitan dengan hal-hal tersebut, apakah sebuah fakulti yang menjadi pusat para ilmuwan berdebat dan berfalsafah tidak boleh diberi kebebasan untuk mengupas isu-isu ini biar betapa pun sensitif ia?

Tuan dekan tahu, hal ini sekiranya tidak diatasi segera, akan menjadi semakin sukar untuk dikawal. Para wartawan akan segera menghidu dan sekiranya hal itu berlaku, maka habislah nama fakulti ini, ia akan terpampang di dada-dada akhbar seluruh negara. Maka akan tersebarlah pula cerita tentang kononnya fakulti ini menjadi sarang pembiakan pengganas. Tuan dekan tidak mahu itu berlaku. Dia mesti menyekatnya.

Matahari terik mencacak tegak di atas kepala. Langit biru sebiru-birunya tanpa secalit awan. Mereka semua telah berkumpul di padang dengan penuh tanda tanya mendenyut-denyut di hati. Bahangnya semakin terasa. Tuan dekan dengan alat pembesar suara pun melangkah ke hadapan semua, lalu memulakan kata-katanya:

“Tuan-tuan yang dimuliakan sekalian,” suaranya dilantamkan sekuat yang boleh agar orang yang paling di belakang pun dapat mendengar, “berdirinya saya di sini adalah kerana fakulti kita telah mendapat musibah. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua untuk bersatu padu mencari penyelesaian.” Urat leher tuan dekan kelihatan meregang ketika berucap. Dia meneruskan dengan memperihalkan hal pagi tadi, serta memperingatkan bahawa sekiranya hal ini tidak dapat diselesaikan sendiri oleh mereka, ia akan menjadi isu nasional.

“Justeru siapa-siapa sahaja yang tahu mengenai hal penyebaran risalah ini,” begitu lanjutnya lagi, “silalah tampil dan berikan maklumatnya kepada pihak fakulti. Kita akan sama-sama cuba selesaikan dengan cara yang paling baik – dan kalau perlu, akan berbincang sendiri dengan pihak polis.”

Entah memang nasib tuan dekan yang baik, atau entah memang pelajar tersebut seikhlas hati ingin mengaku, seorang anak muda lingkungan awal dua puluhan telah tampil ke hadapan dengan segera. Anak muda itu kelihatan, dari sudut pandang para khalayak yang berhimpun di tengah-tengah terik panas itu, sedang bercakap-cakap sesuatu kepada tuan dekan. Butirannya tidak didengar oleh mereka semua. Dan setelah kira-kira lima minit, tuan dekan akhirnya memberikan pengumuman berikut: bahawa semua orang bolehlah bersurai, halnya telah selesai, dalangnya telah ditemui.

Seperti yang dijangkakan, besoknya, awal-awal pagi lagi segerombolan kereta polis masuk ke fakulti itu. Kali ini jumlahnya lebih besar daripada semalam, barangkali kerana memikirkan bahawa mereka memerlukan anggota yang ramai untuk menggeledah seluruh fakulti yang besar itu.

“Kami telah pun mendapat perintah mahkamah yang membenarkan fakulti ini digeledah,” begitu kata tuan pegawai polis dengan penuh yakin sembari mengunjukkan sekeping kertas waran.

Tuan dekan mengangguk.

“Jadi kami hendak mulakan menggeledah sekarang.”

Tuan dekan mengangguk lagi.

“Semua anggota-anggota ini,” kata pegawai polis itu sambil menunjukkan pula ke arah sejumlah kira-kira 40 orang anggotanya yang lengkap berseragam, “akan cuba untuk mencari risalah yang dimaksudkan itu dan kami akan cuba juga menyiasat siapakah individu yang bertanggungjawab menulisnya, mencetaknya dan menyebarkannya. Ia mungkin memakan masa yang sedikit lama. Tapi kami harap, sepanjang siasatan ini berjalan, tiada sesiapa yang dibenarkan keluar daripada perkarangan fakulti ini.”

Tuan dekan mengangguk dan kemudian akhirnya bersuara membalas:

“Tuan-tuan semua boleh menggeledah sebebasnya kalau mahu,” begitu katanya,
“tapi kalau hanya itulah sahaja maklumat yang tuan-tuan ingin tahu dan siasat, maka saya sebenarnya telah pun sedia ada jawapannya.”

Pegawai polis itu mengangkat kening, membundarkan mata. “Jadi tuan boleh berikan maklumat itu kepada kami?” soalnya kepada tuan dekan.
“Boleh, tapi dengan satu syarat.”

Pegawai polis itu kelihatannya seperti tidak senang berdiri. Tetapi dia bersuara juga bertanya akan syaratnya.

“Syaratnya,” kata tuan dekan, “ialah agar individu tersebut tidak ditangkap.”
Pegawai polis itu menghela nafas kuat-kuat – lebih mendekati dengusan – seolah-olah menyampaikan isyarat bahawa syarat yang dikenakan itu tidak munasabah. Tangkap atau tidak, itu hak mereka untuk menentukan, bukan hak tuan dekan.

“Tuan tahu,” kata pegawai polis itu, “bahawa tuan diwajibkan menurut undang-undang untuk mendedahkan segala maklumat yang bersangkut-paut dengan sesuatu jenayah. Hal ini termaktub di bawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah. Dan keengganan untuk memberikan kerja sama adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan yang jika sabit boleh dihukum sampai enam bulan penjara.”

“Saya tahu,” jawab tuan dekan ringkas sebelum menyambung lagi, “tapi saya juga tahu bahawa risalah yang disebarkan itu sama sekali tidak membahayakan keselamatan negara. Justeru tak ada sebab mengapa dia harus ditangkap.”
Pegawai polis itu mengerutkan dahi.

“Tapi itu bukan hak tuan untuk menentukan,” sampuk salah seorang anggota yang lain pula, yang sedari tadi berdiam, “itu hak kami untuk menentukan, setelah meneliti dan menyiasatnya, sama ada ia boleh membahayakan keselamatan negara atau tidak.”

Maka sesalinan risalah itu pun ditunjukkan kepada pihak polis. Lama pegawai itu membacanya dengan kening yang hampir bertaut dan wajah yang penuh mengerekot, seperti sedang meneliti atau memerah otak berfikir tentang entah apa. Kemudian, setelah barangkali hampir tujuh minit berlalu, dia akhirnya bersuara:

“Ayat ini amat mencurigakan,” katanya sebelum membaca petikan daripada kertas yang dipegangnya itu kuat-kuat: “Keputusan kerajaan sebagaimana lazimnya adalah tidak adil kerana suatu keadilan yang sebenar hanya wujud dalam khalifah yang sahih, yakni khilafah syariyyah yang dapat bertahan dalam jangka waktu yang amat singkat.”

Pegawai polis itu mengangkat wajah, kemudian berkata, “Ada nada yang seolah-olah mengajak untuk membenci kerajaan sedia ada dalam ayat ini serta niat hendak menggulingkannya agar digantikan dengan khilafah syariyyah. Jadi kami perlu tahu siapakah yang bertanggung jawab. Kami perlu soal siasat dia.”

“Muhammad Al-Fatih,” jawab tuan dekan, “namanya Muhammad Al-Fateh, pelajar tahun dua fakulti ini, dialah yang bertanggungjawab mengarang apa-apa yang tertulis pada risalah tersebut. Tapi saya juga perlu beri tahu bahawa petikan yang tuan baca tadi bukanlah karangan pelajar tersebut, sebaliknya dia hanya memetik tulisan Ibnu Khaldun dari Mukaddimah. Adakah itu yang tuan-tuan hendak namakan sebagai ajakan membenci kerajaan sedia ada?”

Diam sejemang. Hanya kedengaran teguk liur pegawai polis itu – halkumnya turun naik. Gerahamnya digigit keras – dua-dua tulang rahangnya nyata menyembul.
“Tapi bahagian ini juga ada nada yang boleh mengancam keselamatan negara,” kata pegawai polis itu sebelum membaca pula bahagian lain dari risalah tersebut:

“Memperkatakan rasuah menerbitkan masalah, apakah kita dapat berbicara tentang ideologi rasuah secara terbuka, kerana biasanya ideologi mempertahankan kepentingan kelas pemerintah dan menjadi sarana untuk mempertahankan dominasinya ....”

“Tuan,” bacaannya segera dipotong oleh tuan dekan, “saya telah pun bertanya sendiri kepada pelajar tersebut. Petikan yang tuan baca itu adalah petikan dari tulisan Profesor Syed Hussein Al-Attas. Saya tak nampak mengapa ia boleh membahayakan keselamatan negara. Adakah salah bagi seorang mahasiswa untuk menulis dari apa-apa yang telah dikajinya?

“Risalah ini disebarkan oleh pelajar tersebut bukan atas niat menghasut, sebaliknya ia adalah sebagai satu cara mempromosikan program kami di sini, yakni program Sudut Pidato. Ia diadakan setiap hari Rabu petang dan para pemidatonya terdiri daripada kalangan mahasiswa sendiri, sebagai satu cara merancakkan perdebatan intelektual. Dan kebetulan pelajar bernama Muhammad Al-Fateh itu akan menyampaikan pidatonya pada hari Rabu ini, yakni besok, berkaitan tajuk Memerangi Rasuah.

Justeru adakah salah baginya untuk menyebarkan risalah mengajak khalayak hadir – dan dalam risalah itu pula dipetik ungkapan-ungkapan daripada para ilmuwan besar – adakah itu satu kesalahan? Dan adakah ini yang dikatakan membahayakan keselamatan negara? Memanglah saya setuju sepenuhnya bahawa rasuah itu boleh mengancam keselamatan negara, tetapi apakah memperkatakan tentang bahaya rasuah serta mengutuk pemerintah yang mengamalkan rasuah juga boleh mengancam keselamatan negara?”

Sekali lagi, seluruh ceruk fakulti itu dibingiti oleh ngongoian siren kereta polis yang berbaris-baris keluar fakulti itu – di dalamnya, tentu sekali, diisi oleh para pegawai polis yang sedang memikir-mikir, laporan apakah yang harus mereka tuliskan kepada bos-bos mereka nanti.

INFO

AIDIL KHALID yang menulis dalam genre cerpen, sajak dan novel adalah graduan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM). Karyanya mendapat tempat dalam media cetak arus perdana selain turut menulis skrip drama radio untuk Klasik Nasional FM. Novel sulung pengarang yang kini bertugas di Tetuan Edlin Ghazaly & Associates ini diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing pada Julai 2008 dengan tajuk, Bila Nysrah Kata Tak Mahu. Novel keduanya pula, Dengan Tinta, disiarkan secara bersiri dalam akhbar Berita Minggu dari 6 September 2009 hingga 21 Februari 2010, sedang dalam proses penyusunan semula untuk diterbitkan dalam bentuk buku. Pengarang boleh dihubungi di aidilkhalid@gmail.com atau layari http://aidilkhalid.blogspot.com.

Cerpen: Tetamu Istimewa

Oleh Mohd Helmi Ahmad

2010/07/24

KATA Emak semenjak Adik pulang dari sekolah, dia sentiasa mengurungkan diri di dalam rumah, tidak mahu keluar bermain mahupun menghirup udara. Umurnya baru berusia lapan tahun, agak janggal bagi kanak-kanak yang seusianya tidak memanfaatkan waktu itu untuk bermain. Agak rugi kiranya dilepaskan begitu sahaja. Bukan senang untuk memperuntukkan waktu sebegitu. Masa tidak akan berpatah kembali. Apa yang ada harus diharungi. Begitulah perjalanan hidup.

Adik pulang dari sekolah. Pakaian seragam sekolah dibuka. Kasut dibiarkan terbengkalai di depan pintu. Stokin yang masam-masam itu diletakkan di atas meja kopi. Beg sekolah dicampakkan di atas kusyen. Emak yang sibuk memasak ketika itu tidak menghiraukan gelagat Adik. Adik terus mengurung diri di dalam bilik. Ada tetamu yang dibawa balik dari sekolah kata Emak. Tetamu itu tidak dipelawa untuk datang, tetapi mahu juga mengikut Adik pulang.

Adik tidak kenal akan tetamu itu, bercakap pun tidak, inikan pulak untuk bertanya khabar. Apa yang menghairankan Emak kenal akan tetamu yang tidak diundang itu. Seolah-olah sudah serasi dengan Emak, walaupun sebelum ini tidak pernah berkunjung ke rumah kami. Tetapi kata Emak tetamu yang ini lain sedikit sikapnya, dia tidak meminta makan dan minum. Dia hanya minta untuk tumpang tinggal sahaja di rumah kami. Dia mahu berlindung dari hujan panas. Dia mahu tinggal bersama Adik. Dia mahu berkawan bersama Adik. Dan juga dia mahu bermain bersama Adik. Tetapi Adik tidak mahu berkawan dengannya. Adik tidak mahu bermain dengannya. Malahan Adik tidak mahu berkongsi bilik dengannya. Adik rimas. Setiap kali tetamu itu menyondol-nyondol ke tubuhnya Adik, dia akan rasa rimas, gatal merenyam dan tidak selesa. Setiap kali itu juga Adik akan menangis. Meronta-ronta menyeru tetamu itu pulang saja ke rumahnya. Tetapi tetamu itu masih tegar untuk tidak mahu pulang.

Seketika cuma Adik, tenang. Tetamu itu tidak mengganggunya. Namun semenjak itulah Adik tidak lagi ke sekolah. Kawan-kawannya yang lain tidak mahu berkawan dengannya lagi. Dikatakan Adik seorang yang sombong. Tidak mahu berkawan dengan mereka. Adik hanya berkawan dengan tetamu barunya itu saja. Adik pentingkan diri sendiri. Adik hanya tahu mengurung diri di dalam rumah. Dah macam anak dara. Sementelahan itulah adik hilang banyak kawan. Pelajarannya juga terganggu.

Terang-terang tangan Emak sudah menyediakan sarapan. Nasi lemak bungkus bersama teh kepada kami. Adik sudah pun bangun. Tetamunya juga begitu. Emak membuka bungkusan nasi lemak itu. Kemudian Emak menyuapkan nasi ke mulut Adik. Adik nganga lalu menelan setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulutnya. Kami adik beradik yang lain hanya melihat sahaja. Layanan Emak kepada Adik lain sekali. Sebelum ini Adik tidak mahu dilayan sebegitu rupa. Adik sudah besar. Tidak suka diperlakukan macam budak-budak lagi. Adik sudah boleh makan, mandi dan uruskan diri sendiri. Tanpa bantuan Emak lagi.

Adik malu jika kawan-kawannya melihat Emak mandikan Adik. Suapkan makan ke mulutnya. Tetapi pagi ini Adik tidak membantah. Adik seakan rela. Kami menganggapkan bahawa Adik hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya itu. Dia tidak mahu Emak melayan tetamunya itu seperti Emak melayannya sewaktu kecil-kecil dahulu. Adik akan rasa cemburu. Adik merasakan hanya dia seorang yang wajar menerima layanan seperti itu.

Selepas makan, Emak memandikan Adik pula. Emak mencampurkan sedikit air yang berada di dalam botol ke dalam besen yang disediakan. Lain sedikit cara memandikan Adik. Sebelum ini Adik hanya dimandikan dengan air paip yang mentah-mentah itu saja, tetapi kali ini Emak memasukkan sedikit campuran air yang dibawa balik oleh Ayah dari rumah Haji Soot. Air itu dalam keadaan keperangan. Kandungannya seperti campuran akar kayu yang telah dihancurkan dan dicampurkan dengan air biasa.
“Air apa ni mak?”

“Ni air penawar.”

“Air penawar?”

“Air penawar ni untuk memulihkan kau.”

Kami adik beradik yang lain curi-curi dengar perbualan Emak bersama Adik. Kami tergelak bersama-sama. Mudah benar Adik ditipu. Ternyata Adik bukanlah seorang yang bijak kerana terang-terang Emak memasukkan sedikit air dari sumber lain kemudian mencampurkan ke dalam air itu. Tujuannya adalah untuk meyakinkan Adik supaya mudah untuk mandi. Adik memanglah seorang yang ketegar untuk mandi. Dia takut dengan air. Seboleh-bolehnya dia akan mandi sehari sekali sahaja. Itupun jika diingatkan Emak.

Tetamu yang mengikut Adik pulang masih tidak mahu pulang. Sudah seminggu dia bertamu di rumah kami. Kawannya adalah dengan Adik. Dia tidak mahu berkawan dengan kami semua. Termasuk Emak.

“Mak boleh Ijam tanya sikit?”

“Ada apa?”

“Kenapa dengan Adik?”

“Kenapa pulak dengan dia?”

“Iyalah kenapa Adik dilayan begitu?”

“Kenapa kamu pun cemburu?”

“Bukannya cemburu, tapi kenapa Adik disuap makannya, dimandikan dengan air penawar?”

“Adik kamu tu sakit.”

“Sakit! Adik sakit apa mak?”

“Dia demam baik.”

“Demam baik!”

Kami adik beradik yang lain ketawa terbahak-bahak. Jawapan yang diberikan Emak kepada kami amat melucukan. Kalau sudah demam baik buat apa lagi susah-susah nak mandikan dengan air penawar. Sahlah jangkaan kami sebelum ini Adik sudah kena tipu. Adik yang dikatakan bijak dalam matematik sebelum ini senang-senang ditipu Emak. Dia tidak dapat mengira setiap butir kata Emak yang membelit akal fikirannya. Jelasnya kemahiran adik untuk menafsir masih pada tahap yang rendah.

Adik menangis lagi. Adik tidak dapat tidur malam. Tidurnya sentiasa diganggu tetamu yang mengikutnya pulang. Kami sudah mengagak Adik hanya pandai bermuka-muka. Sebelah siangnya memanglah Adik buat tak layan sahaja dengan tetamunya itu, sebaliknya pada waktu malam dia akan kembali cergas. Dia seperti burung hantu yang aktif pada waktu malam. Dia akan bermain-main dengan tetamunya itu. Dia akan berkawan dengan tetamunya itu. Sehinggalah lewat malam. Pandai sungguh Adik bersandiwara.

Apabila sudah letih, sendi-sendinya akan terasa lenguh. Badannya akan terasa gatal-gatal. Tenaganya sudah tentu kehabisan ketika bermain bersama tetamunya itu. Kulitnya akan mudah dinaiki bintil-bintil kemerahan. Keadaan itu disebabkan peluh yang berlinangan di badannya. Angin sukar menyelinap masuk ke bilik Adik. Jadi keadaan bilik Adik terpeluwap.

Setelah Adik kalah dalam permainannya Adik akan menangis. Adik akan meronta-ronta. Sudah agak dah Adik macam itu. Hanya dia seorang yang boleh menang. Orang lain tidak akan berpeluang jika bermain dengan Adik.

“Kenapa ni Adik?”

“Badan Adik gatal-gatal.”

“Itulah mak cakap jangan main sampai lewat malam. Nanti gatal-gatal susah.”

“Adik tak main apa-apa pun.”

“Dah mari sini mak tengok!”

Kami sekali lagi terkesima. Bualan Adik bersama Emak seakan tidak masuk akal. Sekali lagi Adik ditipunya Emak hidup-hidup. Tabiat Adik yang sukar diubah adalah suka tidur lewat. Sewaktu usianya ini tidak elok baginya berjaga lewat malam. Kesihatannya akan mudah terganggu. Keesokannya apabila Adik ke sekolah Adik akan mengantuk. Mata Adik akan jadi merah. Mahu tidak mahu Adik akan tidur di dalam kelas. Dia tidak akan dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran lagi.

Keesokannnya Emak tidak lagi menggoreng ikan dan menumis masakannya. Emak hanya merebus ikan yang dibeli Ayah. Ikan itu direbus semata-mata untuk menjamu Adik dan tetamunya. Kami gelisah. Ternyata Adik dan tetamunya itu betul-betul menyusahkan. Makan minum Adik dan tetamunya dijaga begitu rapi. Tidak boleh silap sedikit. Emak sangat berhati-hati dalam menyediakan makanan kepada Adik.

Sebelum ini Emak tidak mengambil kisah akan bab-bab masak-memasak ini. Maksudnya Emak akan memasak mengikut cita rasanya sahaja. Tapi lain untuk kali ini. Lauk mesti direbus setiap hari. Emak tidak akan menggoreng lauk lagi. Tidak ada lagi masakan yang melibatkan tumis-menumis. Semuanya rebus semata-mata. Dikatanya jika Emak menumis, tetamu Adik akan meronta-ronta. Keadaan ini menyebabkan Adik turut meronta-ronta juga. Emak tidak sanggup melihat Adik dalam keadaan itu. Sangat terseksa.

“Adik kamu tu demam biji. Tak boleh sembarangan. Nanti merebak susah. Mak kena jaganya baik-baik.”

Kelucuan yang Emak ciptakan sememangnya menggeletek perut kami. Seketika itu kami ketawa tidak henti-henti. Seakan mahu pecah perut dibuatnya. Sekejap demam baik, sekejap demam biji. Mana satu yang betul pun tidak tahu. Orang-orang dulu ada-ada saja istilah yang diciptakan. Melihat saja badan penuh dengan bintil-bintil dikatakan demam biji.

Adik semakin pulih. Dia tidak lagi menangis pada waktu malam. Tidurnya lena dibuai mimpi-mimpi indah. Tetamunya tidak mengganggunya lagi. Sebaliknya Angah pula yang mengurungkan diri di dalam bilik. Tidak mahu bercakap dengan orang lain. Tetamu Adik itu seolah-olah mahu berkawan dengan Angah. Dia tidak mahu berkawan dengan Adik lagi. Malahan tidak mahu bermain dengan Adik lagi. Agaknya tetamu Adik itu sudah bosan untuk bermain dengan Adik. Tiada permainan baharu yang dimainkan. Dia mahu mencari kawan baharu. Angah adalah orangnya. Sebelum ini Angah menunjukkan minat untuk berkawan dengan tetamu Adik. Angah selalu melawat bilik Adik. Di mana saja Adik berada di situlah Angah juga berada. Termasuk tetamu Adik.

Selepas Adik dan Angah, tetamu Adik itu beralih pula kepada kami sekeluarga. Dia menyondol-nyondol kami semua; dia menyondol punggung Emak, dia menyondol badan Along, dia menyondol kaki dan tangan Ayah. Dan juga dia menyondol muka Emak. Kami semua mengurungkan diri di dalam rumah. Makan ikan rebus setiap hari. Mandi air penawar. Hampir setiap malam tidur kami diganggunya tetamu Adik. Sendi-sendi kami terasa lenguh. Badan kami mudah terasa gatal merenyam. Bintil-bintil kemerahan tumbuh di mana-mana sahaja di tubuh kami semua. Orang kampung mengatakan keluarga Deris sombong belaka. Tidak mahu bertegur sapa. Hanya mengurungkan diri di dalam rumah.

Setelah itu datanglah Kiah Murai melawat kami semua. Sementelahan itu, berita tetamu yang dibawa pulang Adik tersebar ke seluruh pelusuk kampung. Habis semua rumah penduduk kampung dilawati tetamu Adik. Tetamu Adik itu mahu berkawan dengan semua penduduk kampung. Dia mahu bermain-main dengan penduduk kampung. Dia mahu menyondol-nyondol tubuh penduduk kampung. Habis semua penduduk kampung mengurungkan diri di dalam rumah. Mereka sedang bermain-main dengan tetamu Adik.

Sekarang baru kutahu bahawa tetamu yang dimaksudkan Emak. Di tempat kami demam itu dikenali sebagai demam baik, demam biji dan juga demam campak. Sebab itulah tidur malam Adik terganggu. Tidur malam penduduk kampung yang lain juga terganggu. Seluruh tubuh mereka gatal-gatal. Sejurus selepas itu kampung kami dibina sebuah klinik desa untuk merawat penyakit campak yang dihidapi penduduk kampung. Penduduk kampung dinasihati agar membawa anak-anak yang baru dilahirkan untuk pemeriksaan doktor. Kanak-kanak di kampung kami selepas itu diberi suntikan campak bagi mencegah daripada diserang campak. Setelah diberi suntikan campak kampung kami kembali aman damai. Tidak ada lagi tetamu yang datang tanpa diundang.

BIODATA Penulis:

MOHD Helmi Ahmad, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu), di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (2006 -2009), terbabit dalam penulisan puisi, cerpen, drama, novel dan esei. Pernah mendapat bimbingan daripada Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Dr Kamariah Kamarudin.

Johan pertandingan Menulis Esei Bulan Kemerdekaan 2005 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz dan Pertandingan Menulis Esei Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia, New Straits Times-Berita Harian 2009 (Kategori Institusi Pengajian Tinggi-Bahasa Malaysia).

Cerpen: 7 tangkai padi untuk Huminodun

Oleh Faridah Abd Hamid

2010/06/20

KEMARAHAN meluap-luap. Nada suaranya tidak lagi menggambarkan dia seorang tua yang harus dihormati. Apa lagi menjadikan kata-katanya itu daya rangsangan positif. Walau dahi berkeringat dan matanya pejam celik, namun belum cukup menyedarkan betapa panas matahari ini mengharuskannya bersabar. Sewajarnya dia perlu meneguk air bukan melancarkan hamburan maki hamun bagi mengurangkan asakan amarah.

Dia orang tua yang sentiasa menghuru-harakan suasana saat-saat akhir musim menuai. Kulitnya yang hitam legam itu menjadi petanda kepayahan dan kesungguhannya selama ini. Usianya 70 tahun dan susuk tubuhnya kecil, tetapi tidak ada siapa pun yang menafikan kekuatannya. Dia pantang dicabar. Dia masih juga terbongkok-bongkok meneruskan pekerjaan tradisi ini. Menggagahkan diri mengharungi lumpur dari satu musim ke musim lain membanting tulang empat kerat.

“Orang tua itu sudah gila. Sebelum magavau dia sudah mabuk. Berkelakuan seolah dialah raja. Dialah yang berjasa.” Ketua Kampung hanya mengangguk. Bukan menyokong anak buah atau orang tua itu. Tidak jua dia menolak kebenaran orang tua itu atau kesahihan hujah anak buahnya. Ada tusukan halus yang menjalar dalam sanubari. Terlalu dalam sehingga dia harus berhati-hati bertutur kata, apa lagi memberi jawapan yang akan di sambut dengan gelak ketawa. Dia perlu juga berdiam diri barang satu saat untuk berfikir.

Hamburan kata Lacius sudah kedengaran sepuluh tahun lalu. Semakin lama kebenaran semakin jelas. Gemalai tarian tidak sepadan kepayahan yang tercurah ke bumi. Segalanya sudah berubah. Matlamat dan prinsip juga jauh terpesong. Demikian juga musim yang bercelaru menghambat keinginan. Mematikan langkah kaki dan hanya kerana kesedaran hidup harus diteruskan maka tanah sawah ini masih terus di usahakan.

Dan akhirnya hanya kelihatan ‘orang-orang sawah’ yang longlai di tengah sawah padi.

Itulah gelaran kepada Lacius. Orang tua yang masih juga menggagahkan diri mengusahakan sawah padi.

Ketua Kampung pun tidak terkata jika Lacius berhujah. Dia sudah lama tidak menginjak kaki ke tanah sawah apa lagi mengangkat cangkul atau sengaja mahu terpalit lumpur. Gaji bulanan selaku ketua kampung sudah cukup menyara hidup tuanya. Dia hanya perlu prihatin dan peka akan laku anak buahnya. Sekali-sekala dia hanya perlu berdiri di tepi jalan raya memerhatikan jentera membajak tanah sawah dan jika berkesempatan bertanya jumlah hasil yang berjaya dikeluarkan musim ini. Jika hasil kurang dari musim sebelumnya, pasti ada yang tidak sempurna. Mungkin soalan itu diajukan pada alam atau bambazon.

Tidak ada siapa yang tahu kegusaran menghambat-hambat dalam jiwanya setiap kali lori mengangkut semua hasil padi beredar. Siapa mungkin akan mengerti makna magavau jika keringat tidak mengalir di tengah-tengah panas mentari. Siapa mungkin akan merasa kenikmatan apabila burung pipit tidak sudi hinggap di rumpun padi dan meninggalkan padi yang tunduk berisi.

Hanya orang tua sepertinya yang faham atau ibu tua yang masih bergantung harap pada rezeki si padi.

Itulah yang menjadikan Lacius ‘mabuk’ sebelum waktunya. Bernostalgia saban musim.

Tahun ini seperti juga tahun sebelumnya semakin mencabar buat Lacius dan orang-orang sepertinya. Musim sudah berubah. Tengkujuh menjadi kemarau. Kemarau menjadi ribut. Banjir tidak juga membunuh anak padi kerana empangan pun hampir kering. Dia tidak marah pada alam kerana alam jua yang menyuburkan segala yang hidup di muka bumi ini. Marahnya hanya pada manusia. Manusia yang lupa berbudi pada tanah.

Sepanjang hayatnya dia mempercayai semangat bambazon. Apabila berakhir musim padi, magavau diraikan tanda kesyukuran dan berterima kasih penghasilan padi pada musim itu. Terlalu besar harapan di pikul agar hasil dituai berlipat-ganda pada musim seterusnya. Mendiang Orang Kaya-kaya (OKK) Sodomon, Ketua Anak Negeri Keningau yang mengusulkan idea sambutan ini dan 1960 diluluskan sebagai cuti umum. Tahun demi tahun satu Malaysia juga sedar akan pesta ini.
Namun semakin lama dia pula semakin cuak. Saban waktu kegembiraan terbit kerana cuti umum bukan semangat menjalar dari pesta ini.

“Jika sawah padi ini tidak lagi membuahkan hasil tetapi hanya lalang dan tidak ada seorang pun manusia berdiri di tengah sawah ini, apa maknanya magavau itu?” Dia tahu anak-anak muda menyamakan dirinya seperti orang-orang sawah.

Mereka berseloroh bahawa burung pipit pun tidak akan takut malahan terbang mengejek. Ikan sepat, koruk dan jalak pun sengaja mengapungkan diri merasai kebosanan kerana tidak ada lagi suara anak-anak kecil yang nakal berlari-lari di sawah padi. Sang kerbau juga semakin menjauh.

Tanah sawah ini amat sepi pembayang penghujung hayat seorang tua. Padi-padi ini hanya membesar bersama alam, bunyi angin atau burung pipit atau ditemani bunyi jentera. Jentera membajak. Jentera menanam padi dan penghujung musim, jentera menuai padi. Hinggalah bunyi lori yang hanya perlu menunggu di tepi sawah mengangkut hasil padi itu untuk di bawa pulang ke kilang.

Dan Lacius akan mendapat bayaran setiap karung yang diniagakan. Atau menunggu sebulan dua setelah padi itu menjadi beras. Dia sengaja membawa pulang satu atau dua karung padi buat pelepas rindu. Jumlah itu tidak cukup memenuhkan ketawai dan sebelum musim bermula simpanan padinya sudah habis. Sekoyong-koyongnya dia perlu ke pasar raya membeli beras.

“Kita sudah hilang penghormatan terhadap semangat padi. Kita terus juga berpesta dengan harapan rezeki akan datang lebih baik dan banyak. Tetapi lihat saja, siapa yang tinggal untuk mewarisi pekerjaan ini? Pesta apa yang kita teruskan?“

“Sudahlah! Jangan diturut marah. Seorang bayi pun akan menjadi orang tua seperti kita. Ideanya juga meluap-luap mencanai perubahan demi perubahan. Kita harus akur.” Ketua Kampung memujuk Lacius.

“Tetapi apa maknanya magavau jika satu hari nanti sawah padi semakin sukar ditemui? Apa yang harus dipuja Bobolian? Pasti bambazon akan hilang dan hidup kita semakin susah. Apa nasib kita jika segenggam beras sama harganya dengan minyak?” Orang kampung mengata dia sudah nyanyuk dan hanya menunggu waktu pergi. Lacius tidak peduli. Dia tahu anak-anak muda semakin bacul mengeluarkan idea untuk kebaikan bersama. Biarkan saja dia yang bersuara siapa tahu akan ada juga yang mahu berfikir walau berpura-pura tidak mendengar.

“Selagi beras menjadi makanan rugi, sawah padi ini harus terus mengeluarkan hasil. Siapa tahu sepuluh tahun lagi kita akan mampu menduga kitaran alam. Kita akan dapat menghasilkan padi yang bermutu tinggi.“ Pujuk Ketua Kampung. Dia juga malu pada diri kerana hanya perlu menunggu wang sewaan tanah sawah.

“Aku sudah bosan meraikan magavau sebegini. Kita sudah hilang semangat Kinoingan dan Huminodun. Mana Suminundu yang melahirkan anak-anak bersemangat tunduk do tadau?” Lacius mula menari Sumazau seperti laku burung layang-layang atau bambarayon. Tubuh kerasnya masih bersisa gemalai namun gerak tarinya melambangkan kekecewaan. Dia menjerit. Menendang tiang rumah.

“Jangan begitu, kerana adanya magavau inilah, sawah padi ini masih juga mengeluarkan hasil.“

“Mungkin sekali lagi kita akan kebuluran? Adakah kita berharap Kinoingan akan mengorbankan anaknya sekali lagi?” Ketua Kampung semakin sukar mencela. Lacius sudah mabuk. Mabuk bersama keberangan. Matanya merah dan mula berkaca.

“Siapa tahu Kinoingan akan mengorbankan anaknya sekali lagi bukan?“Ketua Kampung bertutur lembut. Lacius mengangkat muka. Sebak. Dadanya turun naik. Kesihatannya semakin merudum. Orang kampung juga menahan diri bertekak dengannya.

Biarlah dia semakin marah sehari sebelum magavau.

“Aku bukan Kinoingan.”

“Aku tahu tapi semangat Kinoingan itu ada pada setiap ibu bapa. Selagi hidup, kita tidak akan berhenti berlari. Setiap saat kita inginkan kebaikan tetapi tidak semua kita peroleh walau pada saat akhir hidup.” Ketua Kampung mengintai botol-botol tuak yang masih berada dalam beg plastik. Demikian juga Lacius. Beg plastik itu benar-benar mengganggu ketenangan mereka. Ketua Kampung mengurut dada. Lacius tersedu. Sempat meneguk air kosong di depannya.

“Aku kehilangan Huminodun yang tidak mahu berkorban diri untuk aku orang tuanya. Dia sudah lupa. Aku tidak mampu memberinya jambangan bunga atas kejayaan yang dicapainya.” Air matanya mengalir. Sedu tangisan seorang tua yang kehilangan amat menyayat hati.

“Mungkin sudah menjadi resam Huminodun akan korbankan dirinya untuk kebaikan semua orang bukan setakat orang tuanya. Siapa tahu satu hari nanti dia akan kembali dengan ilmu, menjadi pemimpin bermoral. Huminodun tidak perlukan jambangan bunga yang akan layu dan tidak mengenyangkan. Cukup sekadar tangkai padi.” Pujuk Ketua Kampung.

“Lihat aku tinggal sendirian di rumah ini. Sawah padi ini menjadi teman yang mengingatkan aku pada anak-anak. Mengisi waktu yang bagaikan terlalu panjang. Setiap kali magavau, rumah ini tidak pernah sunyi, tetapi sudah bertahun hanya aku menjadi penunggu di sini. Huminodunku sudah lama pergi. Aku berharap dia akan kembali.” Lacius tidak dapat berselindung lagi. Sekian lama dia menyembunyikan kerinduan itu di tanah sawah ini. Dia bukan bimbang siapa akan mewarisi semua ini tetapi resah bersendirian tanpa teman. Lacius mengalihkan pandangan dari beg plastik itu. Dia menarik nafas panjang. Tersenyum sayu mengekori bambarayon yang terbang pulang.

*Menurut cerita lisan suku kaum Dusun, Kinoingan (Dewa) dan isterinya Suminundu mengorbankan anak gadisnya Huminodun untuk menyelamatkan suku kaum Dusun dari kebuluran. Kononnya sebahagian mayat Huminodun mengeluarkan benih padi maka wujudlah kepercayaan bahawa padi mempunyai semangat yang di beri nama sebagai bambazon.

Glosari

Magavau: Pesta Kaamatan
Koruk: Ikan puyu
Jalak: Ikan haruan
Ketawai: Tempat menyimpan padi. Tunduk do tadau Sifat lemah-lembut tetapi berani/tegas
Bobolian: Pemuja semangat padi
Bambazon: Semangat padi
Tuak: Arak buatan tempatan.

Sanggar Kreatif: Khalifah Kerajaan Busut

Oleh Hana Arissa

2010/06/06

DERETAN semut merah yang sedang asyik bekerja diperhatikan oleh semut muda. Semut muda yang mempunyai pemikiran futuristik berbeza dengan semut-semut yang lain. Akibat pemikirannya itu menyebabkan dia digelar pembangkang dalam koloninya. Dia bukan memandang kosong kepada deretan semut-semut yang sedang bekerja. Dia memandang dengan wawasan. Pelbagai persoalan berpusing-pusing di dalam kepalanya. Persoalan-persoalan tersebut kemudiannya bertukar menjadi ketidakpuasan dan seterusnya melampiaskan pandangan peribadinya. Oleh kerana pandangan itulah maka dia disifatkan sebagai Hang Jebat. Legenda manusia yang hebat tentang pendurhakaan seorang rakyat. Namun bagi semut muda Hang Jebatlah manusia yang wajar dijadikan contoh dalam mengubah sejarah ketaatan yang membabi buta.

Semut muda memandang ke bilik-bilik yang terdapat di dalam koloni itu. Setiap bilik mempunyai fungsinya. Begitu juga dengan setiap rakyat dalam kerajaan tersebut. Yang pasti dalam kerajaan ini ada pemimpinnya. Pemimpin yang menyebabkan semut muda bertelagah dengan perasaannya antara kesetiaan, kewajipan dan pembaharuan. Setiap bilik tersebut bersambung dengan jalan yang menjadi laluan deretan semut merah itu tadi. Laluan kehidupan, laluan bagi meneruskan kemandirian, laluan bagi menunaikan tanggungjawab. Di sini dalam kerajaan busut inilah juga dia dilahirkan. Mata semut muda masih lingas memandang koloninya. Atas, bawah, kiri, kanan dan setiap inci koloni itu tidak dilepaskan pandangan. Mungkin mencari-cari sesuatu yang bisa membangkitkan persoalan dan pandangan baru.

“Kau hentikanlah perjuanganmu itu semut muda kerana aku tahu itu sia-sia. Bagimu perjuanganmu itu berasas, tetapi tidak bagi rakyat yang lain.” Tiba-tiba satu suara menerjah gegendang telinganya sekali gus mengusir segala apa yang sedang berselirat dalam kotak pemikirannya.

Semut muda menoleh. Rupa-rupanya sahabatnya Semut 1 menyapa. Semut muda tersenyum hambar atas sikap pesimistik sahabatnya itu. Setiap hari itulah yang kedengaran, suara-suara yang memperlekehkan perjuangannya. Semut muda membuang jauh pandangannya ke arah deretan semut-semut yang sedang bekerja. Masing-masing membawa pelbagai benda yang berguna kepada pemimpin koloninya. Taat mereka, taat yang membabi buta sama seperti Hang Tuah legenda manusia. Berbakti kepada pemimpin yang sudah terang-terangan mempunyai kepentingan peribadi.
“Pemimpin yang menurut emosi, pemimpin yang wajar diketepi.” Bentak hati semut muda. Perasaan yang pada awalnya sedikit bergelora mula melahirkan ombak-ombak ketidakpuasan yang semakin hebat. Ombak-ombak ketidakpuasan itu akhirnya mencetuskan luahan lisan semut muda.

“Cuba kau lihat kerajaan anai-anai. Mereka kaum yang berwawasan. Mereka telah menerima pembaharuan. Pembaharuan yang dibawa oleh mereka yang seperti aku. Mereka berfikiran terbuka tidak seperti kaum kita. Kau tengok pada deretan sahabat-sahabat kita yang sedang bekerja. Mereka membanting tulang, memerah keringat, menyusur bahaya untuk siapa? Berbaloikah jika mereka menemui ajal dalam perjalanan mereka hanya untuk memenuhi kepentingan yang bukan berpihak kepada mereka? Kepentingan yang bersifat peribadi. Bukankah itu maknanya mementingkan diri sendiri? Jika itu berlaku apa yang mereka dapat? Yang kaya akan tetap terus kaya, tetapi nasib keluarga mereka yang mati tidak ada pembelaan. Salahkah aku memperjuang demokrasi agar suara rakyat didengari.” Marah benar nada suara semut muda. Semut muda bernafas lega apabila ledakan ketidakpuasannya dapat dihamburkan. Akhirnya ombak-ombak ketidakpuasan yang hampir sahaja menggila tadi beransur tenang.

Sahabatnya Semut 1 hanya membisu mendengar lolongan semut muda. Bukan dia tidak mengerti tapi dia lebih suka memilih jalan yang telah sedia ada. Baginya reformasi memberikan banyak masalah dan masalah itu akan ditanggung oleh rakyat. Dia tidak bersedia untuk mengambil risiko. Biar dia dikatakan pesimis atau ortodoks. Atas alasan itulah dia tidak bersetuju dengan pandangan semut muda yang bercita-cita besar. Matlamat yang besar sudah pasti risikonya juga besar.
Semut muda sedar bahawa bukan mudah untuk mempengaruhi Semut 1 dan rakyat yang lain. Perjuangannya dipandang sepi oleh semua pihak sama seperti perjuangan Hang Jebat. Hang Jebat berjuang bersendirian. Pada masa itu dia digelar pengkhianat, tetapi kini dunia sudah mengakui kehebatan Hang Jebat dan mempersoalkan ketaatan Hang Tuah. Pada alaf ini, di kerajaan busut ini dialah Hang Jebat. Dia pasti suatu hari nanti kerajaan busut dan koloni-koloni semut yang lain pasti bersatu pendapat dengannya walaupun pada masa itu dia sudah menjadi humus di mana-mana tanah ciptaan Allah ini. Semut 1 sudah jauh meninggalkan dirinya masuk mencelah ke dalam deretan semut-semut yang lain. Semut muda hanya memandang ke arah Semut 1 yang telah pun menghilangkan diri. Mungkin sahabatnya itu sudah muak dan mual mendengar kisah perjuangannya. Prasangka terhadap sahabatnya mulai menyelinap masuk ke hatinya yang paling dalam. Dia masih membatu di situ sedangkan laluan deretan semut sebentar tadi mulai kosong. Tiba-tiba semut muda teringatkan perbualannya dengan Semut 2 dari Koloni Timur.

“Semut muda, aku juga berpendapat sepertimu. Aku tidak tega melihat saudara-saudaraku diperbudak-budakkan. Biar apa yang diberi kepada mereka setimpal dengan bakti yang telah ditaburkan. Kau tahu semut muda, ada slogan mengatakan ‘jangan ditanya apa yang negara telah sumbangkan kepada kita, tapi bertanyalah tentang apa yang telah kita sumbangkan kepada negara’. Aku tidak bersetuju dengan pepatah manusia itu. Bagiku, kita sebagai rakyat perlu bertanya tentang kedua-duanya sekali apa yang diberi oleh negara kepada kita dan apa yang kita beri kepada negara. Barulah keseimbangan itu wujud. Kita sebagai rakyat sudah pasti mahukan keadilan. Jika apa yang kita sumbangkan mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat itu sendiri, masih perlukah kita berdiam diri dan menafikan hak kita?” Semut 2 berhujah dengan penuh semangat. Hujahnya ternyata membungakan rasa bangga di dalam hati semut muda. Dia pasti masih ada ramai lagi di koloni-koloni lain mempunyai rasa juang yang tinggi yang mahukan pembaharuan di setiap koloni mereka.

Dari jauh kelihatan semut tua datang mendekati semut muda. Kehadiran semut tua itu memesongkan ingatannya terhadap perbualan antaranya dengan sahabatnya Semut 2. Lama-kelamaan jasad yang mula membongkok tiga itu semakin jelas berada di hadapan matanya. Semut tua menyapa semut muda dengan penuh ramah. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah semut muda. Kebisuan menyelubungi mereka berdua. Kebisuan itu akhirnya ternoktah apabila semut tua bersuara memulakan bicara.

“Kau tahu cu, pentadbiran koloni ini tidak pernah berubah. Mungkin dari zaman sebelum Nabi Sulaiman. Jika ada yang berubah pun hanyalah pemimpin dan rakyat koloni ini. Yang hidup menggantikan yang mati, yang ada menggantikan yang tiada, tetapi corak permainannya masih sama. Tuk percaya begitu juga halnya di koloni-koloni yang lain.” Semut tua memandang tepat ke mata semut muda.

Semut muda masih tidak bersuara. Dia masih cuba menyelesaikan teka-teki yang sedang berlegar dalam ruang mindanya tentang kedatangan semut tua dan maksud kata-katanya sebentar tadi. Melihat kebisuan semut muda, semut tua berkata lagi.
“Cu, perubahan itu tidak salah malah diperlukan jika kita ingin mengubah nasib kita. Allah juga berfirman bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika mereka tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka. Cuma apa yang sukar jika sesuatu kaum itu sudah berasa selesa dengan apa yang mereka ada. Ada juga yang takut mengambil risiko sama ada dihukum, dibuang negeri, dibunuh mahupun difitnah” Semut tua berharap semut muda faham tentang apa yang dikatakannya.

“Tuk, saya bukan ingin menjadi wira dalam koloni ini. Saya cuma tidak betah melihat keringat saudara-saudara kita diperah untuk kepentingan orang lain. Sistem pemerintahan ini tidak adil tuk,” perlahan suara itu keluar dari kerongkong semut muda. Dia sebak untuk meneruskan kata-katanya.

“Cu, bukan seorang wira yang dapat mengubah dunia, kerana kehandalan dan ketangkasan wira hanya penyumbang kepada sesuatu perubahan, tetapi seorang khalifah itulah sebenarnya dapat menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu koloni. Khalifah yang hebat sudah pasti memimpin dengan berhemah. Memandang dengan wawasan. Melihat segenap aspek yang perlu diperbetulkan. Jadikan Nabi Sulaiman sebagai panduan, kisah yang selalu diceritakan oleh nenek moyang kita tentang hebatnya kepimpinan Nabi Sulaiman.” Semut tua tersenyum, kata-katanya yang penuh makna membuatkan semut muda bernafas dengan lega.

Semut tua meminta diri dan membiarkan semut muda bersendirian untuk kesekian kalinya. Biarlah dia terus memandang ke hadapan demi sebuah koloni yang dicintainya. Semangat juang semut muda amat dikagumi oleh semut tua. Pada masa yang sama semut muda berura-ura untuk berjumpa dengan semut 2 sahabatnya di Koloni Timur pada keesokan harinya. Dia ingin mengubah sejarah. Jika dia perlu berhijrah, dia akan berhijrah ke koloni itu untuk mengumpul kekuatan seperti mana Nabi Muhammad telah berhijrah apabila dakwahnya ditolak di negeri baginda sendiri.

Cuaca di luar koloni amat panas. Busut yang tinggi yang menjadi tempat tinggal mereka dituruni oleh semut muda. Perjalanannya menentang arus dengan semut-semut yang lain. Mereka baru pulang dengan membawa pelbagai hasil. Bukan semut muda tidak mengagumi kerajinan mereka, tetapi yang menimbulkan marah semut muda apabila hasil-hasil itu terpaksa diserahkan kepada pemimpin busut. Dalam pada itu dia melihat terdapat semut-semut yang diusung pulang kerana sama ada patah kaki mereka, putus badannya mahupun menemui ajal. Salah satu daripada mereka adalah semut tua. Dia terpana seketika. Terngiang-ngiang kata semangat semut tua kepadanya petang kelmarin. Kemarahan semut muda semakin meluap-luap. Ingin sahaja dia mengulangi sejarah Si Jebat namun dia sedar, dia perlu bertindak dengan lebih bijaksana. Semut muda mematikan hasratnya untuk bertemu dengan sahabatnya Semut 2. Dia mahu melihat lakonan seterusnya pemimpin busut apabila melihat musibah yang berulang terjadi lagi kepada rakyat yang berkhidmat untuknya. Semut muda berpaling membuntuti deretan semut-semut itu tadi.

“Kali ini aku akan bersuara dengan lebih lantang. Keadilan perlu aku tegakkan demi rakyat koloni ini dan demi generasi akan datang”. Benak semut muda mula berbicara.

“Hei, sahabat nampaknya perjuanganmu sudah tamat. Apa yang menyebabkan kau berubah fikiran sehingga kau bersama-sama kami dalam deretan ini? “ Tiba-tiba satu suara menegur dari arah belakangnya. Semut muda menoleh ke belakang. Sahabatnya Semut 3 hanya tersenyum sinis.

Semut muda membalas senyuman sinis itu.

“Aku sesungguhnya tidak sesekali menghentikan perjuanganku. Perjuanganku sebenarnya baru bermula wahai sahabatku”. Setelah semut muda berkata-kata, dia meneruskan perjalanannya. Kali ini di berjalan dengan penuh azam dan tekad yang tinggi.

Biodata

HANA Arissa, nama pena bagi Norhazlina Abdullah yang dilahirkan pada 8 Disember 1974. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan ( Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Pendidikan dari Maktab Perguruan Perlis. Kini sedang menyambung pelajaran dalam Sarjana Psikologi Pendidikan di USM.